Suri Rumah Dipenjara Enam Bulan Dan Denda Hina Nabi Muhammad

Hata Wahari
2017.12.15
Kuala Lumpur
171215-my-hina620.jpg Tham Yut Mooi dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh, Perak selepas hukuman penjara enam bulan keatasnya kerana menghina Nabi Muhammad S.A.W, 15 Disember, 2017.
(BeritaBenar)

Sebuah mahkamah di Perak telah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 keatas seorang suri rumah berbangsa tionghua selepas didapati bersalah atas tiga pendakwaan menghina Nabi Muhammad S.A.W. di dalam sebuah masjid di negeri itu, tahun lalu.

Majistret Siti Hanum Md Sah dari Mahkamah Majistret Ipoh, membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan yang mendapati peguam pembela telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes berkenaan.

Selain hukuman penjara enam bulan, tertuduh, Tham Yut Mooi, 46, juga berhadapan dengan hukuman tambahan sebanyak sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda RM15,000 yang telah dikenakan terhadap beliau.

Wanita itu, didapati bersalah mengeluarkan kata-kata cacian yang menghina Nabi Muhammad di ruang solat Masjid Ubaidah, Ulu Kinta, Ipoh pada 4 Mei 2016, kira-kira pukul 5.30 petang.

Kata-kata hinaan itu dikeluarkan dengan niat serta melukakan perasaan kepercayaan agama Islam itu turut didengari oleh tiga individu lain yang berada di masjid berkenaan, mereka ialah Abdul Rahim Mat Diah, 53; Mohd Yunos Harun. 73 dan Mohd Halim Buyong, 44.

Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyebut perkataan-perkataan yang dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama lain , yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pada 10 Mei 2016, Mahkamah Majistret yang sama telah mengarahkan Yut Mooi, mendapatkan rawatan mental selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta selepas insiden itu terjadi.

Laporan media tempatan pada ketika itu menyebut yang wanita berkenaan,  seorang ejen insurans, telah didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan di mana tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Kantonis oleh jurubahasa mahkamah dan mohon dibicarakan.

Pendakwaan pada Jumaat itu, telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam WC Chiang.

Fadhil semasa perbicaraan itu, telah meminta hukuman yang berat sambal menegaskan apa yang dilakukan oleh Yut Mooi merupakan satu kesalahan yang besar dan serius, yang melibatkan sensitiviti agama,  kepentingan awam dan tidak harus dilakukan oleh sesiapa sahaja yang ingin menjaga keharmonian agama di negara itu.

“Perkataan menghina itu tidak seharusnya dikeluarkan di hadapan masyarakat Islam malah di hadapan penganut agama lain sekalipun kerana sebagai rakyat Malaysia setiap agama mesti menghormati antara satu sama lain.” kata Fadhil.

Peguam wanita itu, bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan memandangkan anak gumaannya adalah ibu kepada dua anak kecil dan terpaksa menjaga kedua ibu bapanya yang tua.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga tempoh rayuan kes berkenaan selesai dengan syarat tambahan perlu membayar jaminan RM5, 000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Malaysia mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam, membentuk kira-kira 60 peratus daripada 32 juta penduduknya. Penganut agama lain termasuk mereka yang beragama Buddha, Hindu dan Kristian.

Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia, yang telah mencapai 60 tahun  kemerdekaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.