Dadah Bernilai AS$14.7 juta Dalam Ekzos Motorsikal Dirampas
2019.02.08
Kuala Lumpur, Malaysia

Pihak berkuasa Malaysia telah merampas sejumlah tiga juta biji pil dadah Erimin 5 bernilai RM60 juta (AS$14.7juta) yang disembunyikan dalam ekzos motosikal dipercayai dibawa masuk dari Taiwan melalui Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang bekerjasama dalam satu operasi telah menemui dadah berkenaan akhir bulan lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Subromaniam Tholasy semasa sidang media pada Jumaat memberitahu, kesemua pil seberat 480 kilogram telah dirampas di Pelabuhan Klang, selepas pemeriksaan dibuat ke atas sebuah dari dua kontena yang tiba dari Taipei, Taiwan, yang dibiarkan selama lebih sebulan tersadai di pelabuhan itu sejak Disember lagi.
Katanya, kedua-dua kontena itu telah disita anggota Cawangan Narkotik Jabatan Kastam sebaik tiba di pelabuhan berkenaan kerana disyaki mengandungi dadah sebelum pemantauan rapi dibuat terhadap konsaimen itu.
"Tetapi, tiada tuntutan dibuat oleh mana-mana pihak ke atas kontena tersebut sejak tiba dari Taipei," katanya kepada media di Nilai, Negeri Sembilan.
Subromaniam berkata kastam dan polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan 100 peratus ke atas kontena tersebut dan menemui 139 karton yang berisi 1,248 buah tabung ekzos motosikal dan menemui pil-pil dadah itu di dalamnya.
"Pasukan kami terpaksa menggunakan pemotong besi bagi membuka tabung ekzos tersebut dan hasilnya menemui balutan plastik lutsinar di mana terdapat kerajang berwarna merah dan perak yang mengandungi pil-pil berkenaan.
"Ujian menggunakan alat pengesan dadah mendapati pil yang ditemui itu positif dadah jenis Nimetazepam,” kata Subromaniam sambil menambah jabatan itu terpaksa menggunakan khidmat anjing dalam operasi berkenaan.
Beliau juga memberitahu yang seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan terhadap kes tersebut dan beliau ditahan reman sehingga 13 Februari telah diperolehi daripada Mahkamah Majistret Klang.
Subromaniam semasa dihubungi BeritaBenar pada Jumaat enggan mengulas lanjut mengenai kaitan lelaki tempatan itu dengan rampasan dadah di Pelabuhan Klang berkenaan.
"Masih dalam siasatan," katanya pendek semasa ditanya sama ada pihak berkuasa mengesyaki lelaki tersebut anggota sindiket dadah ataupun 'seorang keldai dadah' yang digunakan sindiket tertentu.
Kenyataan media yang turut diedarkan oleh jabatan tersebut menyatakan yang pihak berkuasa percaya bahawa kesemua pil yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan dan boleh dibeli dengan nilai jalanan antara 15 ringgit hingga 25 ringgit setiap satu.
Menurut kenyataan itu kesemua pil berkenaan boleh digunakan oleh 300,000 penagih atau individu sekiranya ia terlepas ke tangan sindiket pengedaran dadah.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Kamarul Zaman Mamat memberitahu BeritaBenar bahawa Erimin 5 adalah sejenis dadah yang popular di kalangan remaja negara itu dan sering disalahguna bagi tujuan berhibur.
"Dadah Erimin 5 ini popular di kalangan remaja di negara kita terutamanya semasa mahu berhibur sambil mengambil dadah serta turut dikenali sebagai 'downer drugs' yang mengandungi Nimetizepam," katanya ketika dihubungi.
Menurut Kamarul Zaman, Erimin 5 boleh menyebabkan penggunanya berada dalam keadaan khayal, dan bahayanya adalah sama dengan dadah sintetik metamfetamin, atau lebih dikenali sebagai syabu atau ais, dan dadah berasaskan opioid.
Tambahnya lagi, Erimin 5 tergolong dalam jenis dadah yang paling popular di kalangan penagih di Malaysia selepas syabu, heroin dan ganja.