Kapal Korek China Terbalik, Seorang Mati, 14 Lagi Masih Hilang
2018.03.21
Kuala Lumpur

Sebuah kapal korek milik syarikat dari China, JBB Rong Chang 8 yang sedang melakukan pengorekan pasir di Perairan Parit Jawa, Batu Pahat, Johor terbalik pada Rabu menyebabkan seorang terbunuh manakala 14 anak kapal lain masih hilang.
Dalam satu kenyataan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) pada Rabu, operasi telah menyelamatkan tiga mangsa dengan seorang lagi terbunuh dalam kejadian yang berlaku pada pukul 7.50 pagi.
Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, empat belas lagi mangsa adalah seorang lelaki warga tempatan bertugas sebagai operator radio, seorang lelaki warga Indonesia, selain 12 warga China, termasuk seorang wanita, masing-masing berusia antara 20 tahun dan 64 tahun, yang masih lagi hilang.
Katanya, kesemua 14 anak kapal dipercayai masih hidup apabila pihak penyelamat terdengar bunyi balasan ketukan pada dinding kapal berkenaan.
"Kita percaya mangsa yang hilang masih hidup berikutan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang membuat ketukan pada dinding kapal itu menerima ketukan balas daripada mangsa yang terperangkap,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi di Parit Jawa pada Rabu.
Tambahnya, kapal korek yang mempunyai ruang dalam yang besar, mungkin telah memberikan ruang udara yang cukup untuk semua mangsa terbabit, dengan pasukan SAR berjanji akan memberikan usaha yang terbaik dalam operasi menyelamat.
"Ini memberikan harapan baru dalam operasi SAR. Semua mangsa dijangka mampu bertahan antara 24 jam hingga 48 jam,” tambahnya lagi.
Sanifah berkata, warga China terdiri daripada tiga mangsa yang berjaya diselamatkan dan seorang yang maut. Tiga mangsa tersebut kini sedang mendapatkan rawatan, manakala mayat rakan mereka telah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.
Sementara itu, Pengarah Operasi APMM Batu Pahat, Leftenan Komander Zulkarnain Abdullah berkata, Pusat Operasi Pangkalan Maritim Batu Pahat telah menerima panggilan pada jam 8.50 pagi memaklumkan sebuah kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 telah terbalik di perairan Parit Jawa, Muar, negeri Johor.
“Dua buah bot ronda APMM telah diarahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan dan menerima maklumat bahawa empat mangsa telah ditemui di mana tiga selamat manakala seorang meninggal dunia. Kesemuanya terdiri daripada warganegara China,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Beliau berkata, siasatan yang dijalankan keatas kapal korek berkenaan mendapati, ia membawa 18 orang anak kapal.
Seramai 50 anggota mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada pasukan APMM, Polis DiRaja Malaysia dan Pasukan Polis Marin kini berada di lokasi kejadian dengan anggota penyelam dijangka memulakan operasi esok pagi.