Kim Jong Nam Bawa AS$100,000 Dalam Beg Galas, Kata Saksi

Hareez Lee & Fadzil Aziz
2017.10.11
Shah Alam, Selangor
171011-my-dong-620.jpg Anggota polis Malaysia mengawal tertuduh, wanita Vietnam, Doan Thi Hoang, (kiri) semasa beredar keluar dari kompleks Mahkamah Shah Alam di luar Kuala Lumpur, 11 Okt 2017.
[Fadzil Aziz/BeritaBenar]

Para penyiasat menemui AS$100,000 di dalam sebuah bag galas yang dibawa oleh Kim Jong Nam ketika beliau dibunuh di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur, kata pegawai penyiasat polis pada Rabu dalam keterangannya semasa perbicaraan dua wanita Asia Tenggara yang dituduh membunuh dengan bahan kimia yang membawa maut.

Rakaman video kamera litar tertutup lapangan terbang itu juga menunjukkan kedua-dua wanita tersebut berjalan sambil menadah tangan dan bergegas ke bilik air berasingan selepas menyentuh muka Kim, kata pegawai penyiasat polis Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz.

Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Hoang, 28, dari Vietnam menghadapi pertuduhan membunuh dengan menyapu agen saraf VX pada Kim, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb lalu. Mereka boleh dihukum mati jika disabitkan kesalahan.

Wan Azirul, pegawai penyiasat kes itu dan saksi pendakwa, memberitahu Mahkamah Tinggi Malaysia di Shah Alam, berhampiran Kuala Lumpur, bahawa beliau menemui RM422,294  (kira-kira AS$100,000) dalam beg galas Kim semasa melakukan siasatan. Wang itu berada dalam jagaan Ketua Polis Sepang, daerah yang mempunyai bidang kuasa terhadap kes itu, katanya.

"Ya, saya temuinya di dalam beg beliau," kata Wan Azirul, apabila seorang pendakwa raya bertanya kepadanya mengenai wang itu.

Ia merupakan keterangan pertama yang dibuat seorang pegawai penguatkuasa undang-undang berhubung jumlah wang  yang ditemui bersama-sama barang-barang mangsa pembunuhan itu. Pada  Jun lalu, polis Malaysia berkata Kim membawa sejumlah wang tunai yang tidak didedahkan semasa beliau dibunuh.

Wan Azirul juga memberi keterangan bahawa pegawai atasannya mengarahkan beliau untuk memulangkan barangan peribadi Kim kepada wakil Kedutaan Korea Utara. Barang-barang itu termasuklah blazer, beg, kasut dan gelang tangan, katanya.

"Saya tidak tahu mengapa, saya hanya mematuhi arahan," katanya.

Semasa memberi keterangannya, pihak pendakwaan menayangkan lebih daripada 30 rakaman kamera litar tertutup lapangan terbang itu. Kedua-dua tertuduh kelihatan tenang semasa video ditayangkan dalam mahkamah.

Pihak pendakwaan mengemukakan video itu enam hari selepas ahli kimia kerajaan memberi keterangan bahawa beliau mengesan VX, agen saraf yang diharamkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada pakaian dua wanita itu.

Keterangan ahli kimia itu memperkukuhkan lagi hujah pendakwa raya bahawa kedua-dua tertuduh tahu bahawa mereka menggunakan  bahan kimia bertoksik tinggi.

VX boleh dibersihkan dengan selamat dengan mencuci tangan secara teliti dalam masa 15 minit selepas memegangnya, kata Raja Subramaniam, ketua ahli kimia di Pusat Senjata dan Analisis Kimia Malaysia, semasa memberi keterangan pada 5 Okt.

'Dia tahu apa yang dia lakukan'

Peguam pembelaan membantah tayangan video itu sambil berkata bahawa Wan Azirul tidak merakamkan video itu sendiri dan beliau tidak ada semasa pembunuhan 13 Feb itu. Bukti itu sepatutnya dianggap sebagai dengar cakap, kata mereka kepada hakim, yang kemudian membenarkan penghujahan diteruskan.

Wan Azirul berkata, rakaman kamera litar tertutup itu menunjukkan Doan kelihatan terburu-buru selepas melakukan serangan itu sambil menadah tangannya.

"Selepas dia (Doan) membuat serangan itu, dia meninggalkan kawasan kejadian dengan tergesa-gesa dan pergerakan tangannya menunjukkan dia tidak selesa," katanya.

"Pada satu ketika apabila dia menurunkan tangannya, dia cuba mengelak tangannya daripada menyentuh lengan bajunya. Pada ketika yang lain,  dia mengangkat tangannya ke tepi, "katanya.

"Daripada pemerhatian saya, dia tahu apa yang dia lakukan walaupun kelihatan cemas," katanya.

Wan Azirul berkata, video itu juga menunjukkan Siti Aisyah merenjiskan air di tangannya ketika turun ke tingkat bawah bangunan lapangan terbang itu dengan eskalator tanpa memegang pemegangnya.

Ekspresi wajah Doan menunjukkan bahawa dia "cemas" semasa serangan itu dan kelihatan seperti mahu meninggalkan tempat itu dengan segera untuk pergi ke bilik air, kata pegawai penyiasat itu.

Beliau berkata tingkah laku kedua-dua wanita itu berubah apabila mereka keluar dari bilik air tersebut.

Pergerakan tangan Doan kelihatan kembali normal walaupun dia masih tergesa-gesa, manakala Siti Aisyah dilihat mengambil selendang dari beg dan meletakkannya di bahunya, kata beliau.

Beliau berkata, kedua-dua wanita itu juga kelihatan seolah-olah mereka tergesa-gesa untuk meninggalkan lapangan terbang itu selepas didakwa menyerang Kim.

Wan Azirul berkata, kedua-dua wanita itu dilihat sering berada di lokasi berasingan kecuali semasa serangan itu dan ketika mereka berada di tempat menunggu teksi.

Doan dilihat membeli tiket teksi manakala Siti Aisyah menerima tiket teksi daripada seorang lelaki yang tidak dikenali yang memakai topi hitam. Lelaki itu juga bertemu Siti Aisyah di sebuah restoran berhampiran lapangan terbang itu beberapa jam sebelum serangan tersebut, katanya.

"Kedua-duanya (Siti Aisyah dan lelaki itu) duduk bersama-sama dan berbual sebelum lelaki itu menyerahkan tiket teksi kepada Siti Aisyah sekitar jam 8.14 pagi," kata Wan Azirul sambil memberitahu bahawa wanita Indonesia itu dan lelaki berkenaan berbual dengan ramah .

Semasa pernyataan pembukaan, pihak pendakwaan berkata, mereka mahu menyanggah dakwaan kedua-dua wanita itu bahawa mereka menyangka mereka terlibat dalam program realiti televisyen bersama-sama empat orang yang lain.

Sejurus selepas pembunuhan itu, empat lelaki Korea Utara dilihat meninggalkan lapangan terbang itu tetapi mereka melarikan diri dari Malaysia pada hari yang sama, menurut polis.

Perbicaraan itu disambung pada Khamis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.