Malaysia Mungkin Usir Diplomat Korea Utara Di Tengah-tengah Perbalahan Pembunuhan Kim

Hata Wahari & Anis Natasha
2017.03.03
Kuala Lumpur
170303-my-duta-620.jpg Kang Chol, Duta Korea Utara ke Malaysia, bercakap kepada wartawan di luar kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur, 20 Feb, 2017.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia sedang serius mempertimbangkan pengusiran Duta Korea Utara dan diplomat lain di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur berhubung kemungkinan kaitan dengan pembunuhan abang tiri Kim Jong Un, kata dua sumber kerajaan Malaysia kepada BeritaBenar.

Cadangan untuk mengisytiharkan Duta Kang Chol dan setiausaha kedua Hyon Kwang Song sebagai "persona non grata" telah dikemukakan dalam kalangan pihak tertinggi kerajaan dan ia sedang dipertimbangkan, kata sumber yang tidak mahu nama mereka dinyatakan.

Kang Chol secara terbuka mengkritik siasatan Malaysia terhadap kematian Kim Jong Nam manakala Hyong Kwang Song dikehendaki polis untuk disoal siasat berhubung pembunuhan itu di lapangan terbang Malaysia di pinggir Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu.

Dua sebab dinyatakan bagi cadangan pengusiran dua diplomat Korea Utara itu – kemungkinan penglibatan dalam pembunuhan Kim Jong Nam dan pendedahan bahawa Korea Utara menjadikan Malaysia pangkalan untuk urusan senjata – yang melanggar sekatan antarabangsa - kata sumber-sumber itu.

"Tiada keputusan muktamad lagi tetapi kita sedang berbincang dengan Kementerian Luar Negeri," satu sumber memberitahu BeritaBenar.

Kim Jong Nam meninggal dunia dalam masa 15 hingga 20 minit selepas VX, agen saraf yang membawa maut dan diharamkan di peringkat antarabangsa, dilumurkan pada mukanya oleh dua wanita, demikian menurut siasatan.

'Harga yang mahal'

Malaysia adalah antara senarai kecil negara yang mempunyai hubungan rapat dengan regim komunis yang tegas di Pyongyang, yang berada di bawah sekatan global berikutan pelancaran pemacu senjata nuclear dan peluru berpandu balistik yang menyalahi undang-undang, dengan yang terbaharu dilakukan pada 12 Feb lalu.

Hubungan itu tergugat dengan pembunuhan Kim Jong Nam di bumi Malaysia, dengan Kuala Lumpur telah memanggil pulang dutanya ke Pyongyang dan membatalkan kemasukan tanpa visa ke Malaysia untuk warga Korea Utara bermula 6 Mac ini.

Awal minggu ini, pihak berkuasa Malaysia berkata mereka mendapati dua syarikat yang dikawal Korea Utara telah menggunakan syarikat di Malaysia itu, untuk menjual peralatan radio tempur yang melanggar sekatan PBB.

Kedua-dua syarikat dalam proses "ditutup" atau dikeluarkan daripada pendaftaran entiti perniagaan di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan.

Malaysia pada Jumaat mematahkan cubaan terbaru Korea Utara untuk menolak hasil siasatannya bahawa agen saraf XV yang membawa maut  digunakan dalam pembunuhan itu.

“Kementerian mengutuk keras penggunaan senjata kimia seperti itu oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja dan dalam apa jua keadaan. Penggunaannya di tempat awam boleh membahayakan orang ramai," kata Kementerian Luar berhubung perkara itu.

Dalam sidang media pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan amaran kepada Duta Kang Chol, yang telah dua kali membidas pegawai-pegawai Malaysia mengenai pengendalian mereka dalam siasatan itu.

"Jika kecaman terus dibuat oleh duta, dia akan membayar harga yang mahal," kata Zahid. "Sebagai duta, biarpun skrip itu datang dari sumber yang hanya beliau ketahui, beliau mesti menghormati undang-undang, etika dan budaya kita di sini. Diplomasi mestilah dihormati. "

Polis Malaysia berkata mereka sedang memburu tujuh warga Korea Utara yang mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu, tetapi empat daripada mereka telah pun kembali ke Korea Utara manakala tiga lagi masih di Malaysia termasuk setiausaha kedua Hyon.

Persepsi negatif


Pakar perundangan pula memberi amaran bahawa mengambil tindakan terhadap diplomat boleh membawa akibat yang serius.

Malaysia mempunyai dua pilihan, kata peguam Mohamed Haniff Khatri kepada BeritaBenar: meminta Korea Utara membatalkan imuniti setiausaha kedua kedutaan itu supaya mereka boleh menangkapnya, atau mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata – dan mengusirnya keluar dari negara itu.

"Apa-apa tindakan yang diambil akan mengundang tindak balas agresif daripada Korea Utara. Malaysia, bagaimanapun, akan berdepan dengan persepsi negatif daripada rakyat sendiri dan masyarakat antarabangsa jika ia gagal mendapatkan keadilan untuk si mati dan keluarganya," katanya.

"Dalam erti kata lain, mahukah Malaysia dilabelkan sebagai sebuah negara yang sanggup mengabaikan keadilan kerana takut terhadap Korea Utara?"

Yusmadi Yusuf, seorang lagi pakar perundangan berkata, taktik persona non grata perlu menjadi pilihan terakhir.

"Pada peringkat ini, ia tidak digalakkan. Ia akan mewujudkan ketegangan lebih lanjut, "katanya.

"Ini adalah isu jenayah, bukan isu diplomatik," katanya. "Kita perlu mencari jalan tengah untuk berkomunikasi dengan lebih baik dan menangani kebimbangan mereka ... Kita tidak mengakhiri penglibatan diplomatik dengan mereka."

Sementara itu, polis Malaysia pada Jumaat mengeluarkan waran tangkap terhadap pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Air Koryo, Kim Uk Il, 37, seorang daripada tiga warga Korea Utara yang dikehendaki berkaitan dengan jenayah itu dan dianggap masih berada di Malaysia.

Pihak berkuasa itu juga membebaskan dan menghantar pulang Ri Jong Chol, satu-satunya rakyat Korea Utara yang ditahan setakat ini, kerana kekurangan bukti dalam kes pembunuhan itu dan kesalahan imigresen.

Pada Rabu, dua wanita Asia Tenggara yang didakwa melumurkan toksin pada muka Kim telah dituduh membunuh di mahkamah.

Korea Utara menghantar delegasi khas ke Kuala Lumpur pada Selasa bagi menuntut mayat lelaki itu yang ia tidak kenal pasti sebagai Kim Jong Nam dan membaiki perbalahan hubungan dua hala.

Setakat ini, Malaysia enggan menyerahkan mayat mangsa. Pada 19 Feb lalu, polis Malaysia berkata mereka memberi anggota keluarga terdekat Kim Jong Nam dua minggu untuk tampil dan mengenal pasti mayatnya, dan tempoh itu akan berakhir Ahad ini.

Fadzil Aziz turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.