Dera Pembantu Rumah, ‘Datin’ Dihukum Lapan Tahun Penjara

N. Nantha
2018.03.29
Kuala Lumpur
180329-MY-datin1000.jpg Rozita Mohamad Ali (tengah) dibawa oleh anggota polis wanita setelah dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, 29 Mac, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Tinggi Malaysia pada Khamis menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara terhadap seorang wanita yang dikatakan isteri kepada seorang kenamaan kerana mendera pembantu rumahnya, dan membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskannya dengan bon "berkelakuan baik" dalam kes yang membangkitkan kemarahan negara.

Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan keputusan terdahulu oleh sebuah mahkamah yang lebih rendah yang dianggap ‘tidak setimpal’ dengan jenayah yang dilakukan oleh wanita yang dikatakan berpangkat Datin itu.

Hakim Tun Abdul Majid Tun Hamzah, sebaliknya menjatuhkan lapan tahun penjara ke atas Rozita Mohamad Ali, 44, selepas membenarkan permohonan semakan terhadap hukuman yang difailkan oleh pihak pendakwaan dengan mengambil keputusan menimbang semula keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Seksyen Petaling Jaya pada 15 Mac lalu.

Pada waktu itu, Hakim Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Mohamamed Mokhzani Mokhtar telah mengenakan bon ‘berkelakuan baik’ selama lima tahun ke atas Rozita dan jaminan RM20,000 selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Tun Abdul Majid dalam membentangkan keputusan beliau berkata, Mahkamah Sekyen itu telah menggunakan budi bicara mereka dengan salah dalam mengenakan hukuman itu.

Beliau turut berkata bahawa penghakiman tersebut juga salah apabila menggunakan alasan penarikan semula laporan polis oleh mangsa Suyanti Sutrinso yang kini sudah kembali ke Indonesia sebagai faktor untuk memberikan bon berkelakuan baik kepada tertuduh.

Katanya, ia juga tidak mencerminkan betapa beratnya kesalahan yang dilakukan.

“Sebaik sahaja aduan polis dibuat, ini bukan lagi kesnya. Ini kes negara.

“Dan kini terpulang kepada peguam negara untuk meneruskan kes terhadap pesalah yang didakwa jika beliau mendapati bukti yang cukup dalam aduan itu,” kata Tun Abdul Majid dalam penghakimannya.

Kes di hadapan Hakim Tun Abdul Majid dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad yang juga merupakan Ketua Unit Pendakwaan Selangor manakala responden diwakili oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Selepas keputusan pada 15 Mac lalu, Jabatan Peguam Negara membuat permohonan semakan semula hukuman, selepas keputusan awal menerima kritikan hebat dari orang awam yang menganggap hukuman yang dikenakan adalah tidak setimpal dengan tindakan dan perlakuan tertuduh terhadap pembantu rumahnya sehingga mendatangkan kecederaan parah pada mangsa.

Mahkamah menetapkan 21 Mac sebagai tarikh mendengar rayuan keputusan mahkamah tetapi terpaksa di tangguh sehingga 29 Mac untuk memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk mencari Rozita yang dikatakan gagal ditemui.

Guna mop, besi pukul

Rozita pada awal prosiding pada Khamis turut memberitahu bahawa beliau bukanlah seorang Datin seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Mengikut pertuduhan, Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop, sekaki payung, sebatang besi, satu alat mainan kucing dan penyangkut baju yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, di sini antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Keputusan mahkamah sebelum ini mengejutkan orang ramai yang masih terkesan dengan kisah penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia Adelina Lisao di Pulau Pinang sehingga menyebabkan kematian pada Februari yang lalu.

Adelina meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Seberang Jaya sehari selepas diselamatkan oleh polis dari rumah majikannya di Bukit Mertajam.

Laporan bedah siasat mendedahkan Adelina maut akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah. Mangsa juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah bersama seekor anjing peliharaan mereka.

Kematian Adelina, 21, menghidupkan kembali perdebatan tentang perlunya satu inisiatif untuk melindungi hak pekerja asing di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata kes Adelina adalah kes terpencil dan beliau berharap Indonesia tidak mengambil langkah drastik.

Berikutan peningkatan kes penderaan pembantu rumah, Indonesia dalam satu laporan telah mendesak supaya moratorium diadakan untuk mengkaji semula penghantaran rakyatnya ke Malaysia untuk mengambil pekerjaan tersebut.

Terdapat kira-kira 250,000 warga asing bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.