Majlis Peguam dan Persatuan Pegawai Kehakiman Berbalah Di Media
2016.03.21
Kuala Lumpur

Majlis Peguam dan Persatuan Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Malaysia (JALSOA) dilihat saling berbalah di media mengenai usul yang diluluskan oleh majlis peguam itu yang meminta Peguam Negara Mohamad Apandi Ali meletakkan jawatannya dengan segera semasa Mesyuarat Agung Tahun majlis berkenaan.
Pada Sabtu lepas, majlis peguam itu telah mengundi serta meluluskan usul menggesa Mohamad Apandi meletakkan jawatan dengan segera, kerana dikatakan gagal menegakkan kedaulatan undang-undang negara itu.
JALSOA pula antara lain melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan badan peguam tertinggi Malaysia itu, yang mempertikaikan proses undang-undang yang telus dan sedia termaktub dalam Perlembangan Persekutuan.
“Tindakan Badan Peguam Malaysia yang mempertikaikan proses perundangan yang telus dan sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dilihat sebagai mengganggu pelaksanaan kuasa dan budi bicara Peguam Negara Malaysia seperti yang diperuntukkan oleh Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, dan telah meluahkan rasa tidak puas hati dikalangan anggota JALSOA” kata kenyataan itu.
Sebagai tindakan balas JALSOA yang merupakan sebahagian daripada institusi perundangan Malaysia akan mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa bagi membahaskan beberapa usul antaranya menolak usaha campur tangan dan tekanan oleh mana-mana badan lain termasuk Majlis Peguam dalam urusan institusi Peguam Negara, tambah kenyataan itu lagi.
Presiden Majlis Peguam Steven Thiru yang dihubungi BeritaBenar berkata, usul menuntut Mohamad Apandi meletakkan jawatan itu mendapat sokongan lebih 1,000 anggota majlis peguam itu semasa proses mengundi di mesyuarat berkenaan, Sabtu lepas.
Beliau, bagaimanapun enggan menyatakan komposisi undi menyokong dan menentang resolusi terbabit.
"Usul itu tidak ada kaitan dengan politik tetapi ia sebenarnya kebimbangan yang disuarakan oleh anggota Majlis Peguam mengenai kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan di Malaysia.
“Ini bukan soal menjadi penyibuk tetapi kerana di bawah Akta Profesion Undang-undang, Majlis Peguam wajib menegakkan kedaulatan undang-undang. Itu adalah satu mandat. Jadi kami bukan penyibuk,’’katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.
Pada mesyuarat itu, Majlis Peguam juga menerima usul meminta Peguam Cara Negara untuk mengambil alih peranan dan tanggungjawab pendakwaraya dalam kes-kes skandal kewangan yang melibatkan Perdana Menteri Najib Razak seperti 1MDB, SRC International dan wang derma RM2.6 bilion.
Selain itu, mesyuarat berkenaan juga meminta kerajaan untuk menubuhkan satu suruhanjaya atau jawatankuasa bebas bagi pelantikan atau cadangan pemilihan Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong.
Pada Januari lalu, Mohamed Apandi mengumumkan bahawa Jabatan Peguam Negara menutup siasatan terhadap skandal rasuah yang dihadapi oleh Perdana Menteri Najib Razak, yang melibatkan deposit sebanyak AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya umum 2013.
Mohamed Apandi berkata "tiada kesalahan jenayah" telah dilakukan, dengan sebahagian besar wang itu telah pun dikembalikan, dan ia adalah "derma peribadi" dari keluarga diraja Arab Saudi.
Najib, yang para pengkritiknya menggesa beliau meletakkan jawatan susulan perkara itu, terus menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan peribadi.
Najib turut memecat Abdul Gani Patail, Peguam Negara pada masa itu, yang sedang menerajui sebuah pasukan petugas pelbagai agensi bagi menyiasat kes itu dan skandal lain berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad.
Usaha untuk menghubungi Mohamad Apandi oleh BeritaBenar untuk mendapatkan sebarang komen mengenai usul majils peguam terhadap beliau, bagaimanapun gagal. Mesej pesanan ringkas dan panggilan kepada telefon bimbitnya tidak dijawab.
'alat politik'
Sementara itu portal berita Malaysiakini melaporkan peguam terkemuka negara itu, Muhammad Shafee Abdullah sebagai berkata, “Majlis Peguam kini menjadi (alat) politik. Badan professional undang-undang sepatutnya menjadi badan bebas”
“Lebih bebas badan itu, lebih kuat. Majlis Peguam ini seperti pembangkang. Kita tidak kisah sama ada mereka menyokong kerajaan atau membangkang tetapi mereka tidak boleh melakukan kedua-duanya –Non partisan-,” katanya seperti dilaporkan portal itu pada Isnin.
Pada Jumaat lepas, pertubuhan pemantau cawangan Malaysia Transparency International menggesa Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya diasingkan untuk menjadikan ia lebih bertanggungjawab dan bebas daripada cabang eksekutif.
Peguam Negara dilantik oleh Perdana Menteri yang juga bertugas sebagai Pendakwa Raya dan ini membimbangkan orang ramai yang menuntut kebebasan dan integriti beliau bagi memastikan keadilan jenayah dikuatkuasakan dengan adil dan saksama," kata Presiden TI-M Akhbar Satar dalam kenyataan.
Dalam pada itu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan seorang Pakar Undang-Undang, Prof. Madya Dr. Ahmad Marthada Mohamed sebagai berkata, tindakan Majlis Peguam mengeluarkan usul itu, sebenarnya tidak mendatangkan sebarang hasil kerana proses pelantikan Peguam Negara adalah jelas dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Mereka yang bertindak meluluskan usul ini sebenarnya tidak berpuas hati lalu meluluskan usul walaupun pandangan yang diberikan tidak mewakili semua ahli Majlis Peguam.
“Tindakan yang diambil Majlis Peguam ini sebenarnya tidak perlu diberi perhatian kerana telah termaktub di dalam Perlembagaan mengenai proses pelantikan Peguam Negara. Mereka dilihat sengaja menimbulkan isu ini sedangkan tiada sebab mengapa perlu diusulkan perkara ini,” kata beliau.