Katolik Malaysia Puji Pembukaan Kedutaan Baharu Di Vatican

Hadi Azmi & Laja Laing
2017.05.12
Kuala Lumpur & Kuching
170512-my-vatican-1000.jpg Paus Francis mencium bayi di khalayak umum semasa perhimpunan mingguan di Dataran St Peter, di Vatican, 10 Mei 2017.
AFP

Katolik Malaysia memuji pembukaan Kedutaan Malaysia di Vatican, Rom yang dilihat sebagai satu langkah dalam menggalakkan kesederhanaan agama dan toleransi, kata golongan paderi dan penganut agama Kristian lain kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Malaysia pada Selasa membuka canseri kedutaan dan menyifatkannya sebagai satu komitmen untuk meningkatkan hubungan sedia ada dengan Gereja Katolik, kata Menteri Luar Anifah Aman pada majlis itu.

Richard Ng, uskup di daerah Miri dalam negeri Sarawak, menyambut baik langkah itu dan berkata ia merintis jalan kepada pemahaman bersama yang lebih baik serta merupakan satu cara untuk merapatkan jurang antara Malaysia dan pihak gereja Katolik.

"Kami berasa sangat gembira untuk berada dekat dengan Paus Francis, Bapa Suci, walaupun di Malaysia kami hanyalah sekelompok kecil masyarakat," katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing pula menyifatkan pembukaan canseri kedutaan itu adalah satu peluang baik kepada Duta Besar Malaysia Bernard Giluk Dompok untuk menyerlahkan Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam yang sederhana dan inklusif.

"Kita sederhana serta tidak melampau dan Duta Bernard Dompok akan membetulkan tanggapan mengenai perkara ini," katanya kepada BeritaBenar.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu  dilantik  sebagai duta pertama ke Vatican pada Mac tahun lepas selepas menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong [pada masa itu] Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara bersama-sama enam lagi Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara yang lain.

Dompok sebelum ini pernah menerajui Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi selama enam tahun bermula 2008 serta dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1994 hingga 1995 dan sekali lagi pada 1999 hingga 2008.

Sabah dan Sarawak, yang terletak di kepulauan Borneo, mempunyai masyarakat Kristian terbesar di Malaysia. Lebih sembilan peratus daripada sejumlah 31.7 juta rakyat Malaysia menganut agama Kristian dan kira-kira separuh daripada mereka adalah Katolik. Sebahagian besar daripada mereka adalah daripada etnik Cina, India atau orang asli, demikian menurut statistik 2016.

Malaysia dan Holy See menjalin hubungan diplomatik sejak 2011 apabila Perdana Menteri Najib Razak mengunjungi Paus Benedict XVI di Castel Gandolfo, dan pada November 2015, Malaysia membuka kedutaan residen di Rom. Kedutaan baharu itu adalah di Vatican.

Hubungan itu telah dimulakan oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkunjung ke Vatican dan bertemu Paus John Paul II pada 2002.

Malaysia, yang merupakan sebuah negara Islam, adalah antara 20 negara yang tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Vatican sehingga 2011.

"Pengwujudan hubungan diplomatik dengan Holy See melambangkan komitmen negara untuk meningkatkan hubungan bersama sedia ada ... terutama dalam isu-isu agama selain usaha menggalakkan pemahaman yang lebih baik," kata Anifah pada Selasa. "Ini adalah selaras dengan inisiatif Malaysia melalui Gerakan Kesederhanaan Global.

Vatican, menerusi Paus Francis, juga buat pertama kalinya dalam sejarah telah melantik Ketua Biskop dari Malaysia sebagai Kardinal pada November lepas.

Pelantikan Ketua Biskop Emeritus Kuala Lumpur Anthony Soter Fernandez merupakan kenaikan pangkat kepada kedudukan kedua tertinggi dalam hirarki Roman Katolik.

Anifah juga berkata kerajaan Malaysia yakin kesederhanaan adalah elemen asas dalam memupuk integrasi dan menolak ekstremisme yang menjejaskan nilai-nilai sejagat agama.

Reaksi bercampur


“Buat sekian kalinya, ia adalah berita baik antara kerajaan dan penganut agama Kristian," kata Jonathan Ng yang menghantar anak-anaknya ke sebuah sekolah Katolik di Selangor.

Bagaimanapun, orang lain tidak berkongsi kegembiraan itu.

Nelson Zuzartee memberitahu BeritaBenar meskipun kerjasama itu akan menjadi positif namun realiti kehidupan sebagai minoriti di Malaysia mungkin tidak berubah.

"Masih sukar untuk mendapatkan permit bagi membuka sebuah gereja di sini. Selain itu, adalah sukar untuk mendapatkan kelulusan visa bagi perjalanan ke Tanah Suci [Holy See], " katanya. "Ia adalah kosmetik untuk diplomasi antarabangsa."


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.