Malaysia Bakal Laksanakan Projek Keretapi Disokong China
2017.08.10
Kuala Lumpur

Malaysia menyempurnakan majlis pecah tanah bagi projek keretapi yang paling besar setakat ini, yang merupakan usaha berbilion dolar yang banyak disokong oleh pinjaman daripada China dan bakal menjadi satu daripada strategi utama One Belt, One Road Beijing bagi perluasan ekonominya.
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menganggap Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai "pencetus perubahan” untuk negaranya, ketika beliau merasmikan majlis pecah tanah projek bernilai AS$13 bilion itu di Kuantan, di negeri Pahang, dengan Anggota Majlis Negara China Wang Yong berdiri di sebelahnya.
Tetapi, beberapa pengulas dan pengkritik Malaysia mempersoalkan sama ada projek itu - yang juga dibina oleh firma milik kerajaan China - akan benar-benar memanfaatkan negara mereka. Ada di antara mereka yang menyuarakan kebimbangan sama ada Malaysia patut bergantung kepada orang China untuk membina dan membiayai landasan kereta api itu, yang sepanjang 688 km (430 batu) dan menghubungkan dua pantai Semenanjung Malaysia.
“ECRL merupakan pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana ia akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik pantai timur Semenanjung Malaysia,” kata Najib pada majlis pecah tanah di Kuantan, ibu kota negeri kelahirannya, Pahang.
Projek keretapi itu, yang merangkumi negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, dijangka siap pada 2024.
Kira-kira 5.4 juta penumpang dan 54 juta tan kargo akan menggunakan laluan itu setiap tahun menjelang 2030, menjadikan ECRL sebagai pengangkutan utama di antara pantai timur dan barat, kata Najib.
'Contoh terbaik kerjasama ekonomi'
ECRL adalah satu daripada projek utama yang dirancang sebagai sebahagian daripada inisiatif One Belt, One Road (OBOR) Beijing. Strategi infrastruktur bernilai trilion dolar itu akan membina rangkaian jalan raya, landasan keretapi dan pelabuhan yang luas di Asia Selatan yang akan membolehkan China berdagang lebih mudah dengan negara-negara Eropah melalui Lautan Hindi dan Asia Tengah, kata pegawai-pegawai China.
Projek kereta api itu akan mengurangkan masa perjalanan dari Pelabuhan Klang - pelabuhan paling sibuk yang terletak di pantai barat - ke Kelantan, sebuah negeri di pantai timur yang bersempadan dengan Thailand, kepada empat jam berbanding purata tujuh jam semasa, kata pegawai-pegawai Malaysia.
Laluan itu merangkumi 12 stesen penumpang, tiga stesen untuk muatan dan tujuh stesen gabungan penumpang-muatan, menurut Najib.
China Communications Construction Company (CCCC) akan membina landasan projek itu, dan kerajaan Malaysia akan membiayai 85 peratus daripada kos berkenaan melalui pinjaman mudah daripada Export-Import (Exim) Bank of China. Baki 15 peratus lagi akan dibiayai menerusi program "sukuk" atau bon Islam, yang diuruskan oleh tiga bank tempatan, kata Najib.
"Projek ini merupakan contoh terbaik kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara dan akan memacu kemakmuran Malaysia," kata Ahli Majlis Negara China, Wang Yong, yang mengetuai delegasi China pada majlis pecah tanah itu.
Bagaimanapun, beberapa pemerhati memberi amaran bahawa hubungan Malaysia yang semakin meningkat dengan China tidak semestinya sihat. Beijing sedang menggunakan pengaruhnya di Asia Tenggara dan menggunakan negara-negara kecil sebagai sebahagian daripada impian perluasan globalnya, kata mereka.
Antara pengkritik dasar hubungan rapat dengan China ialah bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad, yang juga ahli politik pembangkang dan pengkritik lantang Najib. Mahathir baru-baru ini mempersoalkan kebijaksanaan Malaysia untuk bersetuju meminjam sejumlah besar wang daripada China.
"Tanpa benar-benar menakluk negara-negara itu, ia telah berjaya meningkatkan pengaruhnhya ke banyak negara di Asia Tenggara, malah di Asia Selatan," kata Mahathir kepada laman web berita Free Malaysia Today pada akhir Mei.
"Dengan perubahan dalam kepimpinan (negara)nya, kita lihat lebih banyak pemimpin bercita-cita tinggi yang datang dan mereka mungkin menunjukkan kekuatan masing-masing, dan itu yang sangat membimbangkan," katanya.
Majlis pecah tanah itu juga mencetuskan kontroversi apabila akhbar Straits Times memetik seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia sebagai berkata bahawa Wang Yong telah "menyentuh sedikit" mengenai tawaran China untuk menjual pakej pelancar roket dan sistem radar China yang akan digunakan di negeri Johor - tepat di sempadan negeri itu dengan Singapura.
Pada Khamis, pegawai angkatan tentera Malaysia berkata bahawa ia tidak menerima tawaran seperti itu daripada China, menurut laporan Reuters.
Persoalan berbangkit
Sesetengah daripada mereka yang menyuarakan keraguan tentang projek keretapi itu telah membangkitkan kebimbangan mereka mengenai akauntabiliti kerajaan terhadap projek itu dengan menyatakan tiada kajian kebolehlaksanaan atau analisis kos-faedah terperinci dibincangkan di Parlimen negara ini.
Beberapa jam selepas majlis pecah tanah itu, gabungan pembangkang Pakatan Harapan berikrar untuk meneliti projek kereta api itu dan perjanjian berkaitan kereta api lain, jika ia memenangi pilihan raya umum akan datang, menurut laman web The Malaysian Insight.
Bercakap kepada BeritaBenar, Nazari Ismail yang merupakan profesor strategi dan dasar perniagaan di Universiti Malaya berpendapat bahawa projek kereta api di seluruh dunia sering bergantung kepada subsidi kereta api daripada kerajaan.
"Malah, Shinkansen di Jepun memerlukan subsidi kerajaan, jadi projek ini mungkin memerlukan subsidi kerajaan juga," katanya pada Kamis, merujuk kepada keretapi laju Jepun.
"Kami tidak tahu berapa kosnya kerana angka itu tidak dibentangkan kepada orang awam Malaysia untuk dibincangkan."
Nazari bersetuju bahawa projek itu akan memudahkan pergerakan pengangkutan barangan tetapi berkata, kosnya akan menjadi terlalu tinggi untuk mewajarkan manfaat itu.
"Pada masa ini, Exim Bank akan menjana pendapatan berdasarkan pinjaman yang diberikan dan CCCC, yang akan membina landasan itu, bakal mendapat hasil daripada kontrak berkenaan," katanya. "Jika mahu benar-benar menguntungkan, biarlah syarikat-syarikat China yang melabur dalam projek itu dan mengambil risikonya."
Tetapi Izzuddin Yussof, seorang ahli ekonomi di Affin Hwang Investment Bank, berkata, kerajaan Malaysia dapat menampung beban pinjaman daripada bank China itu.
"Exim Bank hanya membiayai 85 peratus daripada projek itu pada kadar 3.25 peratus, yang mana adalah baik," katanya kepada BeritaBenar.
Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa kesan dan kebolehaksanaan projek itu tidak jelas jika kerajaan tidak mengumumkan kesemua data berkenaan.
Kumpulan alam sekitar juga menyuarakan kebimbangan tentang projek itu, dengan memberi amaran bahawa ia boleh merosakkan Central Forest Spine iaitu tulang belakang bagi rangkaian persekitaran kawasan sensitif yang belum disentuh yang terletak di antara kedua-dua pantai berkenaan. Tiga kumpulan berkenaan turut memohon moratorium terhadap projek itu.
"Kawasan sensitif alam sekitar ini memberikan perkhidmatan paling penting kepada negara, termasuk melindungi 90 peratus bekalan air negara, membantu dalam mengawal iklim tempatan, mitigasi banjir, serta melindungi kawasan luas biodiversiti yang tidak tukar gantinya," kata Malaysian Nature Society, PEKA dan Treat Environment Special (TrEES) dalam satu kenyataan pada Rabu.