Malaysia Tahan Hampir 700 Warga China Terlibat Sindiket Penipuan Atas Talian

Nisha David
2019.11.21
Putrajaya, Malaysia
191121-MY-CH-Scam620.jpg Warga China yang ditahan dalam serbuan Imigresen dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya untuk dokumentasi, 21 November, 2019. [S.Mahfuz/BeritaBenar]
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Hampir 700 warga China yang dipercayai sebahagian daripada sindiket penipuan atas talian ditahan dalam satu operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia pada Rabu, yang dikatakan tangkapan terbesar dalam satu operasi setakat ini.

Operasi jam 11 pagi itu dijalankan susulan dari maklumat orang awam mengenai kebanjiran warga China di bandar teknologi Cyberjaya, yang terletak 19.2 batu (31 kilometer) dari Kuala Lumpur.

Serbuan dijalankan di bangunan komersial enam tingkat yang menempatkan hampir 1,000 warga China yang dipercayai bekerja secara haram dengan sindiket itu sejak Mei lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud dalam satu sidang media di pusat pentadbiran negara Putrajaya pada Khamis menyatakan semua warga China itu tergamam sebaik menyedari serbuan keatas premis itu oleh anggota dan pegawai JIM.

Sekurang-kurangnya 1,000 orang berada di dalam bangunan itu namun ada yang berjaya melarikan diri selepas merempuh kepungan pegawai operasi, bagaimanapun Khairul berkata, 680 berjaya ditahan.

"Daripada jumlah itu, 603 adalah lelaki dan 77 adalah wanita berusia 19 hingga 35 tahun.  Kesemua mereka ditahan untuk membantu siasatan," kata Khairul.

Beliau berkata, tugas ahli sindiket itu adalah menarik minat rakyat di China untuk membuat pelaburan di mana mereka menawarkan pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat.

Beliau menambah walaupun operasi dijalankan di Malaysia, semua urus niaga dan pembayaran wang dimasukkan ke bank di China.
"Itulah sebabnya kami hanya dapat merampas 174 komputer riba, 787 komputer peribadi dan 8,230 telefon bimbit manakala tiada wang tunai yang dirampas semasa operasi.

"Premis ini berfungsi sebagai pusat panggilan dan dilengkapi dengan tahap keselamatan yang ketat. Mereka yang ingin keluar atau masuk premis perlu mempunyai kad akses. Keseluruhan bangunan itu juga dilengkapi dengan cctv," katanya lagi kepada media.

Sindiket jutaan ringgit

Sementara itu, sumber JIM yang enggan namanya disiarkan berkata jabatan itu sebenarnya tidak tahu mengenai hasil keuntungan sindiket itu tetapi boleh mengandaikan ianya bernilai jutaan ringgit berdasarkan keupayaan untuk membayar gaji ahli dan sewa bangunan.

"Sindiket itu telah membayar sewa selama enam bulan pada RM360,000 (AS$86,341) sebulan. Mereka yang bekerja dengan sindiket pula dibayar RM2,500 (AS$599.59) sebulan sebagai gaji asas mereka dan jika mereka berjaya memperolehi pelaburan, mereka akan dibayar komisen setinggi RM7,000 (AS$1678.86) sebulan," kata sumber itu.

Difahamkan jabatan itu telah memantau sindiket tersebut selama sebulan sebelum melakukan serbuan.

Beliau berkata sindiket berkenaan juga menyediakan semua pekerjanya ruang berehat dengan katil dan makanan sepanjang masa.

"Mereka bekerja dalam dua shif dan semua keperluan asas dijaga ahli sindiket. Mereka tidak perlu risau tentang apa-apa," tambah sumber itu lagi.

Walaupun tiada dokumen perjalanan ditemui, pemeriksaan biometrik yang dijalankan ke atas mereka menunjukkan kesemua mereka memasuki negara secara sah.

Sumber itu berkata sejak Januari hingga November lalu, jabatan berkenaan telah menahan seramai 1,333 warga China kerana melanggar pas lawatan sosial mereka.

"Mereka ditangkap kerana terbabit dalam aktiviti jenayah seperti ini dan juga untuk melanggar pas lawatan sosial mereka," kata sumber itu.

Sementara itu, Khairul ketika ditanya cara untuk mengelakkan Malaysia daripada digunakan sebagai pangkalan sindiket seperti itu berkata, adalah sukar untuk membuat penahanan awal kerana mereka semua datang dalam keadaan lengkap.

"Adalah sukar untuk mengesan aktiviti mereka dari awal sehingga mereka melakukan jenayah," kata Khairul.

Beliau menambah bahawa sebagai langkah proaktif, jabatan itu telah mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Besar China mengenai isu itu.

"Mereka sedar tentang warga negara mereka yang telah menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka untuk memasuki Malaysia dan terlibat dalam aktiviti jenayah seperti menjadi sebahagian daripada sindiket penipuan. Oleh itu, kami telah bersetuju untuk bertukar-tukar maklumat mengenai bagaimana menangani jenayah sindiket seperti ini, "katanya.

Kesemua mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Imigresen 1963 kerana melanggar pas lawatan sosial mereka, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 untuk mengendalikan dan tinggal di Malaysia tanpa pas sah dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959 untuk tinggal terlalu lama.

Hadkan tempoh lawatan sosial

Tempoh penginapan untuk lawatan sosial pas pemegang perlu dikurangkan dari tiga bulan ke 30 hari untuk mengelak daripada disalahgunakan untuk kegiatan jenayah, kata pakar kriminologi Zalmizy Hussin dari Universiti Utara Malaysia kepada BeritaBenar.

"Kementerian Dalam Negeri perlu memendekkan tempoh berkenaan jika seseorang mahu menghabiskan lebih banyak masa di sini sebagai pelancong, mereka perlu memperbaharui pas atau meninggalkan negara apabila ia tamat. Itulah satu-satunya cara untuk memantau mereka," tambah beliau.

Pada masa ini, Zalmizy berkata mana-mana pelawat asing yang masuk ke Malaysia bebas bergerak tanpa pemantauan.

"Kita perlu melakukan sesuatu mengenainya. Pergerakan dan aktiviti mereka perlu dipantau untuk keselamatan negara, "katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Forensik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Geshina Ayu Mat Saat berkata keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan meskipun negara boleh memperoleh pendapatan dengan melonggarkan undang-undang imigresen bagi mereka yang datang dari China dan India.

"Sentiasa perlu meneliti baik buruknya. Banyak negara yang mempunyai keselamatan yang serupa tetapi pendapatan dari pelancongan masih menguntungkan. Keselamatan negara kita tidak sepatutnya berada di tempat kedua.

"Tambahan pula, berapa lama seorang individu atau sekumpulan orang perlu berada di negara asing jika tujuannya hanya untuk melawat? Kita boleh memberi tumpuan kepada eko- pelancongan dan agro-pelancongan serta pelancongan kesihatan yang menyasarkan pakej pelancongan unik yang telah dirancang jangka masa. Ia terus menguatkan pengurangan had masa visa," katanya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.