Malaysia Gesa Negara-negara Elak Pamerkan Kekuatan Tentera Di Laut China Selatan

Noah Lee & Drake Long
2020.07.15
Kuala Lumpur & Washington
200715-MY-CH-US-SoutChinaSea1000.jpg Foto yang dirakam dari sebuah pesawat tentera menunjukkan kerja-kerja penambakan yang didakwa dilakukan China di Terumbu Mischief iaitu pulau karang dalam rantaian Spratly di Laut China Selatan, yang terltak di barat Palawan, Filipina, 11 Mei 2015.
[AFP

KEMASKINI pada 10.45 pagi waktu tempatan ETS - 2020-07-16

Malaysia pada Rabu meminta negara-negara untuk mengelak daripada mempamerkan kekuatan tentera masing-masing di tengah-tengah ketegangan di Laut China Selatan, dua hari selepas Washington mengumumkan pendirian yang lebih tegas berhubung tuntutan Beijing ke atas wilayah perairan yang menjadi pertikaian itu.

Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein meminta negara-negara Asia Tenggara supaya memberi kerjasama dalam menyelesaikan ketegangan di wilayah maritim itu, semasa beliau tampil mengulas buat pertama kalinya mengenai isu Laut China Selatan selepas hampir tiga bulan.

"Kita perlu mengelak daripada mempamerkan kekuatan ketenteraan kerana ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah, kita perlu memastikan semua negara ASEAN bersetuju dalam hal ini…pada masa ini, kita semua sepakat dan hanya dengan cara itu kita boleh mendepani China dan A.S (Amerika Syarikat)”, katanya pada sidang media mengenai pelbagai isu, di luar persidangan Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur.  

"Malaysia adalah terlalu kecil untuk mencari penyelesaian bagi isu ini sendirian."

Dalam beberapa minggu lalu, China dan Amerika Syarikat telah menjalankan eksesais tentera laut di Laut China Selatan. Pada awal  Julai, Angkatan Laut A.S. mengerahkan dua kumpulan kapal induk ke perairan itu selepas tentera laut China melakukan eksesais di Kepulauan Paracel.

Pada Isnin, Setiausaha Negara A.S Mike Pompeo menyatakan bahawa dunia tidak akan membenarkan Beijing memperlakukan perairan yang menjadi pertikaian itu sebagai "empayar maritimnya", dan Washington akan menyokong sekutu-sekutunya di Asia Tenggara "dalam melindungi hak kedaulatan mereka terhadap sumber-sumber luar pesisir."

Keesokannya, Beijing bertindak balas dengan menuduh Washington terus "campur tangan" dalam isu Laut China Selatan serta "menimbulkan ketegangan dan mencetuskan konfrontasi di rantau itu" dengan menunjukkan kuasanya " atas alasan mahu menjaga kestabilan."

Malaysia, bersama-sama dengan tiga negara lain Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) iaitu Filipina, Vietnam dan Brunei selain China dan Taiwan membuat tuntutan terhadap wilayah laut itu, di mana Beijing telah pun membina pulau-pulau buatan dan pembangunan ketenteraan di kawasan yang didudukinya.

"Pendirian saya sangat jelas iaitu kita tidak akan bertolak ansur dalam soal kedaulatan kita, geopolitik [persaingan] kuasa besar antara A.S dan China, biarlah mereka yang menyelesaikannya dan ia bukanlah masalah yang kecil. Ia adalah masalah yang amat rumit, "kata Hishammuddin, yang menjadi diplomat tertinggi Malaysia selepas kerajaan Perikatan Nasional berkuasa pada awal Mac.

Kerajaan baru itu tidak banyak bersuara tentang isu Laut China Selatan, walaupun ketegangan antarabangsa meningkat di atau berdekatan wilayah perairan Malaysia pada April selepas kapal peninjau China dikerahkan berhampiran dengan kapal eksplorasi minyak yang dikontrak oleh Malaysia, West Capella. Kapal China itu diiringi oleh kapal Pengawal Pantai China. Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat dan Australia mengerah kapal perang masing-masing ke kawasan itu.

Pada masa itu, agensi pengawal pantai Malaysia menyatakan bahawa pihaknya sedang mengawasi pergerakan kapal peninjau berkenaan tetapi "kapal itu tidak melakukan kegiatan yang melanggar undang-undang."

Beberapa hari kemudian, Hishammuddin mengeluarkan kenyataan bahawa masalah wilayah di perairan itu harus diselesaikan secara damai berdasarkan Konvensyen PBB 1982 mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Pada  Rabu, beliau mengulangi kenyataan yang dibuatnya pada April dengan berkata  beliau bimbang tindakan mempamerkan kekuatan tentera itu boleh membawa kepada "insiden atau bencana di laut yang [boleh] berakhir dengan peperangan."

Pada sidang media Rabu, menteri luar negeri juga memberitahu bahawa "tiada lagi kapal China di perairan kita," semasa menjawab pertanyaan wartawan mengenai laporan ketua audit negara yang baru diterbitkan, yang mendedahkan bahawa kapal pengawal pantai dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan Malaysia di luar Pulau Borneo sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.

Menjawab pertanyaan susulan daripada seorang wartawan, Hishammuddin mengakui bahawa kapal-kapal China dan Amerika Syarikat berada di perairan Malaysia baru-baru ini.

"Ya, mereka berada di sana dan kapal A.S juga berada di sana. Jadi, apa yang kita buat? Dalam keadaan seperti itu, kita hanya perlu memastikan bahawa... mereka tidak bertembung dan mereka tidak terus berada dalam perairan kita. Itulah diplomasi terbaik yang dapat kita lakukan,” kata Hishammuddin.

Walaupun dengan komen terbaru oleh menteri luar itu, data penjejakan kapal menunjukkan bahawa kapal-kapal China telah memasuki zon ekonomi eksklusif Malaysia selama berbulan-bulan lamanya.

Kapal Pengawal Pantai China (CCG) 5204 melakukan rondaan di sekitar Luconia Shoals dari 22 Mei hingga 7 Julai, menurut data tersebut. China menuntut kawasan itu, yang terletak dalam jarak 200 batu nautika (370 km) di luas pesisir Malaysia, sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Kapal China itu kemudian diganti dengan kapal CCG 5202, yang berlayar ke Luconia Shoals pada hari sama dengan kapal 5204. Kapal 5202 masih berada di kawasan tersebut sehingga pagi Rabu.

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.