Semakan Terhadap Undang-undang Keselamatan Kontroversi Masih Belum Selesai, kata Pegawai Malaysia
2019.10.03
Kuala Lumpur, Malaysia

Pentadbiran Malaysia melancarkan dasar "keselamatan dan ketenteraman" awam yang baru pada Khamis tetapi turut berkata kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk memuktamadkan perubahan terhadap undang-undang keselamatan kontroversi yang sebelum ini telah dijanjikan untuk dimansuhkan.
Dalam ucapan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata bahawa negara itu sedang bergelut dengan cabaran daripada jenayah rentas sempadan kepada cetak rompak, penyeludupan, pengubahan wang haram dan ancaman 'ideologi yang bertentangan dengan agama, budaya dan perundangan negara.'
"Untuk menangani ancaman ini, dasar yang bersifat holistik diperlukan, dan ini termasuklah menjalinkan kerjasama strategik di peringkat global," katanya. "Ini amat perlu dalam menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks yang sukar dikendalikan dengan cara konvensional."
Dasar itu, yang diedarkan kepada wartawan, menggariskan keutamaan dan cabaran keselamatan tanpa memperinci tentang bagaimana ianya akan ditangani.
Dalam ucapannya, Mahathir berkata agensi keselamatan harus berubah dari pendekatan tradisional ke teknologi, seperti penggunaan ‘artificial intelligence’ [kecerdasan buatan], dron, automasi, ‘cloud computing’ dan ‘internet of things’, untuk berupaya mengurangkan kos dan sumber manusia sambil meningkatkan kecekapan.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata dasar baru itu adalah kesinambungan dasar lama, dengan penambahbaikan.
Ditanya pemberita mengenai undang-undang keselamatan yang akan dipinda pada sidang parlimen yang akan datang, bermula 15 Oktober ini, Muhyiddin berkata kerajaan belum bersedia untuk mengemukakan pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) yang kontroversial, yang lebih dikenali sebagai SOSMA.
"Undang-undang terbaru yang kami sedang teliti ialah undang-undang pencegahan SOSMA, tetapi kami belum selesai dengannya. Kami masih belum dapat melibatkan dengan banyak pihak atau masuki fasa cadangan. Saya tidak pasti sama ada kami boleh buat atau tidak dalam membawanya ke sesi parlimen ini," kata Muhyiddin.
Menjelang pilihan raya umum Mei 2018, pakatan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir telah berjanji untuk memansuhkan undang-undang dan perundangan keselamatan kontroversi, termasuk SOSMA, Akta Hasutan era kolonial dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), serta yang lain .
Undang-undang berkenaan membenarkan penahanan suspek sehingga 28 hari bagi SOSMA atau dua tahun bagi POTA tanpa sebarang waran, manakala Akta Hasutan telah digunakan terhadap pengkritik pemimpin Malaysia, termasuk kartunis politik Zunar dan aktivis Maria Chin Abdullah.
Dalam satu temu bual dengan BeritaBenar di New York minggu lalu, Mahathir berkata apabila membuat janji itu pada musim kempen, "kami tidak mempunyai maklumat lengkap tentang keadaan itu."
"Polis berpendapat bahawa undang-undang ini, jika tidak digunakan untuk tujuan politik, masih berguna," katanya, sambil menambah daripada ianya memansuhkan, "kami sedang mengkajinya semula."
Pada Oktober 2018, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kabinet telah bersetuju dengan moratorium penggunaan Akta Hasutan, sementara menunggu rayuannya.
Tetapi moratorium itu ditarik balik pada November 2018 selepas rusuhan berhampiran kuil Hindu di luar Kuala Lumpur yang menimbulkan kebimbangan terhadap keganasan antara agama di negara majoriti Islam itu.
Pada Januari, tiga orang ditahan di bawah Akta Hasutan kerana didakwa memuatnaik di laman media sosial mereka hinaan terhadap Yang Di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, berhubung perletakan jawatan mengejut Baginda.