KKM: 416 Warga Asing Positif COVID-19, dengan Dua Kematian

Noah Lee
2020.04.09
Putrajaya, Malaysia
200409-MY-WargaAsing1000.jpg Beberapa pekerja asing di sebuah restoran sedang membantu pelanggan yang mahu membungkus makanan selepas kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan sejak pertengahan Mac lepas yang bertujuan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 di Kuala Lumpur, Malaysia, 18 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Khamis memaklumkan bahawa hampir 10 peratus dari keseluruhan jumlah 4,228 kes positif COVID-19  di negara itu melibatkan warga asing, dengan rakyat Indonesia adalah jumlah terbesar iaitu seramai 51 orang termasuk satu kematian, demikian kata Ketua Pengarah Kesihatannya.

Noor Hisham Abdullah berkata rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukan 51 wagra Indonesia, diikuti India (37), Myanmar (31), Pakistan (29) dan Filipina (27) kes positif COVID-19 dengan dua kematian masing-masing seorang rakyat Indonesia dan Pakistan.

“Dua kematian yang direkodkan adalah seorang warga Indonesia dan rakyat Pakistan,” kata Ketua Pengarah itu semasa sidang media di Putrajaya pada Khamis.

Warganegara lain yang turut didapati positif COVID-19 di Malaysia adalah dari China (25), Bangladesh (12), Kemboja (8), Thailand (7), Brunei (6), Rohingya (5), Fiji (4), Amerika Syarikat (4), Jordan (3), Australia, Jepun, Nigeria, Singapura, United Kingdom, masing-masing 2 kes manakala Mesir, Itali, Maldives, Nepal, Somalia dan Tunisia masing-masing satu kes.

Noor Hisham juga memberitahu yang kerajaan turut berkerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka dilibatkan dalam aktiviti pencegahan dan kawalan COVID-19 oleh KKM.

“KKM juga mendapat banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan juga sukarelawan dalam menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan dengan penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah,” tambah beliau lagi.

Dalam graf statistik jangkitan COVID19 yang dikeluarkan oleh KKM, turut dinyatakan bahawa terdapat lima etnik Rohingya yang berada di Malaysia telah dikesan positif virus tersebut.

Kes pulih meningkat hampir 40 peratus

Selain itu, Noor Hisham juga memaklumkan yang rekod jumlah pesakit pulih adalah seramai 121 orang pada Khamis, menjadikan jumlah kumulatif mereka yang pulih sepenuhnya adalah seramai 1,608 orang iaitu 38 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

"Ini bermakna, bilangan kes yang didiscaj hari ini juga adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan," kata beliau.

Beliau turut berkongsi dengan pemberita bahawa kadar kematian di Malaysia cuma 1.58 peratus berbanding negara lain yang rata-ratanya merekodkan jumlah kematian pada kadar 4 hingga 6 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

“Ini menunjukkan kes kematian di Malaysia adalah rendah dan perkhidmatan perubatan yang diberikan, contohnya di wad dan ICU pada tahap yang baik dan memuaskan jadi pakar-pakar kita dapat merawat pesakit dengan sebaik mungkin,” tambah beliau.

Malaysia merekodkan 67 kematian setakat ini dengan 97 peratus melibatkan warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing.

Beliau turut berkata 88 peratus pesakit COVID-19 adalah mereka yang bergejala ringan atau tiada bergejala.

“Tetapi KKM tetap asingkan mereka dan tempoh masa memakan dalam 10 hingga 14 hari dan kita ulangi ujian COVID dan mereka mesti negatif dalam tempoh 24 jam sebelum dibenarkan keluar dari hospital,” kata Noor Hisham lagi.

Walaupun banyak perkembangan positif, Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata Malaysia masih belum ‘selamat’.

“Kalau kita lihat setakat ini pada graf… kita masih dalam perjuangan dan ianya belum selesai. Yang pasti kita belum menang dan kita juga belum kalah, dan apa yang harus kita laksanakan adalah memantapkan dari segi tindakan kita – tindakan kesihatan awam dan mantapkan perkhidmatan di hospital awam contohnya di wad dan ICU untuk pesakit COVID-19,” kata beliau.

Tambah tempoh PKP

Sementara itu, Menteri Kanan kluster keselamatan, Ismail Sabri Yaakob memberitahu pemberita bahawa PKPD selama 14 hari yang dikenakan ke atas Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid di Kluang, Johor sehingga 10 April ini akan dilanjutkan ke 14 April.

"Mesyuarat juga bersetuju PKPD di Simpang Renggam, Kluang di Johor yang bermula pada  26 Mac dilanjutkan sehingga 14 April… Kita bersetuju sambung empat hari lagi untuk menyelesaikan beberapa perkara yang masih di dalam tindakan," kata Ismail pada sidang media pada Khamis di Putrajaya.

Ismail bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut apakah antara perkara yang di dalam tindakan itu yang memerlukan tambahan masa, namun ada menyebut bahawa segala keputusan mengenai tempoh PKP dan PKPD adalah dibuat berdasarkan nasihat dan laporan oleh KKM.

Di Shah Alam pula, polis Selangor dalam satu sidang media khas mengenai PKP memaklumkan bahawa tempoh PKP mungkin akan dilanjutkan lebih lama lagi, dan perkara itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

"Saya ingin memaklumkan PKP berkemungkinan akan dilanjutkan. Semua masjid dan surau akan terus ditutup semasa PKP serta tiada aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan.

"Ini termasuk solat Tarawih apabila menjelangnya Ramadan. Bagaimanapun pengumuman rasmi akan dibuat oleh Perdana Menteri, mungkin dijangka esok," kata jurucakap khas polis Selangor, Mohd Ismail Muslim.

Dalam pada itu, Akademi Perubatan Malaysia meminta kerajaan memanjangkan tempoh PKP sehingga selepas Hari Raya Aidil Fitri pada Mei.

“Atas sebab kesihatan bersama, larangan pergerakan dalaman juga perlu diteruskan sehingga selepas Hari Raya Aidil Fitri yang dijangka jatuh pada 24 Mei. Sambutan lain seperti Hari Gawai dan Festival Menuai juga harus menyusul.

“Ramai mahu pulang untuk bersama keluarga tersayang ketika Ramadan dan Hari Raya tetapi perlu diingat bahawa perkara yang berlaku sekarang adalah diluar jangkaan. Pandemik COVID-19 telah menjadikan bahawa perlunya ada penjarakkan sosial sehingga situasi dapat dikawal,” kata akademik itu dalam satu kenyataan.

PKP yang dikuatkuasakan sejak18 Mac pada mulanya dirancang hanya untuk tempoh 14 hari sebelum Muhyiddin mengumumkan bahawa perintah itu perlu dilanjutkan hingga 14 April bagi memastikan usaha kerajaan membendung virus COVID-19 berjaya.

Namun, menjelang berakhirnya tempoh lanjutan, terdapat gesaan beberapa pihak termasuk kumpulan profesional perubatan yang mengatakan bahawa PKP perlu diteruskan lagi dan kini rakyat sedang menunggu sama ada pentadbiran Putrajaya akan melanjutkannya untuk kali ketiga.

Tiada berbuka dan Tarawih

Di Selangor pula, Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan telah membuat keputusan untuk tidak mengadakan sebarang majlis berbuka puasa serta solat Tarawih bersama rakyat sepanjang Ramadan yang akan datang.

"Sultan Selangor dengan berat hati telah memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berbuka puasa dan solat Tarawih bersama rakyat di masjid-masjid seluruh negeri Selangor," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah yang ditandatangani setiausaha sulit baginda, Mohamad Munir Bani di Shah Alam.

Kenyataan itu juga memaklumkan Sultan Sharafuddin membuat keputusan berkenaan setelah mengambil kira situasi penularan COVID-19 yang masih belum selesai dan bagi mengelakkan risiko jangkitan kepada rakyat.

"Bagaimanapun, sumbangan duit raya dan agihan zakat kepada asnaf serta golongan yang memerlukan akan diteruskan, cuma ia tidak akan disampaikan pada majlis berbuka puasa seperti tahun sebelum ini," kata kenyataan tersebut.

Sehingga kini tujuh negeri turut memaklumkan bahawa bazar Ramadan di negeri-negeri berkenaan telah dibatalkan dan antara negerinya ialah Kedah, Terengganu, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.