Malaysia Dan China Bakal Tubuh Jawatankusa Tertinggi Kukuhkan Pertahanan
2017.03.29
Kuala Lumpur

Malaysia dan China akan menubuhkan satu jawatankuasa tertinggi bagi memperkukuhkan pelbagai aspek pertahanan dan keselamatan bagi kedua-dua negara yang meliputi isu Korea Utara, Laut China Selatan, militan Negara Islam (IS) dan keganasan, demikian menurut Menteri Pertahanan Malaysia Hishamuddin Hussein pada Rabu.
Hishammuddin memberitahu, jawatankuasa yang akan dipengerusikan secara bersama oleh beliau dan Menteri Pertahanan China, Chan Wanquan, akan dibentuk bagi mengukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.
“Jawatankuasa itu akan mempunyai kumpulan kerjanya sendiri yang merangkumi pendidikan, latihan, pertukaran maklumat berkaitan isu berkaitan dengan ancaman militan seperti militan Negara Islam (IS),” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Naib Pengerusi Pusat Suruhanjaya Ketenteraan Republik Rakyat China, Jeneral Xu Oiliang di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan membincangkan mengenai ancaman di Laut Sulu dan Selat Melaka terutama dalam mengekang serangan kumpulan militan Abu Sayyaf yang menyerang dan menculik anak-anak kapal yang melalui perairan-perairan tersebut.
“Draf pembentukan jawatankuasa itu telah dibentuk dan menanti masa yang sesuai untuk dilaksanakan dan perkembangan ini memperlihatkan hubungan yang unik antara kedua-dua negara,” jelas Hishammuddin.
Hishammuddin menambah, penubuhan jawatankuasa itu penting kerana ia dapat memastikan hubungan pertahanan antara Malaysia dan China dapat diteruskan walaupun berlakunya perubahan dalam kerajaan sama ada menteri ataupun parti yang memerintah.
“Hubungan dua hala tidak berkaitan dengan personaliti pemimpi, dan siapa yang menjadi pentadbir akan berubah. Hubungan tidak harus berubah sebaliknya harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Malaysia dan negara jiran Filipina telah membina hubungan lebih rapat dengan Beijing yang dilihat sebagai peralihan daripada pakatan dengan Amerika Syarikat. Filipina dan Malaysia juga adalah antara negara di Asia Tenggara yang terlibat dalam pertikaian dengan China berhubung tuntutan wilayah masing-masing di Laut China Selatan.
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada November tahun lepas memuji hubungan strategik negaranya dengan China dan memberi meluahkan rasa jengkelnya terhadap Barat di dalam satu artikel, di mana beliau memberi amaran kepada ‘bekas kuasa penjajah’ supaya melayani negara-negara kecil ‘dengan adil’ dan tidak hanya ‘berleter’ mengenai urusan dalam negara’ mereka.
Sehari selepas mempengerusikan majlis menandatangani satu perjanjian di Beijing untuk membeli empat kapal perang dari China - pembelian pertama kapal tentera China oleh Malaysia - Najib menghurai lanjut di dalam artikel yang disiarkan dalam akhbar China Daily mengenai pengukuhan kerjasama dua hala di dalam perdagangan, pelaburan dan pertahanan.
"Kini, hubungan antara negara kita sedang menuju ke aras lebih tinggi," kata Najib dalam artikel itu.
Perbincangan hubungan Malaysia-Korea Utara
Dalam pertemuan pada Rabu itu, Hishammuddin dan Xu Qiliang turut membincangkan isu diplomatik Malaysia dan Korea Utara yang kini sedikit tegang.
Apabila ditanya pemberita, Hishammuddin bagaimanapun enggan menjelaskan secara terperinci mengenai perbincangan mengenai Korea Utara, tetapi menegaskan perbincangan itu membolehkan kedua pihak untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh kedua-dua negara.
Hubungan antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara Kim Jong Un. Beliau telah diracuni dengan agen saraf yang diharamkan semasa sedang bersedia untuk menaiki pesawat di KLIA 2, pada 3 Feb lepas, menurut polis.
Pertikaian bermula apabila Malaysia enggan menyerahkan mayat Kim kepada pegawai Korea Utara tanpa bedah siasat. Kedua-dua negara telah mengusir keluar duta masing-masing dan telah menghalang rakyat mereka yang terperangkap daripada pulang
ke negara masing-masing.
Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan pembebasan sembilan rakyat Malaysia, termasuk tiga kakitangan di Kedutaan Kuala Lumpur di Pyongyang, yang telah terperangkap di Korea Utara sejak pengharaman keluar itu dibuat.
Pegawai kedua belah pihak kini cuba untuk berunding mencari penyelesaian, manakala satu sumber yang rapat dengan rundingan, dan enggan dikenali, memberitahu BeritaBenar bahawa rundingan sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
Dua wanita Asia Tenggara ditahan dan didakwa terlibat dalam pembunuhan Kim, dan pihak berkuasa tempatan mengenal pasti tujuh rakyat Korea Utara dikehendaki bagi soal siasat kes itu. Perdana Menteri Malaysia mendakwa ejen kerajaan Korea Utara terlibat dengan pembunuhan berkenaan.
Empat daripada suspek warga Korea Utara, telah dikesan melalui kamera CCTV di lapangan terbang pada hari pembunuhan itu, kemudiannya melarikan diri dari Malaysia pada 13 Februari, kata polis. Tiga suspek lain, termasuk Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara, masih dipercayai bersembunyi di kedutaan itu.