Persatuan Wanita Mahu Umur Minimum 18 Tahun Bagi Perkahwinan di Malaysia

Zam Yusa
2018.06.22
Kuala Lumpur, Malaysia
180622-MY-childmarriage-620.jpg Pasangan pengantin bergambar di sebuah reruai foto pada majlis perkahwinan beramai-ramai sempena Hari Valentine di Klang, di pinggir Kuala Lumpur, Malaysia, 14 Februari 2014.
(AP)

Dua kumpulan hak asasi wanita mendesak kerajaan Malaysia yang baru supaya menunaikan janjinya untuk mengisytiharkan 18 tahun sebagai umur yang sah untuk berkahwin serta mengharamkan perkahwinan kanak-kanak kerana ia melanggar hak asasi manusia.

Dalam manifesto pilihan rayanya, Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk memperkenalkan undang-undang yang mensyaratkan rakyat supaya berumur sekurang-kurangnya 18 tahun untuk berkahwin. Malaysia mempunyai sistem perundangan sivil dan sistem perundangan Islam (Syariah) yang berasingan, dengan ulama Islam berpendapat seseorang perempuan boleh berkahwin apabila sudah mencapai usia akil baligh.

Sisters in Islam (SIS) dan Pusat Sumber dan Penyelidikan Asia Pasifik untuk Wanita (Arrow) dalam laporan mereka bertajuk "Perkahwinan Kanak-kanak: Hubungannya dengan Agama, Kebudayaan dan Patriarki, Laporan Nasional mengenai Malaysia," berkata konservatisme agama, kepercayaan patriarki dan alasan bagi perbuatan seksual adalah penggerak utama bagi perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.

Laporan itu memetik statistik kerajaan pada 2010 yang menunjukkan 153,000 orang berusia bawah 19 tahun telah berkahwin. Daripada jumlah itu, seramai 80,000 orang adalah perempuan dan kebanyakannya berasal dari kalangan masyarakat Melayu Islam.

Laporan itu juga menyatakan perkahwinan kanak-kanak yang paling banyak berlaku di negeri Borneo, Sarawak, yang mencatatkan 1,745 kes diikuti negeri selatan, Johor, dengan 999 kes dan Selangor dengan 687 kes berdasarkan data daripada Kementerian Dalam Negeri bagi tempoh 2000 hingga 2014.

"Penyelesaiannya adalah larangan sepenuhnya bagi perkahwinan kanak-kanak menerusi pembaharuan perundangan. Umur minimum perkahwinan mesti ditingkatkan kepada 18 tahun bagi kedua-dua jantina, tanpa mengira kepercayaan dan etnik, tanpa sebarang pengecualian," kata Rozana Isa, pengarah eksekutif SIS.

Beliau berkata pembaharuan itu mestilah merangkumi kempen-kempen kesedaran dan pendidikan awam yang menunjukkan kerosakan sosial dan ekonomi yang tidak boleh diperbaiki akibat daripada perkahwinan kanak-kanak.

Rozana berkata demikian sebagai persediaan untuk menghadiri Mesyuarat Global Kedua mengenai Kanak-kanak Perempuan Bukan Pengantin yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Isnin di Kuala Lumpur. Organisasi itu menjelaskan ia adalah sebuah perkongsian global merangkumi lebih daripada 900 organisasi masyarakat sivil yang komited untuk menamatkan perkahwinan kanak-kanak perempuan bagi membolehkan mereka memenuhi potensi diri masing-masing.

Undang-undang Islam


Menurut Human Rights Watch, badan bukan kerajaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, juga menuntut larangan perkahwinan terhadap kanak-kanak dilaksanakan di Malaysia, undang-undang sivil negara itu menetapkan 18 tahun sebagai umur minimum untuk berkahwin, tetapi sistem Syariahnya mempunyai syarat usia yang lebih muda untuk perempuan.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menetapkan umur sah bagi perkahwinan ialah 16 tahun untuk perempuan dan 18 tahun bagi lelaki, yang membenarkan pengecualian dengan kebenaran Syariah.

Pada 2014, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak menggalakkan amalan sedemikian tetapi tidak pula menolaknya secara jelas atau melabelnya sebagai dilarang. Ia mengisytiharkan bahawa perkahwinan kanak-kanak bukanlah suatu amalan yang sihat.

Dalam satu persidangan Parlimen pada 2017, Ahli Parlimen Barisan Nasional, Shabudin Yahaya, mencetuskan kekocahan apabila beliau berkata kanak-kanak berusia 9 tahun sudah bersedia dari segi "fizikal dan rohani" untuk berkahwin.

Bekas hakim Mahkamah Syariah itu juga menyatakan bahawa tidak ada salahnya bagi mangsa pemerkosaan (bawah umur) untuk mengahwini lelaki yang memperkosanya kerana ia boleh berperanan sebagai penyelesai kepada masalah sosial yang kian meningkat.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan tentang Kesalahan Seksual dalam Rang Undang-undang Kanak-kanak 2017 selepas beberapa Ahli Parlimen mencadangkan ia dipinda bagi memasukkan perkara mengenai perkahwinan kanak-kanak. Cadangan mereka ditolak oleh majoriti Ahli Parlimen.

Pada Mei lalu, Barisan Nasional, yang menerajui Malaysia sejak merdeka, tewas dalam pilihan raya umum dan kehilangan kuasa memerintah kepada pakatan pembangkang, Pakatan Harapan.

Sementara itu, seorang mufti negeri Sabah berkata, perbincangan perlu diadakan dengan memberi tumpuan kepada gesaan supaya menaikkan umur sah untuk berkahwin kepada 18 tahun dan bukan tentang perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak.

"Sesetengah komuniti, termasuk di Eropah, sedang membahaskan untuk menurunkan umur sah berkahwin kepada 16 tahun. Jadi, mengapa kita harus menetapkannya pada usia 18 tahun? Atas alasan apakah yang usia 18 tahun dan ke atas sudah bersedia untuk berkahwin?" kata Bungsu Aziz Jaafar kepada BeritaBenar.

Beliau berkata, mekanisme mahkamah Syariah sekarang adalah mencukupi untuk memastikan perkahwinan yang melibatkan mereka yang berusia di bawah 18 tahun tidak mendatangkan kemudaratan.

Beliau menjelaskan bahawa seseorang hakim Syariah akan mempertimbangkan kematangan pengantin perempuan atau pengantin lelaki serta sokongan keluarga dan pendidikan agama mereka sebelum  meluluskan permohonan perkahwinan itu.

"Saya tidak bersetuju usia perkahwinan yang sah mesti ditetapkan. Ia semua bergantung kepada keadaan dan apa yang diperuntukkan dalam Islam adalah mencukupi bagi menangani perkara ini, "katanya.

Masalah yang saling berkaitan


Namun, pendapatnya tidak dipersetujui oleh Ahli Psikologi dari Universiti Sains Malaysia Geshina Ayu Mat Saad.

"Ia hanyalah suatu langkah mudah untuk menggunakan kuasa ibu bapa bagi memberikan kebenaran berkahwin dan mengharapkan anak menjadi dewasa yang sudah berkahwin dalam masa semalaman," katanya sambil memberitahu bahawa pelbagai masalah saling berkait dengan perkahwinan seperti itu.

"Keadaan fisiologi dan kesihatan, terutama jika kedua-dua pihak adalah di bawah umur, persiapan dan kematangan psikologi, persekitaran sosial, pertumbuhan pendidikan dan kestabilan kewangan seseorang adalah saling berkaitan. Masalah-masalah ini dihadapi dalam pelbagai peringkat oleh isteri  atau suami kanak-kanak," katanya.

Seorang lelaki berusia 34 tahun, yang tidak mahu dikenali, pula bercakap dengan memihak kepada pengantin kanak-kanak. Lelaki itu menceritakan tentang dirinya yang berkahwin dengan remaja berusia 13 tahun pada 2005 ketika dia berusia 21 tahun.

Watak baik seorang suami adalah penentu kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah perkahwinan tanpa mengira usia isterinya, beliau mencadangkan.

"Suami haruslah memenuhi keperluan isterinya, menjadi suami yang baik dan penyayang, membimbing isterinya untuk mengamalkan nilai-nilai keagamaan dan nilai-nilai yang baik, serta melayaninya dengan rasa hormat. Insya-Allah, semuanya akan baik-baik sahaja," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.