WHO, KKM Jangka Kes Positif COVID-19 Memuncak Pertengahan April

Muzliza Mustafa & Noah Lee
2020.04.02
Kuala Lumpur, Malaysia
200402-MY-Covid-WHOKKM1000.jpg Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan kerja-kerja disinfeksi, nyahcemar COVID-19 di sekitar Kuala Lumpur, Malaysia, 2 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Dua pihak berkuasa kesihatan menjangka bahawa jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia akan memuncak menjelang pertengahan bulan April 2020 kerana ada tanda-tanda lengkok jangkitan yang mendatar, dengan kebimbangan bahawa kes import daripada luar adalah penyebab kepada kemuncak itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) senada berhubung jangkaan kemuncak kes COVID-19 yang bakal ditempuhi Malaysia pada pertengahan bulan atas beberapa faktor yang selari berhubung jantikan mendatar.

"Jangkaan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu adalah sama dengan jangkaan kami [KKM]. Lebih-lebih lagi menyedari mengenai kes import di mana ramai rakyat Malaysia kini kembali ke tanahair dari luar negara.

"Jadi, ia satu kerisauan buat kami jika kes import COVID-19 akan meningkat dalam negara. Inilah salah satu sebabnya mengapa kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata Noor Hisham.

Atas sebab itu, bermula dari 3 April, rakyat Malaysia yang tiba dari negara luar wajib berada di pusat-pusat kuarantin yang terletak seluruh negara selama 14 hari samaada mereka mempunyai simptom atau tidak.

Ketua misi dan wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Ying-Ru Lo berkata data diperolehi WHO menunjukkan bahawa terdapat tanda-tanda awal jumlah kes baru semakin mendatar di Malaysia.

“Namun ia tetap boleh berubah menjadi tidak terkawal sekiranya langkah-langkah pencegahan yang dilakukan kerajaan ketika ini ditarik semula dan penduduk tidak meneruskan amalan kebersihan seperti disyorkan,” kata Ying-Ru seperti dilaporkan agensi berita antarabangsa Reuters pada Khamis.

Usaha BeritaBenar untuk mendapatkan ulasan daripada beliau secara langsung dan pertubuhan itu bagaimanapun tidak berjaya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata "Sekiranya dalam jangka masa dua minggu akan datang ini semua dapat bersama memainkan peranan dengan duduk di rumah, amalkan kebersihan dengan mencuci tangan, jarak sosial dan disiplin sosial, kita berharap akan dapat mendatarkan lengkok graf (jumlah kes) dalam tempoh hujung minggu pertama April, atau awal minggu kedua,"

Beliau juga menegaskan bahawa usaha KKM untuk mendatarkan graf kes positif itu bertujuan bagi memastikan bahawa kesemua hospital dan fasiliti yang dikhususkan bagi merawat pesakit COVID-19 mampu menampung jumlah kes sekiranya mereka dihujani jumlah kes yang banyak secara tiba-tiba.

Ini amat penting terutama sekali bagi memastikan kapasiti unit rawatan rapi adalah mencukupi bagi memberikan rawatan kepada mereka yang kritikal.

Malaysia mengumumkan lanjutan tempoh PKP dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19 selepas fasa pertama berakhir 31 Mac lalu manakala fasa kedua dengan peraturan yang lebih ketat akan berakhir pada 14 April depan.

Noor Hisham berkat, sebanyak 208 kes baharu direkodkan pada Khamis di Malaysia, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 mencecah 3,116 kes dengan 50 kematian termasuk lima kematian terbaharu yang dilaporkan.

Beliau turut memaklumkan bahawa keseluruhan jumlah 767 kes telah pulih dilaporkan di seluruh negara sehingga Khamis.

Sementara itu, menurut data yang dikemaskini oleh pakar penyakit berjangkit di Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat, lebih daripada satu juta kes coronavirus telah didaftarkan di seluruh dunia dengan lebih 51,000 orang telah meninggal dunia manakala 208,000 telah pulih.

COVID-19 mula dikesan di China, sejak Disember lalu, telah merebak hampir keseluruh dunia sehingga menyebabkan WHO mengisytiharkan yang wabak koronavirus dari Wuhan itu sebagai kecemasan kesihatan dunia sambil mengakui wabak tersebut adalah risiko di luar China pada Mac lepas.

Peserta tabligh pulang


Dalam pada itu, sejumlah 85 rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpuan tabligh di Sulawesi, Indonesia pertengahan Mac telah pulang melalui jalan laut dan darat serta masuk menerusi Johor dan Sabah sejak 23 Mac lalu, dengan empat daripadanya telah disahkan dijangkiti COVID-19 ,menurut pihak berkuasa Malaysia.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan jumlah mereka yang pulang melalui Johor adalah seramai 73 orang dengan 68 adalah lelaki manakala lima lagi adalah wanita yang berumur antara 15 dan 76 tahun.

“Kesemua mereka telah disaring dan sekarang ini dikuarantin selama 14 hari di beberapa pusat kuarantin di Johor,” kata beliau kepada BeritaBenar.

Sabah turut menahan beberapa peserta tabligh di Sulawesi sejak minggu lalu dengan KKM pada minggu lepas mengatakan kira-kira 87 rakyat Malaysia telah dikenalpasti menyertai perhimpunan di Indonesia itu.

Sementara itu sumber dalam kerajaan pula mengesahkan bahawa empat daripada 73 itu disahkan positif COVID-19 dan percaya jumlah mereka yang ke Sulawesi adalah lebih tinggi daripada angka yang dikeluarkan Kementerian Luar dan Kesihatan tersebut.

“Menurut maklumat, ada 120 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di Indonesia. Lokasi sebenar mereka tidak diketahui,” kata sumber yang namanya tidak dapat disiarkan. BeritaBenar cuba untuk mendapatkan pengesahan daripada KKM bagaimanapun gagal.

Noor Hisham minggu lalu memberitahu media bahawa seramai 87 jemaah tabligh Malaysia telah dikenalpasti dan pihak berkuasa, dan usaha menjejaki mereka untuk penyaringan sedang dijalankan.

Beliau juga memberitahu kluster perhimpunan tabligh Sri Petaling merupakan kluster jangkitan COVID-19 terbesar di Malaysia setakat ini, dengan seramai 18,826 orang telah menjalani saringan dan 1,407 daripadanya adalah positif manakala 3,400 lagi masih sedang dikesan.

Ubat bantu pesakit COVID-19

Menyentuh mengenai ubat yang digunakan bagi merawat pesakit COVID-19 pula, Noor Hisham memaklumkan bahawa selain rawatan menggunakan ubatan sedia ada secara off-label, seperti ubat malaria hydroxychloroquine, KKM juga akan menggunakan ubatan baru ke atas pesakit.

Antara ubat baru yang digunakan ialah Remdesivir, iaitu sejenis ubat antiviral yang masih dalam tahap eksperimen oleh sebuah syarikat yang berpusat di Amerika Syarikat.

Sehingga kini, tambah Noor Hisham, KKM telah meluluskan beberapa permohonan untuk membawa remdesivir masuk ke Malaysia.

Menurut syarikat Gilead Sciences, pengeluar ubat berkenaan dalam laman webnya memberitahu yang Remdesivir pernah diuji ke atas haiwan bagi melawan koronavirus jenis MERS dan SARS, yang mempunyai struktur hampir sama dengan COVID-19.

"Dari data praklinikal yang terhad dalam ujian remdesivir terhadap MERS dan SARS, ia menunjukkan bahawa remdesivir mungkin mempunyai potensi bagi aktiviti melawan COVID-19," kata syarikat itu.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.