Syiah: 32 Warga Pakistan Ditangkap JAIS Semasa Sambutan Hari Asyura

Melati A. Jalil
2016.10.12
Kuala Lumpur
161012-my-pakistan620.jpg Golongan Syiah Pakistan sedang menunaikan solat pada perarakan Asyura di Quetta, Pakistan, 12 Oktober 2016.
AFP

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seramai 32 warga Pakistan yang dipercayai bermazhab Syiah sewaktu mereka mengadakan majlis amalan Syiah di Batu Caves, Pengarah JAIS Haris Kasim memberitahu BeritaBenar pada Rabu.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi maklumat lebih lanjut mengenai penahanan itu kerana masih menunggu laporan mengenai penangkapan yang berlaku pada lewat malam Selasa, daripada bahagian penguatkuasaan jabatan berkenaan.

“Saya cuma dimaklumkan mengenai penahanan warga Pakistan yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak, selepas di dapati terlibat dalam acara keagamaan yang mirip kepada ajaran Syiah,” kata Haris semasa dihubungi BeritaBenar.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Awam Syiah Imamiyyah (Ja'fari) Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz mempertikaikan tindakan JAIS kerana kesemua mereka yang tangkap hanya mengamalkan amalan mazhab mereka.

Penahanan kesemua warga Pakistan itu juga didapati bertentangan dengan surat kenyataan Jais pada 2010 yang membenarkan warga asing mengamalkan mazhab mereka, selagi tidak menyebarkannya kepada penduduk tempatan.

Pada masa itu, Ketua penolong pengarah bahagian pengurusan penguatkuasaan JAIS Mohamad Rais Rasid berkata pengecualian kepada warganegara asing dan juga pelancong luar diberikan kerana amalan itu merupakan mazhab mereka di negara asal masing-masing, selagi tidak menyebarkannya kepada rakyat Malaysia.

Mohd Kamilzuhairi berkata, kesemua mereka yang ditahan itu sedang menyertai acara sempena sambutan Hari Asyura (10 Muharam) dan menjalankan aktiviti mereka di kawasan milik persendirian dengan tiada seorangpun rakyat tempatan menyertainya.

"Saya tidak berada di sana (waktu tangkapan), dan sebenarnya mereka itu terdiri daripada rakyat Pakistan yang bekerja di Malaysia. Yang pelikny, mereka dinafikan hak mengamalkan mazhab sendiri,” katanya semasa dihubungi BeritaBenar pada Rabu.

Beliau berkata, “Kesemua mereka itu sememangnya asal-usul Syiah, turun-temurun, kerana di Pakistan, pengikut Islam Syiah berjuta orang, dan majlis semalam merupakan majlis berkabung bagi memperingati hari kematian cucu Nabi Muhammad SAW, Hussain Ali,”.

“Sekitar pukul 11 malam, majlis mereka diserbu JAIS oleh seramai 20 pegawai dan pengiring,” katanya.

Kamilzuhairi memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa kesemua yang tertangkap telah di bawa ke Mahkamah Syariah di Kuang, Gombak awal pagi Rabu untuk didakwa.

Fatwa Ajaran Menyimpang

JAIS sebelum ini telah mengeluarkan amaran keras kepada mereka yang terlibat dengan ideologi Syiah, kerana pengajaran Syiah dikatakan menyimpang dari agama Islam yang sebenar.

Pada 17 Oktober 2013, Jawatankuasa Fatwa Selangor juga telah mengatakan bahawa ajaran syiah menyimpang dari ajaran Islam, mengikut pandangan pengikut ahli Sunnah dan Jemaah.

Pada 1996, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa Syiah menyeleweng daripada Islam dan mengharamkan umat Islam Malaysia mengamalkannya dan disusuli fatwa di peringkat negeri.

Haris sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sesiapa yang diketahui mengamalkan ideologi Syiah di Selangor akan dikenakan tindakan tegas, dan mereka mungkin didenda atau dipenjara.

Penyelidik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini turut menafikan dakwaan bahawa terdapat seramai 300,000 orang pengikut Syiah di Malaysia.

Mereka menjangkakan hanya terdapat seramai sekitar 3,000 orang pengikut sahaja.

Ajaran Syiah merupakan mazhab Islam kedua terbesar dengan pengikutnya tertumpu di Iran, Iraq, Bahrain, beberapa bahagian Arab Saudi dan negara teluk lain.

Ia berbeza dengan pandangan aliran Sunnah serta beberapa tokoh awal sejarah Islam.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.