TI-M Minta Kerajaan Selia SPRM Dibawah Parlimen

Hata Wahari
2016.06.27
Kuala Lumpur
160627-my-transperancy620 Sidang Kemuncak Anti-Rasuah yang berlangsung di London, England, pada 12 Mei 2016, turut dihadiri Perdana Menteri Britain, David Cameron.
AFP

Transparency International – Malaysia (TI-M), sebuah badan pemantau rasuah antarabangsa mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Presiden TI-M Akhbar Satar kepada BeritaBenar.

Katanya, pentingnya saranan itu dibuat adalah untuk memerdekakan badan pencegahan rasuah itu selain membolehkan SPRM bergerak sebagai satu badan bebas.

“Meletakkannya di bawah Parlimen juga dapat membolehkan setiap siasatan dibentang dan dipersoalkan oleh anggota-anggota Parlimen seperti mana Ketua Audit Negara membentangkan laporan auditnya setiap tahun di dewan perundangan kebangsaan Malaysia itu,” katanya kepada BeritaBenar.

Beliau berkata,  selagi SPRM tidak bebas, badan itu tidak akan memberi kesan dalam pelbagai penyiasatan berhubung kesalahan rasuah serta yang berkaitan, dengan tidak dapat menghukum pemberi rasuah.

SPRM juga perlu diberikan kebebasan dan mempunyai autonomi kewangan untuk memastikan kesaksamaan dalam menyiasat bagi membolehkan badan itu mengambil tindakan selaras dengan kesalahan yang berkaitan terutamanya apabila tokoh terkemuka didapati terlibat.

Akhbar berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai hasrat Ketua Pesuruhjayanya SPRM Abu Kassim Mohamad yang mengumumkan peletakan jawatan bermula 1 Ogos, dua tahun sebelum kontraknya tamat pada 4 Disember 2018.

Dalama pada itu, Abu Kassim pada satu sidang media minggu lepas, menegaskan bahawa beliau memilih untuk mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya kerana ditawarkan menjadi pakar jemputan di International Anti-Corruption Academy (IACA) iaitu sebuah Universiti Pencegahan Rasuah pertama di dunia yang terletak di Austria.

Tindakannya itu bukannya atas desakan politik termasuk daripada Perdana Menteri Najib Razak, yang disiasat badan pencegahan rasuah berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tambah beliau.

Saranan Akhbar juga mendapat reaksi baik daripada seorang anggota Panel Penilaian Operasi (PPO) suruhanjaya itu, Lim Chee Wee, yang bersetuju dengan cadangan memindahkan SPRM di bawah pengawasan Parlimen.

“Kuasa lantikan tanpa kawalan boleh disalahgunakan untuk memelihara diri sendiri. Pembaharuan SPRM dengan memindahkan kuasa dari tangan seseorang (Perdana Menteri) kepada Parlimen adalah penting untuk menyelamatkan institusi tersebut,” katanya kepada BeritaBenar.

Pengganti perlu intergriti tinggi

Akhbar juga menegaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM yang bakal menggantikan Abu Kassim Mohamad seharusnya mempunyai kelayakan dan mempunyai pengetahuan mendalam dalam undang-undang dan proses berkaitannya, selain mempunyai kematangan dan mampu  mengemudi badan itu dengan nilai baik dalam mengatasi masalah rasuah secara berkesan.

“Ketua Pesuruhjaya yang baru juga perlu memiliki persepsi awam yang baik, seorang yang berintergriti tinggi dan yang paling penting dapat memenuhi harapan rakyat untuk berkhidmat demi keadilan tanpa rasa takut atau memilih pihak,” tambah beliau.

Beliau berkata, TI-M juga berharap Ketua Pesuruhjaya yang baru akan bekerjasama dengan organisasi lain ke arah menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara yang paling kurang insiden rasuah di dunia.

Pengumuman mengenai pemendekan kontrak Abu Kassim dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan pada Jumaat lepas yang memaklumkan perkhidmatan ketua pesuruhjaya itu akan tamat pada 1 Ogos depan, seperti yang dimohonnya.

Jamin pengganti terbaik

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan portfolio integriti dan hak asasi manusia Paul Low berkata kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa penggantinya merupakan seseorang yang berintegriti.

Kerajaan akan memastikan bahawa “pengganti Abu Kassim adalah seorang yang berintegriti, mempunyai peribadi yang tinggi, pengetahuan yang mendalam, pengalaman luas dalam kerja yang rumit terutamanya dalam kaedah memerangi rasuah,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, ketua pesuruhjaya yang baru perlulah diambil dari kalangan pegawai kanan SPRM yang cekap dan sedia ada, terutamanya mereka yang telah bekerja dengan Abu Kassim.

NOW dakwa ada tekanan

Sementara itu, wakil dari  National Oversight & Whistleblowers (NOW) Rafizi Ramli dan Akmal Nassir mendakwa mereka telah dihubungi dan berjumpa secara sulit dengan seorang pegawai kanan SPRM berhubung tekanan yang dihadapi oleh badan tersebut sejak awal tahun ini.

“Kami berdua telah dihubungi dan berjumpa dengan seorang pegawai kanan SPRM kira-kira 5 bulan yang lalu dan beliau memaklumkan bahawa kedua-dua pimpinan tertinggi SPRM telah dipaksa meletak jawatan dan bakal digantikan dengan ‘orang luar’ SPRM,’’ dakwa kedua-dua mereka.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan memberitahu, NOW akan mengadakan kempen untuk mendesak ahli-ahli panel dalam jawatankuasa bebas SPRM seperti Lembaga Penasihat SPRM, Panel Penilaian Operasi (PPO), Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) termasuk yang baru dilantik untuk meletakkan jawatan atau tidak menerima tawaran jawatan sebagai tanda protes.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull dalam satu video yang dikeluarkan badan itu pada awal Jun menyatakan kekesalan dengan polarisasi politik berhubung siasatan rasuah yang sering menyaksikan tertuduh dipertahankan manakala suruhanjaya itu dibidas kerana menjalankan tugas.

"Di Malaysia jika kita menyiasat seorang ahli politik, keseluruhan parti akan menyokong tertuduh, dan tertuduh menjadi wira, manakala SPRM pula menjadi barua," katanya dalam sebuah rakaman video di YouTube.

Katanya, orang ramai dan parti politik seharusnya menyokong SPRM dalam mana-mana siasatan rasuah kerana ini akan mengeluarkan "kanser" yang memusnahkan masyarakat dan parti politik itu sendiri.

Dalam pada itu, Abu Kassim semasa sidang media yang sama berkata, “Permintaan untuk memendekkan perkhidmatan adalah atas kehendak saya, selepas mendapat peluang untuk memberi sumbangan di peringkat antarabangsa yang boleh meningkatkan nama Malaysia dan SPRM ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya akan terus berkhidmat sebagai pegawai kerajaan sehingga bersara wajib pada 6 Dis 2020 dan juga akan menunaikan tanggungjawab sebagai pensyarah, penyelidik dan memberi khidmat rundingan di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM),” katanya dalam sidang media itu



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.