ECRL Diteruskan, Jajaran dan Kos Dipotong

Staf BeritaBenar
2019.04.12
Washington & Kuala Lumpur, Malaysia
190412-MY-CH-ECRL1000.jpg Wakil Khas Perdana Menteri Malaysia Daim Zainuddin berada di China untuk berunding mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur [ECRL] yang disokong pentadbiran negara itu. Daim tiba di Kedutaan Malaysia di Beijing, China, 12 April, 2019.
[AP]

Projek Laluan Rel Pantai Timur [ECRL] yang penuh kontroversi serta tidak konsisten mengenai statusnya akan disambung semula apabila Malaysia pada Jumaat menandatangani satu perjanjian tambahan baharu di Beijing, dengan kos pembinaan berbilion ringgit yang dipotong.

Putrajaya melalui Pejabat Perdana Menteri Malaysia pada Jumaat mengeluarkan kenyataan empat perenggan mengenai perjanjian tambahan baharu yang dipersetujui di China itu. Wakil Khas Perdana Menteri Daim Zainuddin bertemu dengan pegawai kerajaan negara itu, di Beijing berhubung projek ECRL berkenaan.

“Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada 44 bilion ringgit [AS$10.7 bilion], pengurangan sebanyak 21.5 bilion ringgit daripada kos asalnya 65.5 bilion ringgit,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Jumaat.

Perjanjian baru itu menurut kenyataan tersebut dapat membuka jalan untuk menyambung semula projek ECRL dengan lebih memberi manfaat kepada Malaysia serta dapat meringankan beban kewangan negara.

Keputusan untuk meneruskan semula projek berkenaan berlaku apabila Putrajaya dan Beijing mengadakan rundingan bersama sejak beberapa bulan lalu selepas kontrak yang ditandatangani oleh pentadbiran Barisan Nasional [BN] semasa Najib Razak menjadi Perdana Menteri didakwa berat sebelah serta kos yang sangat tinggi.

Mahathir Mohamad yang mengetuai kerajaan baru Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu berkata Malaysia perlu menanggung kos yang tinggi jika projek itu dikekalkan dan terpaksa membayar sejumlah besar pampasan sekiranya kontrak itu ditamatkan.

Sejak mengambil alih Putrajaya, pentadbiran dan pemimpin PH tidak konsisten dan sering dilihat memberi isyarat yang bercampur-campur dalam setiap kenyataan berhubung projek berkenaan.

Pada Januari lepas, dua menteri Kabinet Mahathir, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali telah membuat kenyataan berbeza berhubung projek itu sehingga arahan ‘gag’ dikeluarkan dan hanya Perdana Menteri yang boleh mengulas mengenainya.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat itu juga berkata, “Kerajaan Malaysia menyambut baik permeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), yang merangkumi aspek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian projek tersebut,”

Sementara itu, agensi berita nasional Malaysia Bernama melaporkan Daim berkata jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer [24.8 batu] menjadikannya sejauh 648 kilometer [403 batu] dengan kerja-kerja pembinaan semula projek itu akan dimulakan secepat mungkin.

“Jarak landasan baharu yang bakal dibina itu meliputi sejauh 648 kilometer berbanding rancangan awal sejauh 688 kilometer dengan ciri lain seperti landasan berkembar bagaimanapun masih dikekalkan sepertimana perjanjian asal,” kata Daim seperti dilaporkan agensi itu semasa beliau bertemu media Malaysia di Kedutaan Malaysia di Beijing.

Daim yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata, “Beberapa stesen akan turut digugurkan pembinaannya seperti Gombak manakala jajaran baharu yang diperkenalkan adalah di Jelebu, Negeri Sembilan,”

"Berikutan itu, jajaran baharu sekarang ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang,” katanya.

Bernama dalam laporannya juga memetik Daim semasa diminta mengulas mengenai pengurangan faedah pinjaman projek landasan kereta api itu sebagai berkata perkara berkenaan  akan diperincikan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada satu sidang media, Isnin depan.

“Perkara itu akan diperincikan oleh Perdana Menteri. Tetapi secara amnya, jumlah itu akan berkurangan seiring pengurangan jumlah pinjaman baharu,” katanya.

Selain ECRL, kerajaan Mahathir tahun lalu turut membatalkan dua saluran paip gas yang disokong China bernilai kira-kira 9.3 bilion ringgit dengan alasan Malaysia tidak mampu meneruskannya selepas mewarisi hutang daripada kerajaan BN sebanyak 1 trilion ringgit (AS$244 bilion).

Najib persoal jimat kos

Pada Ogos 2017, Najib semasa majlis pecah tanah projek tersebut di Kuantan, menyifatkan jajaran sepanjang 688 km (430 batu) bernilai AS$13 bilion itu sebagai pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik pantai timur Semenanjung Malaysia.

Laluan itu menghubungkan Pelabuhan Klang, di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan turut merentasi dua negeri lain - Pahang dan Terengganu - jangkaan siap pada 2024.

ECRL itu juga merupakan satu projek utama di Malaysia bagi inisiatif One Belt, One Road (OBOR) oleh China di mana menerusi pacuan infrastruktur bernilai trillion dolar itu, Beijing merancang  membina satu rangkaian jalan raya, landasan kereta api dan pelabuhan di selatan dan Asia Selatan bagi membolehkannya mudah berdagang dengan negara Eropah melalui Lautan Hindi dan Asia Tengah.

Dalam perjanjian ECRL terdahulu, CCCC bertindak sebagai kontraktor utama bagi projek landasan kereta api itu manakala MRL telah disenarai sebagai pemiliknya dan menerima pinjaman daripada Bank Eksport dan Import China.

Najib semasa mengulas mengenai perkembangan terbaru projek itu selepas majlis perjanjian tambahan di Beijing itu turut mempersoal kemana perginya hentian Kuantan, Terengganu, Bentong dan Gombak.

“Mana pergi hentian Kuantan, Terengganu, Bentong, Gombak? dan Rantau di mana? Tidak sampai ke ibukota?,

“Laluan juga dipendekkan dari 688km kepada 648km walaupun ianya akan sampai ke sempadan Negeri Sembilan sekarang. Ini bermaksud banyak hentian sebelum ini telah dihapuskan dan laluan ditukar dengan yang kurang mencabar (seperti terowong merentas banjaran Titiwangsa yang kosnya tinggi) dan jaraknya juga telah dipendekkan. Apa yang jimatnya?” persoalan Najib di laman media sosial Facebooknya pada Jumaat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.