Seorang Individu Ditahan Bantu Siasatan Kebakaran Pusat Tahfiz

Fadzil Aziz & N. Nantha
2017.09.15
Kuala Lumpur
170915-my-kebumi1-620.jpg Mashawani Mohamed Shahid, 29, (kiri sekali) yang kehilangan tiga anak lelakinya menangis ketika jenazah anak-anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudahtul Sakinah, Batu Caves, Kuala Lumpur, 15 Sept, 2017.
(Fadzil Aziz/BeritaBenar)

Pihak berkuasa Malaysia mengesahkan bahawa seorang individu telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kebakaran awal pagi yang telah memusnahkan sebuah sekolah agama Islam tidak berlesen di ibu negara itu pada Khamis sehingga mengorbankan 21 pelajar dan dua orang guru.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penangkapan individu tersebut apabila ditanya media semasa berada di lokasi kejadian untuk menghadiri lawatan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhamad V malam ini [Jumaat].
"Setakat ini, seorang individu telah ditahan dan kami akan maklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa, kata ketua polis yang baru dilantik itu pada Jumaat.

Bagaimanapun beliau berkata, siasatan masih berjalan dan menunggu laporan forensik dalam  mengenalpasti sama ada kebakaran itu berpunca daripada perbuatan jenayah.

“Bagi kami masa. Kami perlukan laporan forensik polis, laporan forensik bomba untuk membuat kesimpulan. Pada masa ini kami tidak pasti apa punca kebakaran dan siasatan akan terus dijalankan dari semua segi,” kata Mohamad Fuzi.

Dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi Khamis, sekurang-kurangnya 21 pelajar berusia antara 10 dan 17 tahun bersama dua guru mereka terperangkap dalam bilik asrama yang tingkapnya berjeriji dan pintunya berkunci di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibunegara Kuala Lumpur, rentung selepas terlibat dalam kebakaran.

Para pegawai bomba berkata, mereka mendapati mayat-mayat itu bertindih atas satu sama lain, yang menunjukkan bahawa kesemua mangsa cuba menyelamatkan diri daripada pusat tahfiz yang telah beroperasi sejak 16 tahun tanpa permit rasmi, tetapi terperangkap akibat jeriji besi tingkap.

Dalam pada itu, kesemua 23 mangsa kebakaran di pusat tahfiz berkenaan telah dikenalpasti melalui ujian DNA dan dikebumikan secara beramai-ramai di beberapa lokasi tanah perkuburan di negara itu pada Jumaat.

Sebelas daripada mangsa telah dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, berdekatan Gombak manakala empat di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, dan lain-lain mangsa dikuburkan di Taman Kosas, Datuk Keramat, Jalan Klang Lama Taman Medan and Bukit Kuari Cheras dan beberapa lagi di Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak.

Ahli keluarga Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri, 10, yang dikebumikan kelihatan sugul di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, Kuala Lumpur, 15 Sept, 2017. (FadzilAziz/BeritaBenar)


Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Dr. Noor Hisham Abdullah berkata kesemua 23 mangsa telah berjaya dikenalpasti melalui ujian DNA oleh Institut Perubatan Forensik Negara.

“Kami berharap dan berdoa ini adalah kejadian terakhir dan tindakan pencegahan haruslah dilaksanakan dan dititikberatkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pihak Hospital Kuala Lumpur pada Jumaat turut mengadakan solat jenazah ke atas kesemua mangsa pusat tahfiz berkenaan di Masjid hospital tersebut selepas padanan DNA dibuat.

Selain 21 pelajar dan dua guru yang maut, enam pelajar lain juga mengalami cedera parah dalam kejadian itu.

Insiden yang mendapat perhatian orang ramai yang mula berkumpul disekitar pusat berkenaan turut mendapat kunjungan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang mencemar duli berangkat tiba di pusat Tahfiz itu pada malam Jumaat.

Baginda berkenan meluangkan masa hampir 30 minit melihat keadaan pusat tahfiz itu dengan diberi penerangan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Terdahulu itu, Perdana Menteri Najib Razak juga membuat lawatan keatas pusat tahfiz berkenaan sebaik tiba dari lawatan rasmi ke luar negara.

“Ini adalah satu tragedi yang amat sedih dan menyayat hati. Apabila saya membuat tinjauan, saya percaya kemalangan ini boleh dielakkan jika tiada pindaan kepada plan yang diluluskan oleh pihak bomba,” katanya kepada pemberita sambil memohon semua pihak bersabar serta menunggu laporan penuh pihak berkuasa.

Perdana Menteri Najib Razak ditemui pemberita ketika membuat lawatan ke Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat sekembalinya dari London, 15 Sept, 2017. (N. Nantha/BeritaBenar)

Penceroboh?

Pada Jumaat, kelihatan pegawai forensik polis dari Bukit Aman serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan siasatan di sekolah itu.

Polis DiRaja Malaysia kini sedang menyiasat kemungkinan berlaku pencerobohan dengan membuat siasatan dan pemeriksaan keatas CCTV  pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang terletak bersebelahan pusat berkenaan kerana dipercayai tedapat kelibat seorang lelaki menceroboh masuk kawasan sekolah itu dua jam sebelum insiden itu tercetus.

"Kami sudah menyerahkan semua rakaman berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut oleh mereka,” kata Ketua PPIM Nadzim Johan kepada media pada Jumaat.

Tambahnya, seorang individu dikesan masuki kawasan pusat berkenaan melalui pintu pagar kiri sebelum melalui pekarangan pejabat PPIM dan menuju ke bahagian kanan yang juga bersebelahan dengan pusat tahfiz berkenaan.

Pihak berkuasa juga kelihatan memeriksa pagar kawat di pusat tahfiz itu yang mempunyai kesan pencerobohan atau atau digunakan oleh pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Ini termasuk memeriksa pagar kawat yang dipercayai mempunyai kesan pencerobohan sama ada oleh orang luar atau pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.