Malaysia Perkukuhkan Kerjasama Pertahanan Dengan China

Hata Wahari
2017.04.25
Kuala Lumpur
170425-my-Hishammuddin-620.jpg Hishammuddin Hussein mengetuai delegasi Kementerian Pertahanan Malaysia di mesyuarat delegasi bersama Kementerian Pertahanan China di Beijing, China, 21 April 2017.
[Ihsan Kementerian Pertahanan Malaysia]

Malaysia mengambil langkah untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik dan keselamatannya dengan China, yang merupakan satu lembaran baru bagi kedua-dua negara, susulan kunjungan Menteri Pertahanan negara itu ke Beijing minggu lalu.

Dalam lawatan tiga harinya ke China, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein menemui empat pimpinan tertinggi pertahanan negara itu terdiri daripada Menteri Pertahanan Jeneral Chang Wanquan, Menteri Keselamatan Awam Guo Shengkun, Naib Pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat Republik Rakyat China Jeneral Xu Qiliang dan Kaunselor bagi Majlis Negara China Yang Jiechi.

Antara perkara yang menjadi tumpuan perbincangan Malaysia-China semasa lawatan Hishammuddin adalah mengenai ancaman keselamatan Negara Islam (IS), pembelian kapal tentera laut dari China, isu Laut China Selatan, persefahaman maritim serta penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi kedua-dua negara yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Secara keseluruhannya, saya percaya lawatan saya ke Beijing amat penting serta berupaya memperkukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama pertahanan dengan China,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan pada Ahad.

Pada hujung Mac lalu, Menteri Pertahanan China Chan Wanquan mengadakan lawatan ke Malaysia di mana kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan oleh kedua-dua menteri pertahanan berkenaan untuk mengenal pasti bentuk kerjasama yang lebih praktikal dan berpotensi dalam aspek pertahanan dengan lebih tersusun

“Jawatankuasa itu akan mempunyai kumpulan kerjanya sendiri yang merangkumi pendidikan,  latihan, pertukaran maklumat isu berkaitan dengan ancaman militan seperti militan IS,” kata Hishammuddin pada 29 Mac.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, lawatannya ke China juga mencapai satu persetujuan untuk memberi perhatian serius dan utama terhadap landskap keselamatan global yang begitu pantas berubah dan semakin mencabar.

“Hubungan akrab yang terjalin ini akan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa mencakupi pelbagai bidang yang masih belum diterokai,” kata beliau.

Pada November lepas, Malaysia telah memeterai perjanjian pertahanan pertama bersaiz mega dengan China semasa lawatan rasmi enam hari Perdana Menteri Najib Razak ke Beijing.

Semasa ditemu ramah oleh agensi berita China, Xinhua, Najib berkata, urusniaga pertahanan signifikan itu adalah yang pertama seumpamanya di antara Malaysia dan China.

Menerusi perjanjian itu, Malaysia akan membeli empat kapal pesisir tentera laut China. Namun, Najib tidak memberi butiran lanjut mengenai urusniaga tersebut.

China telah meningkatkan eksport senjatanya sebanyak 74 peratus pada 2016, dengan menghantar persenjataan utama kepada 44 negara yang kebanyakannya di Asia dan Afrika.

Lebih 60 peratus daripada peralatan ketenteraan dihantar ke Pakistan, Bangladesh dan Myanmar, demikian menurut kajian Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm [SIPRI].

Kajian itu menunjukkan perlumbaan senjata terus berlaku di Asia Pasifik di tengah-tengah peningkatan ketegangan di Laut China Selatan, dengan negara-negara Asia yang berdekatan Beijing meningkatkan pembelian senjata mereka dengan ketaranya sejak 2012.

Kajian SIPRI itu, yang membandingkan dua tempoh lima tahun iaitu di antara 2007-2011 dan 2012-2016, menunjukkan peningkatan jumlah eksport senjata China dalam pasaran global  daripada 3.8 peratus kepada 6.2 peratus, menjadikannya pembekal ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan Rusia.

Satu laporan yang dikeluarkan oleh Pentagon pada April tahun lepas menganggarkan bahawa China menjual senjata api bernilai kira-kira $15 bilion dari 2010 hingga 2014. Tetapi, China masih bergantung kepada Rusia, Ukraine dan Perancis bagi peralatan dan komponen ketenteraan tertentu seperti enjin pesawat, yang menyumbang sebanyak 30 peratus daripada import China.

Ia juga mengimport pesawat pengangkutan besar, helikopter, kenderaan dan kapal, menurut laporan itu.

Keakraban pertahanan perkara baru

Sementara itu, Pakar Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan berkata,  walaupun hubungan Malaysia dan China amat rapat  dari segi ekonomi tetapi jalinan kerjasama dalam bidang pertahanan merupakan perkara baru.

“Dari segi pertahanan, keakraban ini merupakan satu perkara baru dan telah menarik perhatian banyak negara termasuk Amerika Syarikat kerana dari segi geopolitik antarabangsa,  dasar Malaysia adalah tidak hanya bergantung kepada satu negara dalam semua hal termasuk pertahanan,” katanya kepada BeritaBenar semasa diminta mengulas mengenai lawatan Hishammuddin ke China.

Menurutnya, strategi Malaysia untuk menjalinkan hubungan baik dengan semua kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), Peranchis,  United Kingdom (UK), Rusia dan India akan memberi manfaat kepada negara.

Mohamad Imran Abdul Hamid, bekas Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kini seorang Ahli Parlimen pembangkang pula berkata, kerajaan Malaysia perlu berhati-hati ketika berurusan dengan China terutama dalam pemerolehan senjata kerana kelengkapan tentera laut sebelum ini tidak pernah dibeli dari negara itu.

Mengulas kerjasama pertahanan Malaysia dan China,  beliau mendakwa pemerolehan kapal dari China tidak menepati keupayaan TLDM kerana sistem persenjataan dan pertahanan negara kebanyakannya adalah dari AS, Peranchis, UK, Rusia dan India.

Beliau juga mempersoal kerjasama itu dengan berkata: “Tidak ada satu sistem pertahanan Malaysia diperoleh dari China. Bagaimana sistem pertahanan itu mahu dan boleh diselaraskan dengan sistem-sistem pertahanan dari AS, Peranchis, UK, Rusia dan India?

“Kita lihat kebanyakan negara di seluruh dunia menggunakan sistem persenjataan dari barat atau dibangunkan bersama dengan syarikat pengeluaran senjata dari barat. Tidak ada yang membeli atau menerima sistem dari China,” kata Mohamad Imran, yang mewakili daerah Lumut, Perak, yang menempatkan  armada TLDM.

Mohd Imran memberitahu bahawa beliau percaya tindakan untuk membeli empat kapal Littoral Mission Ship (LMS) dari China bagi kegunaan TLDM  dijangka menjejaskan kontraktor-kontraktor yang telah pun mempunyai kontrak dengan syarikat pengeluar kapal Malaysia, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB).

“Apa yang saya bimbangkan adalah kemungkinan BNSSB dibeli oleh China tidak lama lagi. Mungkin ini merupakan strategi kerajaan untuk mendapatkan dana bagi membayar hutang-hutang yang terpaksa ditanggung berikutan kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” kata beliau kepada BeritaBenar.

Malaysia dan negara jirannya Filipina telah membina hubungan lebih rapat dengan Beijing, yang dilihat sebagai peralihan daripada pakatan dengan AS.

Malaysia dan Filipina juga adalah antara negara di Asia Tenggara yang terlibat dalam pertikaian dengan China berhubung tuntutan wilayah masing-masing di Laut China Selatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.