Parlimen Malaysia kecoh Speaker tolak bahas isu sita aset Petronas di Azerbaijan
2022.07.18
Kuala Lumpur

Kekecohan tercetus pada hari pertama persidangan Parlimen Malaysia untuk sesi yang baharu pada Isnin apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat enggan membenarkan satu usul tergempar dari pihak pembangkang untuk membincangkan isu dua aset syarikat petroleum negara Petronas yang disita pihak berkuasa Azerbaijan baru-baru ini.
Isu berkenaan berkaitan dengan satu penghakiman yang dibuat oleh sebuah mahkamah Perancis pada Februari lalu di mana menurut laporan agensi berita antarabangsa Reuters, mahkamah berkenaan telah mengarahkan Malaysia membayar hampir AS$15 bilion kepada waris Kesultanan Sulu sebagai pampasan untuk menyelesaikan pertikaian tanah membabitkan satu perjanjian lama pada tahun 1878.
Semasa sesi sidang Dewan Rakyat pada Isnin, kekecohan tercetus apabila Ahli Parlimen Kota Belut, Isnaraissah Munirah Majilis mahu usul tergempar mengenai isu aset Petronas di Azerbaijan diberikan keutamaan, tetapi telah dihalang oleh Yang di-Pertua Azhar Azizan Harun atas alasan isu tersebut berada di mahkamah dan tidak boleh dibawa untuk perdebatan.
"Tuan speaker, buat kali ke-tiga tuan speaker menolak usul yang saya bawa ini tentang tuntutan Sulu. Saya cukup hairan. Saya mahu tanya dengan kerajaan persekutuan sampai tahap apa yang kamu mahu bagi membolehkan bahas ini dibolehkan dan dibahaskan di dalam Dewan ini?
"Ini soal kedaulatan negara. Bukan soal remeh temeh. Hendak tunggu sehingga hilang Sabah?" persoal Isnaraissah kepada Azhar.
Pada 12 Julai, agensi berita Financial Times melaporkan bahawa dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan, yang dikatakan bernilai AS$2 bilion, telah dirampas oleh bailif mahkamah yang menguatkuasakan satu perintah mahkamah Perancis berkaitan tuntutan waris Kesultanan Sulu.
Menurut laporan itu, waris Kesultanan Sulu telah memulakan proses timbang tara di Mahkamah Arbitrasi di Perancis sebagai tindak balas terhadap tindakan Malaysia yang berhenti membayar pajakan tahunan sebanyak RM5,300 (AS$1,190) sejak tahun 2013, dengan Putrajaya tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara yang berlangsung itu.
Petronas dalam satu kenyatan media pada hari yang sama mengesahkan berita berkenaan dengan menyatakan bahawa aset kedua-dua anak syarikat berkenaan bagaimanapun telah dilupuskan sebelum tindakan tersebut dan hasilnya telah dibawa pulang ke Malaysia.
"Petronas melihat tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan haknya di sisi undang-undang dalam isu ini," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat petroleum negara berkenaan.
Tindakan Malaysia yang gagal menghantar representasi awal berikutan keputusan mahkamah pada Februari lalu turut disoal Isnaraissah.
Ahli Parlimen pembangkang yang lain turut mengasak Azhar sehingga beliau beberapa kali dilihat terpaksa mematikan mikrofon dalam usaha meredakan keadaan tetapi tidak berjaya.
Ini termasuk Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh yang menuduh Azhar sebagai mempunyai konflik kepentingan dalam menghalang usul berkenaan kerana abang Azhar, Idrus Harun, adalah Peguam Negara yang terbabit dalam mengendalikan isu tuntutan Sulu.
Azhar bagaimanapun menafikannya.
Timbalan speaker Rashid Hasnon, yang menggantikan Azhar selepas itu mengarahkan Isnaraissah supaya keluar dari Dewan dan tidak membenarkannya menyertai persidangan selama dua hari.
Rashid kemudian menarik semula arahan tersebut berikutan desakan Ahli Parlimen pembangkang lain dan meminta supaya Isnaraissah membuat rayuan bertulis kepada Dewan Rakyat untuk memasukkan usulnya ke dalam perbincangan.
Di dalam sidang media selepas itu, Isnaraissah berkata bahawa beliau akan membuat rayuan kepada Dewan Rakyat dan mengemukakan usul kali keempat mengenai isu tuntutan Kesultanan Sulu.
"Kita mahu lihat kesungguhan kerajaan untuk membahas mengenai usul ini bagi menjaga kedaulatan negara...kita selesaikan perkara ini sekali terus untuk semua," katanya.
Pasukan khas
Susulan daripada rampasan aset Petronas itu, kerajaan Malaysia telah menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti dan merancang tindakan undang-undang dalam menangani isu tuntutan Kesultanan Sulu.
Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 13 Julai berkata bahawa Mahkamah Rayuan Paris telah membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan 'Final Award' oleh penimbang tara Gonzalo Stampa.
Katanya, Malaysia juga tidak pernah mengiktiraf tuntutan oleh Kesultanan Sulu dan tidak pernah mengenepikan kedaulatannya.
"Kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022 tersebut, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh kerajaan Malaysia," kata Wan Junaidi dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, menurut laporan Reuters, peguam yang mewakili waris Kesultanan Sulu mendakwa bahawa perintah dikeluarkan Stampa pada bulan Februari itu masih boleh dikuatkuasakan di luar Perancis melalui Konvensyen New York, satu perjanjian mengenai arbitrasi antarabangsa yang diperakui 170 negara.
Peguam Paul Cohen dilaporkan berkata bahawa perintah penggantungan yang memberikan kelegaan kepada kerajaan Malaysia itu hanya menunda penguatkuasaan buat sementara waktu di sebuah negara sahaja, iaitu Perancis.
"(Perintah itu) tidak terpakai kepada 169 negara lagi."
Perkara serupa turut dinyatakan seorang pengamal undang-undang Malaysia, Mariam Ramli, seorang yang berpengalaman dalam isu perundangan mengenai kontrak dan korporat.
Menurut beliau, Malaysia telah bersetuju kepada syarat untuk meneruskan bayaran pajakan kepada Kesultanan Sulu ketika ia menerima Sabah pada 1963.
"Ia adalah satu kesilapan di pihak Malaysia apabila menghentikan pembayaran pada 2013, kerana ia adalah satu pelanggaran kontrak. Dan apabila ini berlaku, waris Sultan Sulu membawa perkara untuk arbitrasi, tetapi Malaysia tidak menghadirinya.
"Dan perintah yang dibuat oleh mahkamah Perancis itu adalah sah," kata Mariam kepada BenarNews.