Malaysia Naik Empat Tangga Dalam Indeks Keamanan Global 2018

Zam Yusa
2018.06.08
Kuala Lumpur, Malaysia
180608-my-security1000.jpg Pasukan Gerakan Khas Polis DiRaja Malaysia tiba dilokasi untuk memulakan tugas kawalan di Mahkamah Majistret di Sepang, 30 Mei 2017.
AFP

Malaysia naik empat tangga dalam Indeks Keamanan Global [IKG] 2018 dengan menduduki kedudukan ke-25 berbanding ke-29 pada tahun lalu, demikian menurut laporan Institut Ekonomi dan Keamanan [IEP] yang berpangkalan di Sydney, Australia pada Rabu.

IEP dalam laporannya berkata Malaysia berada pada tahap ke-25 daripada 163 negara, dan juga merupakan satu daripada lima negara teraman di rantau Asia Pasifik selepas Australia, Jepun, Singapura dan New Zealand.

Menurut laporan indeks berkenaan, Iceland menduduki tempat teratas dalam senarai  dengan mengekalkan kedudukan sebagai negara teraman sejak 2008 manakala Syria pula kekal sebagai negara paling tidak aman sejak lima tahun lepas.

Negara jiran Singapura merupakan negara kelapan teraman di dunia dituruti oleh Laos (46), Indonesia (55), Kemboja (96), Thailand (113), Myanmar (122) dan Filipina (137).

IKG 2018 adalah satu laporan ukuran utama keamanan dunia yang membentangkan kajian dan analisisa paling menyeluruh yang didorong oleh data terkini mengenai arah kedamaian, nilai ekonominya, dan bagaimana membangun masyarakat yang aman.

IKG 2018 merangkumi 99.7 peratus daripada populasi dunia, menggunakan 23 penunjuk kualitatif dan kuantitatif dari sumber yang sangat dihormati, dan mengukur keadaan keamanan menggunakan tiga domain tematik iaitu tahap keamanan dan keselamatan masyarakat; sejauh mana konflik dalam negeri dan antarabangsa yang berterusan; dan tahap ketenteraan.

Indeks itu juga menunjukkan tahap keamanan dunia berada di tahap terendah dalam abad terakhir dan merosot 0.27% dari tahun lepas, yang menandakan penurunan tahap keamanan untuk empat tahun berturut-turut.

Rata-rata indikator untuk Malaysia berada di bawah tahap tiga dalam julat 1-5 (1 terendah, 5 tertinggi) menurut laporan itu.

Malaysia menunjukkan indikator terendah, iaitu 1 dari 5, dalam aspek capaian senjata, ketegangan konflik dalaman, kematian dalam konflik domestik dan luar negara, eksport senjata dan jumlah pelarian.

Indikator tertinggi bagi negara itu ialah di tahap 3 dari 5 dari segi demonstrasi kasar, jenayah dan keganasan politik.

Menurut laporan indeks berkenaan, Malaysia juga menujukkan tahap di bawah aras sederhana dalam tiga domain utama - ketenteraan (1.4 dari 5), masyarakat dan keselamatan (2.3 dari 5) dan konflik domestik dan luar negara (1.1 dari 5).

Kejutan bagi Malaysia

Sementara itu, Penganalisa Keselamatan Imran Shamsunahar berkata prestasi Malaysia yang rangkingnya naik merupakan sesuatu yang mengejutkan kerana adanya faktor ketegangan politik dan pemerintahan bersifat ‘kukubesi’ (autoritarianisme) sebelum pilihanraya umum bulan lepas.

“Kita juga hendaklah melihat kepada masalah keganasan oleh pelampau Islam yang meningkat di rantau ini. Semua faktor perlu diambilkira dalam menilai tahap keamanan sesebuah negara,” kata Imran, pakar runding Control Risks yang berpangkalan di Singapura, kepada BeritaBenar.

“Indeks itu juga mungkin menunjukkan pihak berkuasa di Malaysia telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam menangani masalah keselamatan, yang sudah pun terbukti melalui kejayaan yang terdahulu.

“Peningkatan tersebut mungkin juga disebabkan kerana Malaysia telah memperbaiki beberapa aspek seperti hubungan dengan negara lain dan pengurangan perbelanjaan ketenteraan,” tambah Imran.

Dengan adanya kerajaan baru yang lebih popular, yang telah berjanji untuk menangani masalah rasuah dan ketidaksamarataan, Imran turut berpendapat bahawa Malaysia akan terus melihat pengurangan dalam pergolakan sosial sekaligus memperbaiki kedudukan Malaysia dalam laporan indeks tahun depan.

Kedudukan 92 buah negara menurun dan 71 lagi bertambah baik dalam IKG 2018, dengan tahap keamanan menurun di enam daripada sembilan rantau dunia.

Empat rantau teraman - Eropah, Amerika Utara, Asia Pasifik dan Amerika Selatan - semuanya menunjukkan penurunan, dengan penurunan terbanyak berlaku di Amerika Selatan disebabkan oleh penambahan aras pemenjaraan dan impak keganasan.

Eropah, rantau teraman menurut indeks, mengalami penurunan dalam ketiga-tiga domain utama dan 11 indikator terutamanya indikator keamatan konfllik domestik dan hubungan dengan negara jiran untuk tahun ketiga berturut-turut.

Untuk julung kali dalam sejarah indeks, sebuah negara Eropah Barat mengalami salah satu daripada lima penurunan terbesar apabila Sepanyol jatuh 10 tangga ke kedudukan ke-30 disebabkan ketegangan politik domestik dan impak keganasan.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan bersama indeks, impak keganasan ke atas ekonomi global pada tahun lepas berada di tahap USD14.76 (RM59.65) trilion dalam pariti kuasa beli.

Angka ini bersamaan dengan 12.4% daripada keluaran kasar dunia ataupun USD1,988 (RM7,899) per kapita.

Kesan keganasan ke atas ekonomi naik 2% pada tahun 2017 disebabkan penambahan impak konflik dan penambahan perbelanjaan keselamatan, yang terbesar di China, Russia dan Afrika Selatan.

Sejak 2012, impak keganasan ke atas ekonomi bertambah 16% susulan perang di Syria dan keganasan yang bertambah teruk berikutan pemberontakan ‘Arab Spring’.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.