Malaysia Larang Penanaman Ketum Secara Komersial

Melati A. Jalil
2016.08.04
Kuala Lumpur
160804-my-ketum620 Sebuah ladang ketum yang terdapat di Kedah, 4 Ogos 2016.
[S. Adie Zul/BeritaBenar]

Kerajaan Malaysia mengambil keputusan mengharamkan penanaman pokok ketum secara komersial selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendapati daun pokok tersebut mempunyai banyak kesan buruk, kata Timbalan Perdana Menteri pada Khamis.

Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan pihak berkuasa Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap peladang yang menanam pokok tersebut bagi tujuan komersil di bawah Akta Racun 1952.

"Buat masa ini kerajaan putuskan tidak izinkan (pokok ketum) ditanam secara komersial, diedarkan dan digunakan kerana jika disalahguna  ia boleh menjejaskan kesihatan pengguna. Kementerian Dalam Negeri sudah mengadakan sesi taklimat bersama pakar daripada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PRDM mengenai perkara ini,

"Kita dapati input secara saintifik menunjukkan daun ketum ini mempunyai unsur kebaikan, tetapi sekiranya ia gunakan secara berlebihan, ia boleh menyebabkan ketagihan dan menimbulkan penyakit tertentu," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional [Bernama].

Ahmad Zahid bagaimanapun menegaskan kerajaan tidak akan menghalang penggunaan daun ketum untuk kajian perubatan terutamanya oleh Institut Kajian Perubatan (IMR).

Daun ketum, perubatan tradisional Melayu sejak berzaman yang popular di kawasan utara Semenanjung Malaysia adalah sejenis tumbuhan yang mempunyai kandungan mengkhayalkan jika ia disalahgunakan.

Air daun ketum jika diambil pada kadar biasa boleh menghilangkan kesakitan, kelenguhan, dan menambahkan tenaga.

Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam sebelum ini dilaporkan berkata ketum mempunyai ciri-ciri dadah seperti ganja dan heroin.

Walaupun tiada undang-undang melarang penanaman daun ketum di Malaysia, namun kesalahan penyalahgunaan ketum adalah di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000, penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya.

Pada 26 Julai lepas, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dilaporkan bercadang untuk melaksanakan projek penanaman pokok ketum secara besar-besaran untuk memenuhi permintaan industri farmaseutikal luar negara terutamanya Amerika Syarikat dan Eropah.

Pengerusinya Zahidi Zainul Abidin sebelum ini dilaporkan berkata pendapatan pekebun kecil akan melebihi RM1,000 sebulan bagi satu hektar ketum berbanding RM150 hingga RM200 untuk tanaman kelapa sawit dan getah jika Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membenarkannya.

"Syarikat farmaseutikal memberi tempoh sebulan bagi Malaysia untuk memenuhi permintaan itu dan sekiranya tidak mampu mereka akan meminta daripada negara lain. RISDA hanya mahu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil, di samping hasil menoreh getah," katanya seperti di laporan oleh media tempatan.

Pokok ketum boleh dituai dalam masa enam bulan sahaja.

‘Kesan seperti Candu’

Mengulas pengumuman kerajaan itu Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr John Chew berkata ia merupakan keputusan yang tepat kerana penggunaan air ketum yang berlebihan dan tidak terkawal boleh menyebabkan ketagihan.

“Simptom pemulihan yang biasa termasuk reaksi ganas dan agresif termasuk sakit otot. Malangnya, ia juga mempunyai kesan seperti candu,”

“Ia mempunyai keupayaan merangsang bagi melawan keletihan. Ia mudah didapati dan kos yang murah menjadikan ia popular. Ia sepatutnya disenaraikan di dalam Akta Racun, di bawah ubatan psikotropik,” katanya ketika dihubungi BeritaBenar.

Chew menambah lebih banyak penyelidikan keatas ketum perlu dijalankan sambil memberi contoh negara Thailand telah mengharamkan penggunaan daun tersebut.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia Dr Abd Rahim Mohamad berkata penyelidikan yang menyeluruh harus dijalankan untuk mengetahui kebaikan daun ketum.

"Dalam dunia perubatan, benda yang kita gunakan semua dikaji. Sebab itu setiap ubat itu kita ketahui kesan baik dan buruk dia, kesan sampingan dia. Tapi sesetengah benda dalam pasaran Malaysia, biasanya banyak yang mendakwa kebaikan tapi dari segi kajian tidak terbukti,” katanya kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.