Malaysia Kenakan Larangan Perjalanan Terhadap Mereka Yang Cemuh Kerajaan: Laporan
2016.05.18
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa di Malaysia telah memperkenalkan dasar menghalang rakyatnya yang cuba menjatuhkan atau mencemuh kerajaan daripada keluar ke negara asing, menurut sebuah akhbar tempatan, yang mendapat pelbagai kritikan daripada penyokong kebebasan sivil.
"Sesiapa yang cuba memburukkan kerajaan dalam apa jua cara tidak akan dibenarkan ke luar negara," kata sumber Jabatan Imigresen kepada akhbar The Star.
Rakyat boleh dihalang daripada keluar negara selama tiga tahun, sumber itu berkata berikutan larangan perjalanan keluar negara yang dikenakan ke atas Pengerusi BERSIH, yang menghalang beliau daripada menaiki pesawat ke Korea Selatan untuk menerima Hadiah Hak Asasi Gwangju.
Ketua Pengarah Imigresen Sakib Kusmi kemudiannya mengesahkan kewujudan dasar baru berkenaan kepada akhbar itu dengan berkata bahawa memiliki pasport antarabangsa Malaysia adalah "satu keistimewaan dan bukan hak."
“Kerana kerajaan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan pasport antarabangsa kepada rakyatnya di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan juga mempunyai budi bicara sama ada untuk mengeluar, menangguh atau membatalkan dokumen perjalanan," kata Sakib.
BeritaBenar cuba menghubungi ketua pengarah jabatan berkenaan untuk penjelasan lanjut, bagaimanapun, gagal kerana panggilan dan pesanan tidak dijawab.
'Hukuman tanpa perbicaraan'
Mohamad Haniff Khatri, seorang peguam terkemuka Malaysia, dalam memberi bertindak balas terhadap laporan itu, menghuraikan, dasar baru itu adalah contoh penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan secara tidak terkawal serta menyekat kebebasan aktivis dan pengkritik.
"Pengharaman perjalanan keluar negara dengan sewenang-wenang, pertamanya dibuat tanpa seseorang itu disabitkan dengan sebarang kesalahan tertentu, dan kedua, tanpa orang itu didapati bersalah. Ini adalah satu hukuman tanpa perbicaraan. Itulah isunya, "kata Haniff kepada BeritaBenar pada Rabu.
Pengharaman perjalanan keluar sewenang-wenangnya tidak seharusnya berlaku di Malaysia terutamanya jika "kerajaan Malaysia mendakwa ianya sebagai sebuah negara yang progresif dan demokratik," menurut seorang lagi aktivis sosial, Wan Saiful Wan Jan yang mengetuai Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), sebuah badan pemikir tempatan.
"Kebebasan bergerak, adalah termaktub dalam hak perjalanan, hak asasi manusia sejagat. Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang kerajaan Malaysia amalkan, dan ia menyatakan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk keluar negara dan kembali semula, " katanya kepada BeritaBenar, sambil menambah bahawa kerajaan Malaysia juga telah gagal untuk memahami bahawa rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengkritik dasar dan tindakannya.
"Semak dengan Imigresen'
Isu berkenaan mendapat perhatian selepas pemimpin Bersih Maria Chin Abdullah berkata, para pegawai imigresen Malaysia telah menghalang beliau daripada terbang ke Korea Selatan pada Ahad.
BERSIH, dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, terdiri daripada gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil, ditubuhkan sebagai sebuah platform untuk mendesak Kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah, selain menuntut pembaharuan di dalam pilihan raya sebagai agenda nasionalnya.
Tahun lepas, gabungan itu telah menganjurkan perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur dan beberapa bandar lain di Malaysia, serta mendesak penyingkiran Perdana Menteri Najib Razak atas tuduhan rasuah.
Pada Rabu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamad mempertahankan larangan itu, mengatakan bahawa ahli-ahli politik Malaysia lantang dan aktivis khususnya perlu menyemak status perjalanan terlebih dahulu dengan Jabatan Imigresen sebelum menempah tiket perjalanan antarabangsa mereka.
"Merujuk kepada Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin, dia sepatutnya menyemak status dengan Jabatan Imigresen sama ada dia masih dihalang daripada meninggalkan negara atau tidak. Jangan hanya tunggu, semak dengan Imigresen, "menurut laporan berasingan yang disiarkan di dalam akhbar The Star yang memetik Timbalan Menteri sebagai berkata.
Tidak ramai rakyat Malaysia dihalang daripada meninggalkan negara kerana mencemar nama Malaysia, tetapi ia terpulang kepada budi bicara ketua jabatan untuk mengharamkan perjalanan keluar bagi warganegara tertentu, kata Nur Jazlan.
Pada bulan Mac, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu parlimen bahawa 827,921 rakyat Malaysia telah dihalang daripada meninggalkan negara kerana muflis (200,727), gagal membayar balik pinjaman pelajar (118,892), melakukan kesalahan yang berkaitan keselamatan (520) manakala baki 507,782 dilarang daripada melancong ke luar negara atas pelbagai kesalahan lain, menurut laporan media tempatan.