Malaysia Buka Canseri Kedutaan Pertama di Holy See

Staf BeritaBenar
2017.05.10
Kuala Lumpur
170510-my-vatican-620.jpg Pope Francis (tengah) tiba untuk menghadiri perhimpunan mingguan umun di dataran St Peter di Vatican, 10 Mei 2017.
AFP

Malaysia secara rasminya mengukuhkan hubungan diplomatik dengan Holy See menerusi pembukaan Canseri Kedutaan di Rom pada Selasa, yang dilihat dapat menggalakan pemahaman agama yang lebih baik serta mewujudkan keamanan dan kestabilan di antara kedua-dua negara.

Pembukaan Canseri itu, yang melambangkan komitmen Malaysia dalam diplomasi antarabangsanya, dirasmikan oleh Menteri Luar Anifah Aman, selepas 11 bulan selepas Bernard Dompok menyerahkan watikah pelantikannya sebagai Duta Residen Pertama kepada Paus Francis.

Kira-kira 100 tetamu termasuk Penilai Hal Ehwal Holy See, Ketua Protokol Holy See, Ketua Kor Diplomatik Holy See serta anggota kor diplomatik menghadiri majlis perasmian itu, demikian menurut laporan agensi berita Malaysia, Bernama.

Dalam ucapannya, Anifah berkata, penubuhan kedutaan residen itu akan membolehkan Malaysia mengambil bahagian dan menyumbang kepada dialog dunia mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa terutamanya dalam menggalakkan pemahaman agama, pendidikan, pembasmian kemiskinan, penghijrahan serta perubahan iklim.

“Satu daripada cabaran terbesar dunia hari ini adalah untuk memerangi kumpulan ekstremis yang berkembang luas di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya sambil menegaskan bahawa ekstremisme adalah kanser kepada dunia kerana ia mencipta huru-hara dan ketidakstabilan politik di sesebuah negara.

"Kita menyaksikan dalam media tentang kesan dan huru-hara yang berpunca daripada perbuatan ekstremis. Ia tidak memberi sebarang manfaat pun. Malah, penderitaan orang yang tidak bersalah adalah amat menyedihkan dan membangkitkan kemarahan," kata beliau.

Anifah berkata, kebencian, kemarahan dan emosi yang sering digunakan kumpulan ekstremis untuk kepentingan mereka perlu dihapuskan demi mewujudkan keamanan dan keharmonian.

Berikutan dengan itu, katanya, permintaan bagi kesederhanaan adalah lebih relevan dan sangat diperlukan pada masa ini berbanding sebelum ini dan Malaysia amat menyokong penggalakkan kesederhanaan sebagai cara hidup dan juga langkah dalam menyelesaikan salah faham masyarakat melalui dialog dan pendidikan.

"Usaha Malaysia untuk menggalakkan kesederhanaan telah mendapat pengiktirafan dengan ia dilihat sebagai model negara yang moden, dinamik dan progresif yang dapat menangani cabaran masyarakat pelbagai budaya," kata Anifah.

Menurutnya, Malaysia juga mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan pelbagai majlis Paus, organisasi antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan dalam menganjurkan dialog dan seminar bagi meningkatkan kefahaman agama yang lebih baik pada masa depan.

Hubungan sejak 2002

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Holy See terjalin secara rasmi semasa Perdana Menteri Najib Razak mengunjungi Paus Benedict XVI, di Castel Gandolfo pada 2011.

Hubungan itu telah dimulakan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang membuat kunjungan ke Vatican dan bertemu Paus John Paul II pada 2002.

Malaysia, yang merupakan sebuah negara Islam, adalah antara 20 negara yang tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Vatican sehingga 2011.

Menurut Laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, Malaysia mempunyai 30 juta orang penduduk termasuk 2 juta penganut agama Kristian.

Dalam pada itu, Bernard pernah menerajui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi selama enam tahun bermula dari 2008 selepas dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari tahun 1994 hingga 1995 dan sekali lagi pada 1999 hingga 2008.

Pada Oktober 2015, Anifah mengumumkan mengenai pelantikan Dompok sebagai duta  pertama Malaysia ke Vatican di Rom.

"Kami merasakan pemilihan Dompok adalah tepat terutamanya pengalaman beliau dalam pentadbiran negara. Beliau juga pernah mengadakan lawatan rasmi ke Vatican bersama-sama delegasi Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri Najib Razak,” katanya seperti dilaporkan oleh media tempatan pada masa itu.

Selain itu, Dompok juga merupakan Duta Malaysia ke Malta dan Albania.

Bernard berkata, terdapat banyak ruang untuk meperluas kerjasama dengan pihak Vatican, terutamanya dalam isu-isu pendidikan dan sosial.

Beliau berharap agar inisiatif untuk bekerjasama dalam pendidikan serta dalam dialog diantara agama dapat dipertingkatkan lagi di antara Malaysia dan Holy See.

Semasa lawatan berkenaan, Anifah turut melakukan kunjungan hormat ke atas dua pemimpin terkemuka Vatican, yang merupakan sebahagian daripada lawatan sulungnya ke Holy See.

Kenyataan Wisma Putra menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin Vatican itu ialah Setiausaha Negara kepada Paus Cardinal Pietro Parolin serta Setiausaha bagi Hubungan dengan Negara-negara Ketua Biskop Paul Gallagher.

Indonesia, negara jiran Malaysia serta negara paling ramai penduduk Islam di dunia, telah menjalin hubungan dengan Vatican sejak sedekad lalu. Paus Paul VI dan Paus John Paul II pernah melawat negara itu pada 1970 dan 1989 iaitu semasa pemerintahan Suharto.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.