Malaysia Gantung Tiga Projek Infrastruktur Disokong China

Staf BeritaBenar
2018.07.05
Washington, District of Columbia
180705-MY-china-620.jpg Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng, kelihatan di sini sedang ditemu bual di Putrajaya, mengumumkan bahawa kerajaan telah memerintahkan agar projek Laluan Rel Pantai Timur digantung, 29 Jun 2018.
(AP)

Kerajaan baharu Malaysia pada Khamis berkata ia menggantung tiga projek kereta api dan saluran paip yang disokong China di negara itu, atas alasan bimbang kos gabungan menelan belanja sehingga AS$23 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengeluarkan satu kenyataan mengumumkan “notis penggantungan” berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip itu selepas mendapat pandangan Peguam Negara Tommy Thomas.

“Perlu ditegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah semata-mata ke atas syarikat yang berkaitan dengan peruntukan dalam surat perjanjian dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana negara,” kata Guan Eng dalam kenyataan media itu.

Menteri kewangan itu berkata kos keseluruhan sebenar ECRL, yang paling mahal antara ketiga-ketiga projek, telah meningkat sebanyak RM26 bilion (AS$6.4 bilion) kepada RM81 bilion (AS$20 bilion).

Projek-projek saluran paip bernilai RM9.4 bilion (AS$2.3 bilion) itu pula masing-masing terletak di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan Kepulauan Borneo sebelah Malaysia.

Perkhidmatan berita Reuters melaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah melakukan siasatan untuk menentukan sama ada pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak telah menggunakan dana yang diperuntuk bagi projek-projek itu untuk membayar hutang yang ditanggung oleh dana pembangunan IMalaysia Development Berhad (1MDB) yang dibelenggui skandal kewangan.

Najib, seorang penyokong utama inisiatif pelaburan One Belt One Road China di rantau ini, telah menggelar projek kereta api laju itu sebagai “pencetus perubahan” semasa majlis pecah tanahnya pada Ogos 2017. Landasan kereta api laju itu adalah sepanjang 688 km (430 batu) dan menghubungkan kedua-dua pantai barat dan pantai timur di Semenanjung Malaysia menelan kos sebanyak RM55 bilion (AS$13.5 bilion).

Inisiatif One Belt One Road adalah strategi geopolitik utama China untuk membina satu rangkaian penuh pelabuhan, landasan kereta api, jalan raya dan laluan perdagangan yang menghubungkan China dengan pasaran di Asia Tenggara, Asia Selatan dan seterusnya.

Pengumuman oleh kementerian kewangan itu dibuat sehari selepas Najib telah didakwa melakukan kesalahan jenayah di sebuah mahkamah Kuala Lumpur susulan penahanan beliau kerana disyaki terlibat dengan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB, sebuah dana pelaburan negara yang diasaskannya pada 2009.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang mengambil alih jawatan pada 10 Mei selepas gabungan Pakatan Harapan pimpinan beliau memperoleh kemenangan menakjubkan ketika menewaskan parti gabungan Barisan Nasional pimpinan Najib, telah mengkritik dengan lantang tindakan Malaysia melaksanakan projek-projek yang memerlukan pembiayaan daripada China.

Pada 29 Mei, Mahathir mengumumkan bahawa kerajaan baharu beliau akan merundingkan semula syarat-syarat perjanjian ECRL.

“Syarat-syarat itu amat merosakkan ekonomi kita,” katanya ketika itu.

Pengumuman Mahathir itu dibuat pada masa yang sama kerajaan membatalkan pelan untuk membina sebuah kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura – sebuah projek, yang menurut beliau, boleh dilakukan semula pada masa depan. Beberapa minggu kemudian, Mahathir berkata kerajaannya akan mengkaji semula projek kereta api laju.

Respons Kontraktor


Kontraktor China Communications Construction Co. (CCCC) memberikan maklum balas kepada notis itu menerusi kenyataan medianya sendiri yang menyebut bahawa kontrak ECRL telah ditandatangani bersama Malaysia Rail Link Sdn Berhad (MRL), yang mewakili kerajaan Malaysian.

“Kami menghormati dan mematuhi undang-undang Malaysia. Di dalam situasi ini, kami tidak mempunyai pilihan dan perlu mematuhi arahan penggantungan itu,” katanya.

“Walaupun tempoh penggantungan belum ditentukan, kami bimbang tentang kos tambahan, kerugian dan kerosakan yang bakal ditanggung susulan penggantungan itu.

“Kami kecewa dan bimbang dengan nasib 2,250 kakitangan tempatan kami selain beberapa ratus subkontraktor, pembekal dan firma-firma perundingan.”

CCCC berkata ia berharap kedua-dua pihak akan mampu mencari penyelesaian menang-menang menerusi rundingan dan penggantungan itu akan ditarik balik tidak lama lagi.

Kontrak yang diluluskan oleh Najib meminta CCCC membina landasan kereta api itu dan kerajaan Malaysia akan membiayai 85 peratus kos menerusi pinjaman daripada Bank Export-Import China dengan baki 15 peratus dibiayai menerusi satu program bon yang diuruskan oleh tiga bank Malaysia.

China Petroleum Co.adalah firma yang mendapat kontrak projek-projek saluran paip itu. Bulan lepas, Guan Eng mengumumkan bahawa beliau telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat satu pembayaran “yang amat mencurigakan” sebanyak AS$2 bilion yang dibuat kepada China Petroleum apabila hanya 15 peratus daripada kerjanya berhubung kedua-dua projek saluran paip itu siap.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.