Pilihan Raya Umum: Pembangkang Sedia Bekukan Pelaburan China

N. Nantha
2018.04.27
Kuala Lumpur, Malaysia
180427-MY-investments-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (dua, kanan) turut berdoa sebelum majlis menandatangani perjanjian berkaitan projek kereta api antara Kementerian Pengangkutan negaranya dan syarikat kereta api CSR Corp dari China, di Kuala Lumpur, 24 Sept 2012.
[AFP]

Dengan menekankan bahawa pakatan pembangkang bakal mengambil alih kerajaan Malaysia pada pilihan raya umum 9 Mei, ahli-ahli politik parti utama pembangkang menegaskan bahawa ia akan membekukan projek-projek pembangunan utama yang melibatkan China untuk dinilai semula sama ada ia benar-benar memberi manfaat kepada negara.

Gabungan Barisan Nasional yang diketuai Perdana Menteri Najib Razak telah menghebahkan tentang pelbagai projek bernilai berbilion dolar yang bertujuan menarik pelaburan dari China – rakan perdagangan nombor satu Malaysia - bagi meningkatkan ekonomi negara.

Tetapi projek-projek sedemikian akan memberi sedikit manfaat kepada rakyat Malaysia, dengan ia lebih memihak kepada pekerja dari tanah besar China yang akan menyebabkan kebanjiran pekerja asing ke negara ini, menurut pemimpin pembangkang Pakatan Harapan.

Dalam temu bual dengan BeritaBenar, pemimpin pelbagai parti Pakatan Harapan (PH) mengulas secara  khusus mengenai Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), projek kereta api yang mempunyai impian paling besar Malaysia, yang setakat ini kebanyakannya disokong oleh pinjaman dari China.

"PH akan memanggil semua kontraktor ECRL untuk mendengar penjelasan mereka tentang kesan ekonomi projek itu kerana PH tidak boleh membuat justifikasi mengenai kos dan kesan ekonomi di kawasan Pantai Timur," kata Wong Chen, pengarah strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada BeritaBenar.

Sebagai Ahli Parlimen yang mewakili Kelana Jaya, sebuah kawasan Parlimen yang berdekatan Kuala Lumpur di mana projek keretapi sepanjang 688 km (430 batu) itu akan melaluinya sebelum menghubungkan dua pantai di Semenanjung Malaysia.

Dianggarkan bernilai $13 bilion, projek itu dijangka menarik pelaburan China sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘One Belt, One Road Beijing’, strategi geopolitik besar untuk memperluaskan ekonomi China melalui pembinaan rangkaian jalan raya, landasan keretapi dan pelabuhan yang luas di Selatan, Asia Selatan dan yang melangkaui wilayahnya.

Pembekuan dan pemeriksaan semula keperluan projek-projek China perlu dilakukan kerana defisit negara telah meningkat di bawah kepimpinan Najib, kata Dzulkefly Ahmad, pengarah strategi Parti Amanah Negara (Amanah), rakan parti berasaskan agama dalam PH.

"Pakatan Harapan amat jelas bahawa kami dapat menguruskan kewangan negara dan menangani defisit fiskal dengan menampal ketirisan yang dapat menjimatkan berbilion ringgit ... dengan mengamalkan kerajaan baik," katanya kepada BeritaBenar.

Dr M: 'Kami tidak mendapat apa-apa'

Terdahulu bulan ini, pemimpin Pakatan dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad menarik perhatian media apabila beliau menyuarakan kebimbangannya terhadap usaha membawa masuk pelaburan dan projek China. Pemimpin berusia 92 tahun itu telah dipilih sebagai pilihan pembangkang untuk berkhidmat semula sebagai PM sekiranya ia memenangi pilihan raya.

Mahathir berkata, ramai rakyat Malaysia tidak menyukai usaha pembangunan yang disokong oleh China. Beliau membangkitkan mengenai pembinaan sebuah bandar besar yang dirancang di Johor - sebuah negeri yang bakal menghadapi pertempuran sengit pilihan raya di selatan Malaysia.

"Kami berjuang untuk Malaysia. Kami mahu mempertahankan hak rakyat Malaysia. Kami tidak [mahu] menjual bahagian negara ini kepada syarikat asing yang akan membangunkan seluruh bandar, "katanya kepada agensi berita Bloomberg.

"Kami tidak mendapat apa-apa daripada pelaburan itu. Kami tidak mengalu-alukannya," kata beliau sambil memberitahu " Tidak ada kerja untuk rakyat kami. Mereka tidak membayar cukai di negara ini. "

Mahathir, bekas mentor Najib dalam gabungan parti pemerintah itu dan UMNO, parti utamanya, turut mengecam perdana menteri.

"Dalam kes Najib, apa yang beliau lakukan ialah beliau mengundang pelaburan asing dari China untuk membeli hartanah di Malaysia, membangunkan bandar-bandar canggih yang harganya di luar kemampuan rakyat Malaysia," kata Mahathir. "Pembangunan ini adalah untuk orang luar termasuk orang tanah besar China yang akan datang dan tinggal di sini."

Najib mempertahankan dirinya daripada kritikan yang mendakwa beliau menjual Malaysia kepada pelabur dari China.

"Apabila ia berkaitan dengan FDI [pelaburan langsung asing], mungkin, anda ada terdengar beberapa ahli politik yang tidak bertanggungjawab cuba menyebarkan perkara yang menakut-nakutkan tentang FDI dari China, mengatakan bahawa kita menjual kedaulatan kita," kata Perdana Menteri semasa berucap di Invest Malaysia 2018 pada January. "Kerajaan [saya] tidak akan mengorbankan seinci pun kedaulatan negara kita.

“Perlu ingat bahawa pelaburan Malaysia di China adalah lebih besar daripada pelaburan China di Malaysia, dan kita mempunyai lebih banyak pelaburan Malaysia di luar negara berbanding pelaburan langsung asing di dalam negara,”katanya dalam ucapan itu di Kuala Lumpur. “Jadi, ini adalah pelaburan dua hala. Tahap FDI berubah-ubah mengikut masa, dan hubungan seperti itu adalah sebahagian daripada, dan merupakan kunci, kepada ekonomi yang sihat dan pelbagai.”

China merupakan pemimpin utama dalam kalangan negara-negara yang menjalinkan perdagangan dengan Malaysia, dan merupakan antara lima negara teratas bagi sumber pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia, menurut Laporan Pertubuhan Perdagangan Dunia pada Disember 2017.


Sebuah bilik pameran memaparkan model kompleks kondominium Forest City berskala besar yang disokong oleh China di Iskandar, di negeri selatan Malaysia, Johor, 16 Mei 2017. [AFP/Singapore Press Holdings]

Negeri medan pertempuran

Johor dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan siapa yang mendapat kuasa selepas pilihan raya umum ke-14 ini. Pada Mac, Najib turut mengunjungi negera jiran, Singapura, yang menjanjikan penambahbaikan dalam perkhidmatan kereta api dan lebuh raya bersama-sama dengan pembinaan sebuah stadium baru, lapor agensi berita, Reuters.

Barisan Nasional, gabungan parti pemerintah, kini menguasai Johor.

Dalam perhimpunan berasingan yang melibatkan sayap wanita Barisan Nasional  bulan lepas, menteri besar negeri Johor mengeluarkan amaran mengenai pilihan raya itu, menurut Reuters.

"Jika kita membenarkan parti kita kalah, tidak mustahil kita akan terus kalah selama-lamanya. Kita mesti menang, kerana Johor bukanlah tempat untuk menguji atau mencuba nasib anda, "kata Mohamad Khaled Nordin.

Laporan badan pemikir mengenai pelaburan China


Pada Februari lalu, institusi penyelidikan Institut Pengajian Asia Tenggara Yusof Ishak (ISEAS) di Singapura menggesa supaya ditingkatkan ketelusan dalam projek-projek yang melibatkan China.

"Meskipun adanya sambutan menyeluruh Malaysia terhadap FDI (pelaburan langsung asing), terdapat banyak perbezaan pendapat domestik terhadap peningkatan pelaburan China di negara berkenaan," kata ISEAS dalam laporannya, Pelaburan China di Malaysia: Lima Tahun menuju BRI.

Laporan itu mengandungi fakta mengenai pertumbuhan pelaburan China di Malaysia dari 2010, ketika ia berjumlah AS$350 juta (RM1.37 bilion) dan memberi tumpuan terutamanya kepada logam, kepada $7.37 bilion (RM28.8 bilion) pada 2015 yang merangkumi tenaga, hartanah, teknologi dan pengangkutan.

"Penyertaan masuk China dalam sektor pembuatan terutamanya yang didorong oleh keinginan untuk mengakses pasaran lain melalui perjanjian perdagangan serantau Malaysia, adalah mempergunakan Malaysia sebagai batu loncatan untuk memasuki pasaran ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara)," kata laporan itu.

"Pelaburan dalam sektor solar dibuat untuk tujuan mengeksport ke A.S. bagi mengelakkan duti anti-lambakan A.S. terhadap import panel solar dari China pada masa itu."

Namun, pelaburan China dalam aktiviti bukan pengilangan yang berskala besar merupakan sumber kebimbangan di kalangan ramai rakyat Malaysia, kata laporan itu.

"Ia adalah pelaburan dalam aktiviti bukan pembuatan yang berskala besar yang mencetuskan kebimbangan domestik terbesar di Malaysia," kata laporan itu. Kebimbangan itu termasuklah kehadiran semakin ramai pekerja China, yang  mengatasi pakar-pakar bidang tempatan serta risiko tinggi dalam projek-projek yang dibiayai oleh pinjaman terjamin, kata laporan itu.

Forest City

Skim perumahan yang dikritik Mahathir adalah Forest City, sebuah projek yang pada peringkat permulaannya sedang dibangunkan oleh firma hartanah China, Country Garden Holdings Co. Ltd.

Ia telah digambarkan sebagai projek yang bernilai $100 bilion untuk membina bangunan-bangunan apartmen yang terbentang luas merangkumi empat pulau buatan di sepanjang Selat Johor, dan dijangka dapat menampung 700,000 orang, menurut New York Times.

Country Garden mempunyai rakan kongsi dalam projek itu - sebuah syarikat yang dikuasai oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pewaris  kesultanan Johor, lapor New York Times.

Walaupun ramai yang tidak mahu mengulas tentang projek itu kerana kaitannya dengan Sultan Johor, Mahathir telah mempersoalkan faedahnya kepada rakyat Malaysia.

"Kami tidak mempunyai 700,000 orang yang mempunyai kekayaan untuk membeli rumah pangsapuri yang sangat mahal ini," katanya dalam temu bual dengan Bloomberg.

"Ini bukan pelaburan langsung asing. Tiada seorang pun daripada rakyat kami yang diambil sebagai pekerja, " kata Mahathir. "Tiada satu pun syarikat kami yang digunakan untuk mereka bentuk dan merancang mahupun menyelia. Kami tidak mendapat apa-apa."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.