Praperbicaraan rakyat Asia Tenggara disambung semula di Guantanamo
2023.04.26
Fort Meade, Maryland, Amerika Syarikat

Selepas tiga hari prosiding mahkamah kes melibatkan tiga rakyat Asia Tenggara yang dipenjarakan di Teluk Guantanamo, pasukan pendakwa raya masih lagi belum selesai berkongsi bukti dengan para peguam bela, sekaligus menggambarkan perkembangan perlahan kes melibatkan kesemua lelaki berkenaan yang ditahan di penjara kontroversi itu sejak 2006.
Rakyat Indonesia, Encep Nurjaman Indonesia (yang juga dikenali sebagai Hambali) serta rakyat Malaysia, Nazir bin Lep dan Farik bin Amin, hadir di kamar mahkamah di pangkalan tentera Amerika Syarikat itu di Cuba, bagi prosiding berkenaan yang turut disaksikan oleh wartawan melalui pautan video ke Fort Meade iaitu sebuah pangkalan tentera yang terletak kira-kira sejam dari timur laut Washington.
Kesemua lelaki itu menghadapi pertuduhan yang dikaitkan dengan kes pengeboman pengganas di Indonesia pada 2002 dan 2003.
Ketua pendakwa raya Kolonel George C. Kraehe berkata pasukannya sedang berusaha untuk "membawa perbicaraan kes ini mengikut merit menjelang Mac 2025."
Terdahulu, Brian Bouffard yang mewakili Nazir telah mempersoalkan kelewatan kerajaan dalam mengemukakan bukti kepada pasukan pembelaan. Peguam bela Farik dan peguam bela Encep turut membangkitkan isu yang sama.
"Kami mahu tahu apa puncanya kelewatan demi kelewatan demi kelewatan ini," kata Bouffard kepada mahkamah.
Hakim Mahkamah Tentera Hayes C. Larsen mengambil maklum kebimbangan pihak pembelaan mengenai kelewatan pemfailan itu.
Kraehe berkata pasukannya sedang berusaha untuk mengumpul bukti bagi perbicaraan itu, sambil memberitahu bahawa bahawa ia sedang mengusahakannya walaupun semasa perbicaraan tersebut.
"Ini bukan perkara luar biasa dalam kes keselamatan negara," katanya.
Kraehe berkata bahawa kira-kira 90 peratus daripada bukti itu telah pun diserahkan kepada pihak pembelaan, dan baki 10 peratus lagi merupakan bukti yang amat sulit. Disebabkan itu, beberapa langkah perlu diambil sebelum ia diserahkan kepada peguam bela, katanya sambil memberitahu bahawa beliau menjangka ia selesai dilakukan pada penghujung Januari 2024.
Dirujuk sebagai "pejuang ganas yang memerangi musuh asing tanpa hak” dalam beberapa dokumen mahkamah, Nurjaman, Nazir dan Farik menghadapi pertuduhan berkaitan dua pengeboman yang membunuh 202 orang di Bali pada Oktober 2002 - serangan pengganas paling maut di Indonesia setakat ini - dan pengeboman di J.W. Hotel Marriott di Jakarta pada 2003.
Susulan penahanan mereka di Thailand pada 2003, ketiga-tiga lelaki itu dihantar ke lokasi rahsia CIA sebelum dipindahkan ke penjara Teluk Guantanamo pada 2006. Laporan Senat AS yang dikeluarkan pada 2014 mendapati bahawa ketiga-tiga lelaki itu telah diseksa semasa berada di lokasi rahsia berkenaan.
Isu interpretasi
Perbicaraan pada Isnin - hari pertama daripada tiga hari yang dijadualkan - bermula dengan pihak pendakwa raya mengemukakan pertanyaan kepada Larsen, yang akan melepaskan jawatan itu pada Jun untuk menyandang jawatan baharu sebagai pemerintah Pejabat Perkhidmatan Pertahanan Tentera Laut Barat. Menurutnya beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai siapa yang akan mengambil alih tugas sebagai hakim bagi perbicaraan itu.
Dua puluh minit selepas perbicaraan bermula, Bouffard dan Christine Funk, yang mewakili Farik, mengemukakan aduan - seperti yang mereka lakukan sepanjang proses perundangan sebelum itu – mengenai perkhidmatan penterjemahan yang tidak mencukupi dan menyatakan bahawa anak guam mereka terpaksa mendengar interpretasi dalam Bahasa Indonesia dan bukannya dalam bahasa ibunda mereka iaitu Bahasa Malaysia.
Kemudian, kedua-dua peguam bela itu memberitahu Larsen bahawa perkataan-perkataan Bahasa Inggeris turut dicampur aduk dalam penterjemahan.
"Ia lelah yang tidak boleh dielakkan," jawab Larsen sambil menolak aduan itu.
Semasa pendakwaan diadakan selama dua hari pada Ogos 2021, peguam-peguam ketiga-tiga lelaki itu menghabiskan banyak masa melakukan bantahan di hadapan Larsen berhubung rendahnya kualiti interpretasi.
Larsen telah mengarahkan pendakwa raya tentera supaya melantik dan menugaskan jurubahasa bertauliah untuk sebarang kes mahkamah yang berikutnya.