Rakaman Tidak Tunjuk Wanita Indonesia Serang Kim Jong Nam: Detektif
2018.02.22
Shah Alam, Malaysia

CCTV yang merakam serangan maut terhadap Kim Jong Nam di sebuah lapangan terbang Malaysia tidak menunjukkan tertuduh Indonesia berinteraksi dengan mangsa, demikian diakui penyiasat utama semasa pemeriksaan balas pada perbicaraan kes itu Khamis.
Rakaman itu menunjukkan Kim bersentuhan dengan orang lain tetapi bukannya dengan rakyat Indonesia, Siti Aisyah, kata penyiasat polis Wan Azirul Nizam Wan Aziz semasa menjawab soalan peguam Siti Aisyah, seorang daripada dua wanita yang dituduh membunuh abang tiri pemimpin diktator Korea Utara Kim Jong Un dalam serangan kimia pada 13 Feb 2017.
Siti Aisyah dan tertuduh bersama, Doan Thi Huong, 29, dari Vietnam, sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dekat Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh Kim dengan menyapu agen saraf VX pada mukanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, selepas dilatih oleh warga Korea Utara yang kemudian melarikan diri dari Malaysia.
Semasa mengemukakan rakaman CCTV itu di mahkamah, peguam bela Gooi Soon Seng berkata, ia menunjukkan seorang wanita berkemeja putih kelihatan bersentuhan dengan Kim pada masa serangan itu berlaku.
"Rakaman CCTV tidak menunjukkan sesiapa lagi dan Siti Aisyah, anak guam saya, tidak memakai baju putih," kata Gooi kepada mahkamah.
Dalam jawapan balasnya, Wan Azirul memberi keterangan bahawa tidak ada rakaman jelas mengenai Siti Aisyah meletakkan apa-apa pada Kim. Beliau memberitahu bahawa penyiasat tidak menemui apa-apa kesan agen saraf di bilik air lapangan terbang itu yang digunakan oleh tertuduh selepas serangan itu, dan tiada kesan DNA Siti Aisyah yang dikesan pada tubuh, pakaian atau barang-barang mangsa. Selain itu, tiada DNA Kim ditemui pada Siti Aisyah, pakaian dan barang-barangnya.
"Oleh itu, penemuan ini membuktikan bahawa kedua-dua orang ini tidak bersentuhan," kata Gooi.
Peguam itu telah menyoal balas Wan Azirul dalam beberapa prosidingh perbicaraan itu di mahkamah sejak 22 Januari lalu. Peguam Doan akan memulakan pemeriksaan balas selepas peguam Siti Aisyah selesai berbuat demikian. Perbicaraan itu akan disambung minggu depan.
"Tidak ada bukti yang menunjukkan Siti Aisyah terlibat dalam serangan itu," kata Gooi kepada pemberita selepas sesi perbicaraan tersebut.
Terdahulu di mahkamah, Gooi berkata Siti Aisyah telah meraikan hari jadinya dengan kawan-kawannya di Hard Rock Cafe pada malam sebelum serangan itu dan membeli-belah di sebuah pusat beli-belah Kuala Lumpur selepas meninggalkan lapangan terbang itu.
"Jika dia tahu dia melakukan jenayah, mengapa dia tidak melarikan diri?" kata Gooi kepada pemberita.
Tujuh minit
Gooi juga dapat menyakinkan penyiasat itu untuk bersetuju bahawa terdapat jurang antara jam 8.59 pagi dan 9.06 pagi, apabila Kim tidak dapat dikesan dalam rakaman CCTV sehingga beliau muncul semula dalam rakaman itu ketika membuat aduan kepada kakitangan lapangan terbang mengenai serangan itu.
"Di manakah Kim Jong Nam? Adakah dia pergi ke tandas? Adakah dia membersihkan dirinya sendiri? Apa yang dia buat? Adakah dia berhubung dengan orang lain sebelum dia membuat laporan kepada kakitangan di kaunter, "kata Gooi kepada wartawan.
Kedua-dua wanita itu mendakwa mereka telah diperdayakan untuk mempercayai bahawa mereka mengambil bahagian dalam satu rancangan TV.
Dalam prosiding perbicaraan sebelum ini, Wan Azirul memberi keterangan bahawa seorang warga Korea Utara yang dikenali sebagai James (alias Ri Ji U) telah mengupah Siti Aisyah untuk melakukan aksi gurauan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur. James telah melarikan diri dari negara ini.
Pada Khamis, Gooi membaca catatan Siti Aisyah di Facebook bertarikh 7 Feb 2017 - kurang daripada seminggu sebelum Kim dibunuh. "last day shooting mudah-mudahan dikasi kepercayaan lagi, diperpanjang lagi kontraknya, walaupun badan lelah tetap semangat. "
Mahkamah telah memeriksa dokumen yang mengesahkan bahawa Siti Aisyah telah ke Kemboja pada 21 Jan 2017, dengan perjalanan itu dibayar oleh James sebagai hadiah bagi aksi yang dilakukannya sebelum ini.
"Kami telah menunjukkan bahawa Siti Aisyah diminta melakukan aksi gurauan di Kemboja, di mana buat pertama kalinya dia diperkenalkan kepada seorang lelaki bernama Chang, yang juga dikenali sebagai Hong Song Hac," kata Gooi.
Selepas kembali ke Malaysia, Siti Aisyah bertemu dengan Chang dan melakukan aksi gurauan di lapangan terbang sebanyak empat kali sebelum serangan itu. "Kami telah menunjukkan bahawa dalam aksi gurauan itu, Siti Aisyah diberikan minyak bayi dan dia diminta membasuh tangannya selepas itu," kata Gooi kepada mahkamah.
Selain itu, Chang telah meminta Siti Aisyah untuk pergi ke Macau bagi melakukan aksi gurauan pada 9 Feb 2017, tetapi perjalanan itu dibatalkan tanpa sebarang penjelasan, kata Wan Azirul. Gooi memberitahu pemberita bahawa perjalanan itu mungkin dibatalkan kerana Kim telah memasuki Malaysia pada 6 Feb 2017. Pada hari pembunuhannya, Kim telah menempah penerbangan ke Macau, di mana beliau tinggal bersama-sama keluarganya.
Chang adalah seorang daripada empat warga Korea Utara yang dikehendaki oleh polis, dan dia berada di lapangan terbang itu pada hari pembunuhan Kim. Dia dan tiga orang lain melarikan diri dari Kuala Lumpur beberapa jam kemudian.