Usul Hapuskan Hukuman Mati Mandatori Langkah Tepat

S. Adie Zul & Hata Wahari
2015.11.27
151127-MY-COURT620 Bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 6 Februari 2010.
AFP

Cadangan kerajaan untuk mengemukakan pindaan Rang Undang-Undang menghapuskan hukuman mati mandatori disambut baik oleh badan penggerak hak sivil di Malaysia.

Mereka berkata langkah mengembalikan hak memutuskan hukuman terhadap pesalah kepada budi bicara hakim, adalah langkah penting untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara lain di dunia yang telah berbuat demikian.

Presiden International Movement for a Just World (Just) Prof Chandra Muzaffar memuji inisiatif kerajaan sambil berharap ia dapat membuka jalan kepada penghapusan hukuman mati untuk semua jenayah di masa depan.

Chandra, yang juga pensyarah Kajian Global Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, langkah menghapuskan hukuman mati mandatori adalah bertepatan kerana ia didapati tidak berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah biarpun telah diamalkan selama lebih tiga dekad di Malaysia.

Sebagai contoh, beliau berkata jenayah pengedaran dadah masih berlaku di Malaysia sedangkan umum mengetahui hukuman mati mandatori menanti pesalah yang didapati bersalah, dan ini menunjukkan kaedah tersebut tidak berkesan dalam menangani jenayah berkaitan dadah.

"Saya amat bersetuju dengan usul tersebut kerana hakim adalah pihak yang paling layak untuk menentukan bentuk hukuman yang setimpal ke atas sesuatu jenayah dan pada waktu ini, mahkamah tidak mempunyai pilihan untuk menjatuhkan hukuman mati mandatori jika seseorang tertuduh didapati bersalah atas kesalahan tertentu.

"Jadi sudah tiba masanya untuk hak itu dikembalikan kepada hakim untuk menentukan sama ada perlu untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas pesalah atau pun menjatuhkan bentuk hukuman lain yang difikirkan setimpal dengan jenayah yang dilakukan," katanya kepada BeritaBenar.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, pindaan Rang Undang-Undang menghapuskan hukuman mati mandatori dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac depan dan usul tersebut telah mendapat sokongan daripada Peguam Negara, Apandi Ali.

Jelasnya lagi, kerajaan telah lama berhasrat untuk meminda hukuman mati mandatori tetapi usaha tersebut tergendala berikutan masalah teknikal melibatkan penyusunan deraf supaya tidak berlaku pertindihan undang-undang.

Tegasnya, sudah tiba masa bagi Malaysia sealiran dengan negara-negara lain yang memansuhkan hukuman mati mandatori.

Chandra berkata, negara seperti Belanda dan United Kingdom yang menghapuskan hukuman mati telah menunjukkan kadar jenayah berat secara umum telah berkurangan walaupun ia mengambil masa yang lama melalui proses perdebatan sebelum dilaksanakan.

Mengulas mengenai perdebatan mengenai hak keluarga mangsa jenayah, seperti pembunuhan, untukmendapatkan balasan setimpal bagi kehilangan ahli keluarga mereka dengan menjatuhkan hukuman mati ke atas pembunuh, beliau berkata masyarakat perlu kembali kepada prinsip asas dalam Islam.

"Dalam Islam, biarpun termaktub adanya hukuman mati ke atas pembunuh, tetapi Islam juga memberi ruang kepada keluarga mangsa untuk memberi pengampunan kepada penjenayah, dan ini mengatasi keputusan pemerintah atau mana-mana pihak lain.

"Di sinilah Islam menekankan kepada konsep mendidik dan bukannya budaya membalas dendam di atas jenayah yang berlaku dan kita perlu melihat kepada pendekatan sebegini," katanya lagi.

Dalam pada itu Timbalan Pengarah Human Right Watch Asia, Phil Robertson berkata, menggugurkan hukuman mati mandatori merupakan satu langkah ke hadapan yang penting berkenaan hak kemanusiaan di  Malaysia.

“Saya jangkakan langkah ini akan menerima pujian dari seluruh dunia. Oleh itu, parti pemerintah perlu mengambil tindakan berhubung perkara ini dengan secepat mungkin. Adalah penting bagi kerajaan melibatkan diri mulai sekarang dalam rundingan dengan kumpulan masyarakat sivil seperti Majlis Peguam Malaysia, untuk meminda undang-undang ini supaya ia mematuhi sepenuhnya prinsip-prinsip hak asasi manusia.

“Akhirnya, kerajaan Malaysia harus menyasarkan untuk menghapuskan terus hukuman mati, sejajar dengan peningkatan pesat konsensus antarabangsa untuk menghapuskan hukuman mati" katanya kepada BeritaBenar.

Bagi pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya, Prof Dr. Azmi Shahrom, hukuman mati mandatori seharusnya telah lama di mansuhkan dengan hakim perlu diberikan kebebasan untuk menentukan sama ada menjatuhkan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup berdasarkan kepada fakta-fakta yang dibentangkan oleh peguam semasa perbicaraan.

“Sekiranya hukuman mati mandatori dilaksanakan, hakim tidak mempunyai kebebasan untuk menilai kes tersebut berdasarkan kepada fakta-fakta, sekiranya pendakwaraya berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah maka hukuman mati mandatori terpaksa dijatuhkan terutama dalam kes-kes dadah.

“Kalau hukuman itu di mansuhkan, hakim mempunyai kebebasan untuk menentukan sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau pun hukuman penjara seumur hidup mengikut fakta-fakta kes memandangkan ada banyak sebab seseorang itu terlibat dalam kes dadah,” katanya kepada BeritaBenar.

‘Tangguh hukuman mati’

Mengulas usul kerajaan itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Hasmy Agam mengalu-alukannya sambil berkata, SUHAKAM percaya langkah itu dapat memberi perkembangan positif selain meletakkan Malaysia pada kedudukan selaras dengan negara yang telah mengambil langkah memansuhkan hukuman mati mandatori itu.

Hasmy berharap cadangan pindaan undang-undang hukuman mati mandatori itu akan segera dibentangkan di Parlimen dan turut mencadangkan supaya moratorium (penggantungan atau penangguhan) dibenarkan untuk semua kesalahan hukuman mati yang masih menanti tarikh pelaksanaanhukuman, sementara menunggu proses pindaan tersebut diputuskan.

"Suhakam juga memohon kerajaan mengkaji semula undang-undang jenayah untuk memastikan bahawa sekiranya hukuman mati dikenakan ke atas sesuatu kesalahan, ia hanya perlu dikenakan ke atas jenayah yang paling serius seperti yang ditakrifkan dalam Artikel 6 (2) Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR)," katanya.

Suruhanjaya itu juga mengesyorkan Malaysia menyertai ICCPR dan Protokol Pilihan Kedua serta berusaha ke arah pemansuhan hukuman mati di Malaysia bagi jangka masa panjang, seterusnya menyertai kira-kira 140 daripada 193 negara Ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah memansuhkan hukuman itu atau memperkenalkan moratorium dalam undang-undang atau secara praktikal.

Gesaan Suhakam itu turut disokong oleh pengarah Amnesty International Malaysia, Shamini Darshni yang berkata, adalah mustahak bagi kerajaan melaksankan moratorium ke atas semua hukuman gantung dengan segera sehingga proses pindaan hukuman mati mandatori itu diselesaikan.

"Kami juga menyeru pihak berkuasa untuk mengambil peluang perubahan ini untuk memastikan undang-undang negara bergerak selari dengan undang-undang antarabangsa, yang membenarkan hukuman mati hanya untuk "jenayah yang paling berat", atau kesalahan membunuh dengan niat sahaja," katanya dalam kenyataan media kepada BeritaBenar.

Beri harapan kepada pesalah

Menurut Shamini lagi, usul pindaan tersebut memberi harapan baru kepada lebih 1,000 pesalah yang menanti hukuman mati, dengan mengurangkan hukuman mati dan perlaksaan hukuman mati serta menuju ke arah penghapusan hukuman mati.

Katanya, pindaan itu memberi peluang kedua kepada pesalah terhadap hukuman yang mereka bakal hadapi.

Nancy yang mengulas lanjut mengenai cadangan pindaan itu berkata, cadangan itu bukanlah bermaksud hukuman mati di negara ini akan dimansuhkan sebaliknya bertujuan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan bentuk hukuman kepada penjenayah, yang disabitkan kesalahan, berdasarkan budi bicara hakim.

“Kita tidak mahu mahkamah kehilangan pilihan, kerana apabila sabit kesalahan, hanya ada hukuman matimandatori. Dengan pemansuhan ini, hakim akan diberikan pilihan dan boleh menggunakan budi bicaranya untuk menentukan  hukuman,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.