Pihak Berkuasa Ketatkan Langkah Perjalanan, Kes COVID Meningkat di Malaysia

Nisha David, Tia Asmara & Wilawan Watcharasakwet
2020.03.05
Kuala Lumpur, Jakarta & Bangkok
200305-MY-COVID-masks-1000.jpg Pejalan kaki memakai topeng pelindung semasa menyeberangi sebatang jalan di pusat bandar Kuala Lumpur, 5 Mac, 2020.
[AP]

Pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia mengetatkan sekatan perjalanan dalam usaha mencegah penularan kes baru koronavirus, setelah berlaku peningkatan kes di Malaysia dengan Indonesia mengesahkan kes pertama manakala Thailand kematian pertama.

Malaysia telah melaporkan 26 kes baru dalam tempoh tiga hari sejak Selasa, membawa kepada 55 orang di negara itu, yang telah dijangkiti virus misteri yang dikenali sebagai COVID-19.

Pada Khamis, kerajaan Malaysia telah melaporkan lima kes baru dan pada masa yang sama mengadakan mesyuarat peringkat tinggi dalam menentukan bagaimana untuk bertindak terhadap "gelombang kedua wabak COVID-19," kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah, yang merujuk kepada berlakunya peningkatan kes di negara itu.

Lima kes terbaru adalah sebahagian daripada sekumpulan dua belas kes yang disahkan COVID yang mempunyai kaitan dengan seorang pesakit, lelaki Malaysia berusia 52 tahun yang telah melawat China pada pertengahan Januari, kata kenyataan Kementerian Kesihatan.

“Selepas mesyuarat pada Khamis, para pegawai memutuskan untuk menyekat sementara kemasukan semua pelawat tanpa mengira warganegara yang berada atau berkunjung ke bandar dan wilayah yang disenarai dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia.

“Bandar dan wilayah terlibat adalah Lombardy, Veneto dan Emilia Romagna di Itali; Tehran, Qom dan Gila di Iran serta Hokkaido di Jepun yang terjejas teruk oleh virus tersebut. Rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar menangguhkan sementara ke bandar dan wilayah ini, kata Noor Hisham dalam satu kenyataan pada Khamis.

"Kerajaan ... memutuskan untuk menyekat sementara mengharamkan pelawat / pengembara dari mana-mana negara yang telah melawat atau ke [kawasan tersebut] dalam masa 14 hari sebelum ketibaan mereka ke Malaysia," katanya.

Pada 28 Feb, Malaysia mengumumkan sekatan sementara terhadap warga Korea Selatan yang melakukan perjalanan ke negara itu, termasuk larangan ke atas semua warga asing yang berada di Daegu City atau wilayah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelumnya, menurut laporan media tempatan.

Lebih daripada 93,000 kes COVID-19 telah disahkan dan sekurang-kurangnya 3,000 kematian dilaporkan di 77 buah negara dengan kebanyakan kes tertumpu di China, di mana wabak itu mula-mula dikesan, demikian menurut maklumat terkini dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO ).

Di luar China, tiga negara - Korea Selatan, Iran dan Itali - telah dikenalpasti sebagai titik panas bagi virus tersebut, dengan beribu-ribu kes dikesan dan skor kematian dilaporkan.

Pada Khamis di Jakarta, kerajaan negara itu telah mengumumkan larangan perjalanan serupa terhadap pelawat yang datang dari wilayah di Itali, Iran dan Korea Selatan yang dilanda teruk  oleh virus berkenaan.

Pelancong yang datang dari kawasan-kawasan di negara-negara yang terletak di luar kawasan yang terjejas akan dibenarkan memasuki Indonesia, dengan syarat mereka menunjukkan sijil yang dikeluarkan oleh pegawai-pegawai kesihatan di negara masing-masing, kata Kementerian Luar Negeri Indonesia.

"Menurut laporan terbaru WHO, kini terdapat peningkatan yang signifikan kes COVID-19 di luar China, khususnya di tiga negara: Iran, Itali, dan Republik Korea (Korea Selatan), dan demi kepentingan kesihatan masyarakat awam, Indonesia telah mengeluarkan langkah sementara bagi  pelawat yang masuk dari tiga negara tersebut," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Indonesia, negara yang paling padat populasi penduduk di Asia Tenggara, telah mengumumkan dua kes pertama COVID-19 pada 2 Mac, berminggu-minggu selepas negara-negara jirannya mengesahkan mengenai kes virus itu di negara mereka.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.