Kes Covid meningkat di China, Malaysia perketat saringan terhadap pelancong
2022.12.30
Kuala Lumpur

Malaysia pada Jumaat berkata negara itu akan memeriksa semua pengembara yang tiba dari negara China sekiranya mereka mempunyai demam atau gejala COVID-19, serta membuat ujian ke atas air kumbahan dalam pesawat yang terbang dari sana, susulan peningkatan mendadak kes wabak tersebut di negara berkenaan.
Industri pelancongan Malaysia yang terkesan teruk oleh pandemik sebelum ini mengharapkan kepada kembalinya para pelancong dari China untuk menghidupkan kembali sektor tersebut, dengan kira-kira 1 juta pelancong China dianggarkan akan masuk pada 2023, tetapi satu persatuan pengusaha pelancongan menggesa kerajaan supaya menghentikan ketibaan mereka buat sementara waktu sehingga kes-kes COVID-19 di negara Tembok Besar itu menurun.
Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan media pada Jumaat berkata negara itu akan memperkukuhkan pemantauan terhadap kes COVID-19 termasuk melaksanakan survelan ke atas kes seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) di kalangan yang mempunyai sejarah perjalanan ke China bagi tempoh 14 hari atau mempunyai kontak rapat dengan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara itu.
"Survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) juga diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China. Sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19.
"Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk negara China di PMA akan melalui saringan demam. Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula dan sekiranya disyaki COVID-19, ujian COVID-19 akan dijalankan," kata menteri itu.
Tambah Zaliha, kes-kes ILI dan SARI yang mempunyai sejarah perjalanan ke China atau mempunyai kontak rapat dengan individu sedemikian akan dibuat ujian COVID-19, dan sekiranya didapati positif, semua sampel mereka akan turut dihantar untuk penjujukan genom.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sebanyak 159,232 kes positif COVID-19 dengan 472 kematian direkodkan sepanjang tempoh tujuh hari lepas di laporkan di China.
Selain mempertingkatkan pemantauan, Kementerian Kesihatan juga melakukan persediaan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan jangkitan COVID-19 di Malaysia, kata Zaliha, termasuk memperkukuhkan pengurusan COVID-19 melalui pendigitalan, serta memastikan semua pusat penilaian COVID-19 beroperasi secara fizikal dan secara maya.
"Pusat penilaian COVID-19 di klinik yang dikenalpasti bersedia untuk menerima kedatangan dan panggilan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan COVID-19," kata menteri.
Sekat kedatangan
Sementara itu, Mohd Khalid Harun, presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia, menggesa kerajaan supaya menyekat kedatangan pelancong China buat sementara waktu susulan peningkatakan kes COVID-19 di negara itu.
Dalam satu kenyataan kepada agensi berita Bernama, Khalid berkata larangan itu perlu untuk melindungi industri pelancongan negara yang telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.
"Trauma yang dihadapi oleh pemain industri pelancongan akibat COVID-19 masih belum selesai malah banyak agensi pelancongan serta hotel ditutup sepenuhnya akibat COVID-19 dengan kerugian berbilion ringgit dalam tempoh tahun yang lalu," kata Khalid dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa pemain industri itu untuk berhenti bergantung kepada pelancong dari China buat masa ini dan cuba menarik kedatangan pelancong dari Timur Tengah dan Eropah.
Uzaidi Udanis, presiden Majlis Pelancongan Malaysia, berkata pelancong dari China adalah penting kepada industri pelancongan Malaysia kerana mereka membawa pendapatan yang tinggi untuk para pengusaha.
Menurut beliau, pelancong China merupakan antara kumpulan yang terbesar yang datang ke Malaysia sebelum ini, dengan kira-kira 3.1 juta pada tahun 2019.
"Tahun ini, antara Januari dan September, kita menerima 100,000 pelancong dari China yang datang sama ada untuk urusan perniagaan, belajar atau untuk mendapatkan rawatan perubatan. Kita menganggarkan 300,000 akan datang tahun depan, tetapi para pemain industri berharap angka itu akan dapat meningkat ke 1 juta menjelang Disember 2023," kata Uzaidi kepada BenarNews.
Sementara itu, seorang pakar kesihatan berkata pihak berkuasa mungkin perlu menguatkuasakan kembali penggunaan topeng pelitup muka sekiranya varian baru COVID-19 yang mempunyai kadar jangkitan tinggi merebak di dalam negara.
Moy Foong Ming, seorang profesor bidang penyakit berjangkit dan kesihatan awam di Universiti Malaya, berkata Kementerian Kesihatan juga patut mengarahkan para pelancong yang datang dari China supaya membuat ujian COVID-19 dan disahkan negatif dua hari sebelum ketibaan mereka ke Malaysia.
"Minta mereka buat ujian COVID-19 dan disahkan negatif dua hari sebelum ketibaan, dan juga lakukan pemeriksaan secara rawak pada para pengembara yang tiba dari China. Mereka yang didapati positif mesti menjalani kuarantin," kata beliau kepada BenarNews.
Doktor tersebut juga mencadangkan supaya kerajaan menjalankan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 dengan lebih agresif untuk golongan warga emas dan mereka yang berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada pagi Jumaat berkata tumpuan juga tidak seharusnya hanya diberikan kepada China kerana varian baru COVID-19 boleh merebak merentasi sempadan.
"Maka tumpuan dan tindakan kita hanya untuk negara China sahaja tidak akan berkesan dan juga tidak munasabah. Kita perlu meningkatkan pemantauan dan survelan dari pelbagai sumber dan bukan hanya dari pengembara dari China sahaja tetapi dari semua destinasi," kata beliau.
Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai supaya meningkatkan aktiviti pencegahan kendiri dan patuh kepada tindakan kesihatan awam dengan mengamalkan pemakaian pelitup muka serta selalu mencuci tangan, antara lainnya.