IPCMC: Ketua Polis Negara Mahu Hak Anggotanya Turut Dihormati
2018.08.02
Kuala Lumpur, Malaysia

Ketua Polis Malaysia meminta kerajaan mempertimbangkan beberapa isu sebelum sebuah suruhanjaya ditubuhkan untuk mengawasi salahlaku pihak berkuasa tersebut.
Mohamad Fuzi Harun, Ketua Polis Negara berkata, pihak berkuasa itu telah menyuarakan kebimbangannya dengan kerajaan pusat di Putrajaya, terutamanya berhubung dengan pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC), serta hak anggota polis yang dituduh terlibat dalam salahlaku.
"Polis juga mempunyai hak dan kami tidak mahu hak kami diketepikan sebaik sahaja suruhanjaya itu ditubuhkan. Kami tidak membantah pembentukan IPCMC. Malah, kami juga telah menghantar cadangan kepada kerajaan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kebimbangan dari pihak polis yang mesti ditangani terlebih dahulu sebelum suruhanjaya itu dibentuk,” kata Fuzi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Seminar Bersama Mengenai Hak Asasi Manusia antara Polis dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia [SUHAKAM] di Kuala Lumpur pada Khamis.
Fuzi adalah Ketua Polis pertama yang bersetuju dengan penubuhan IPCMC, yang pernah ditentang oleh ketua polis terdahulu ketika ia diusulkan pada 2005.
IPCMC telah menjadi topik hangat di kalangan aktivis hak asasi manusia itu sejak beberapa dekad lalu kerana terdapat banyak kes penderaan dalam tahanan yang melibatkan anggota dan pegawai polis yang masih belum diselesaikan.
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan Pakatan Harapan [PH] sedang dalam proses untuk menubuhkan suruhanjaya tersebut, iaitu selepas PH berjaya mengambilalih Putrajaya daripada kerajaan Barisan Nasional pada bulan Mei.
Ahli Parlimen Pagoh dari Johor itu berkata, suruhanjaya berkenaan adalah sebahagian daripada janji yang dibuat oleh PH dalam manifesto pilihan raya oleh gabungan empat parti yang berjanji untuk memperbaharui struktur pasukan polis.
"Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan dan kebimbangan yang kami sampaikan," tambah Fuzi.
Keterbukaan pasukan polis
Sementara itu, pengerusi SUHAKAM, Razali Ismail memuji keterbukaan pihak polis yang bersetuju dan menerima penubuhan IPCMC samba berkata, "Pasukan polis adalah entiti yang sangat penting di negara kita. Mereka mesti menghargai hak asasi manusia lebih daripada pihak lain, dan saya berharap ini adalah langkah ke hadapan dalam memperkasakan hak asasi manusia di Malaysia," kata Razali.
Jerald Joseph, Pesuruhjaya SUHAKAM memberitahu BeritaBenar bahawa pengawasan terhadap pasukan polis perlu juga mempertimbangkan usaha kebajikan anggota pasukan dan bukan hanya memberi fokus kepada kesalahan mereka.
Sementara itu, peguam hak asasi manusia terkenal Eric Paulsen ketika dihubungi BeritaBenar menyambut baik kenyataan Fuzi sambil berkata, usaha yang diambil pihak polis itu adalah satu langkah ke hadapan bagi hak asasi manusia di Malaysia.
"Saya mengalu-alu kenyataan Ketua Polis Negara. IPCMC adalah suruhanjaya yang telah diperbincangkan sejak 2005 dan ini adalah masa yang sangat tepat untuk menubuhkannya. Banyak aduan yang diterima melibatkan agensi keselamatan termasuk peningkatan jumlah kematian dalam tahanan dan kematian akibat penembakan tanpa mengikut peraturan.
"Polis tidak boleh mengatakan bahawa mereka telah menyiasat pegawai mereka secara adil kerana itu tidak benar. Kami mahu yang terbaik untuk pasukan polis - tidak lebih daripada itu," kata Eric yang juga pengarah undang-undang badan bukan kerajaan Fortify Rights.
Kaji semula kes kematian dalam tahanan
Fuzi juga berjanji di sidang media itu, untuk mengkaji semula kes-kes yang melibatkan kematian dalam tahanan dengan lebih serius dan juga memperbaiki keadaan bilik tahanan di seluruh negara.
"Kami akan memperteguhkan hak asasi manusia. Sambil itu, kami berusaha untuk menamatkan kematian dalam tahanan, dan memperbaiki keadaan bilik tahanan. Tiada toleransi terhadap perkara ini. Kami berharap untuk bekerjasama dengan SUHAKAM di masa hadapan, "katanya.
Malaysia mempunyai rekod kematian dalam tahanan yang tinggi. Contohnya, seramai 1,654 individu yang berada dalam tahanan polis meninggal dunia dari tahun 2010 hingga Februari 2017, dan kes tersebut sering dikaitkan dengan penderaan dan salah laku polis.
Seramai 1,037 orang yang meninggal terdiri daripada bangsa Melayu, 222 bangsa Cina dan 182 bangsa India, 185 warga asing dan 28 lagi kaum etnik lain yang ditemui mati dalam tahanan polis dalam tempoh itu.
Jumlah tersebut itu telah dimaklumkan oleh bekas Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi semasa sesi parlimen pada 2017.
Beliau berkata, kematian orang tahanan disebabkan oleh penyakit seperti HIV, kanser, serangan jantung, masalah darah, paru-paru, TB, asma serta kekejaman polis.
Mangsa tahanan yang terbaru direkodkan pada tahun lalu ialah seorang lelaki, S.Balamurugan, 44 tahun yang ditemui mati di Balai Polis Bandar Baru Klang pada Februari.
Siasatan yang dibuat oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) mengesahkan terdapat kekerasan yang dilakukan oleh pegawai dan anggota polis sehingga menyebabkan kematian mangsa.
“Suruhanjaya mendapati kegagalan polis melepaskan si mati setelah permohonan reman ditolak majistret adalah salah laku serius kerana tidak mematuhi perintah mahkamah. Pihak polis juga gagal mematuhi arahan majistret supaya si mati dihantar ke hospital dengan kadar segera,” tambah Pengerusi EAIC A. Aziz A. Rahim pada satu sidang media di Putrajaya Januari lepas.
Balamurugan didapati meninggal akibat penyakit arteri koronari dengan pelbagai kecederaan yang disahkan oleh ahli patologi dari dua buah hospital kerajaan.