Malaysia Buat Rombakan Kontinjen Polis Perangi Rasuah Dan Salahguna Kuasa

N. Natha
2017.05.24
Kuala Lumpur
170524-my-police620.jpg Pegawai Polis berpangkat tinggi memberi tabik hormat sambil menyanyikan Lagu Kebangsaan semasa perarakan meraikan Ulang Tahun Ke-200 Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur, 25 Mac 2007.
AFP

Malaysia mengambil langkah untuk membuat rombakan besar-besarannya terhadap Kontijen Polis Negeri Melaka selepas puluhan pegawai dan anggota PDRM ditahan serta dipindahkan atas dakwaan terlibat dalam rasuah, salahguna kuasa termasuk melindungi sindiket dadah, pusat judi haram dan rumah urut, kata Ketua Polis Negara pada Rabu.

Khalid Abu Bakar berkata rombakan pertama melibatkan kontinjen itu adalah dengan pertukaran seramai 15 pegawai susulan penahanan sembilan anggota Polis DiRaja Malaysia [PDRM] dari negeri itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] yang bermula minggu ini.

"Rombakan pertama sudah pun di buat dengan mengeluarkan arahan pertukaran beberapa pegawai di Melaka dan saya sendiri akan pergi ke Melaka pada Jumaat ini untuk bertemu dengan mereka.

"Setakat ini, kita sudah ambil tindakan terhadap lebih 20 individu yang melakukan perbuatan salah, berhubung dakwaan rasuah dalam melindungi aktiviti pusat judi dan rumah urut, ” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu sambil menjanjikan lebih banyak lagi rombakan akan dilakukan.

Sehingga Rabu, tiga belas individu ditahan dalam operasi besar-besaran oleh SPRM atas dakwaan melindungi operasi pusat urut dan judi haram di Melaka. Empat daripadanya termasuk orang awam.

Penangkapan terbaru dilakukan pada tengahari Rabu dimana Ketua Siasatan Jenayah Daerah Alor Gajah ditahan oleh suruhanjaya itu, menjadikan beliau ketua siasatan jenayah yang kedua di negeri itu ditahan untuk membantu siasatan rasuah.

Penangkapan terbaru itu berlaku selepas suruhanjaya menahan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah dan Jasin serta Ketua Siasatan Jenayah Melaka Tengah.

Pada 15 Mei lalu, polis Malaysia juga telah mengumumkan akan merombak kontinjen tersebut secara besar-besaran berikutan siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di  Bukit Aman dan penangkapan 16 anggota yang dipercayai melindungi sindiket dadah.

Kesemua anggotanya ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kita telah menahan beberapa orang pegawai kanan dan juga anggota PDRM kerana penglibatan mereka dalam membocorkan maklumat ataupun operasi dan sebagainya dan kita rasakan kita tidak boleh membiarkan keadaan itu berlarutan.

"Setakat ini, kita telah tahan mereka di bawah SOSMA dan mereka akan ditahan selama 28 hari. Jika tidak salah, kita akan kemukakan laporan siasatan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya,” kata Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim dalam laporan media tempatan.

RM800,000 di rumah koperal

Dalam satu kes tangkapan di Melaka, suruhanjaya itu berjaya merampas sejumlah wang tunai serta mendapati sebanyak RM1.44 juta dalam akaun bank.

Daripada jumlah itu, RM800,000 dirampas dari sebuah bilik stor rumah milik seorang korporal polis sementara RM79,000 lagi dari rumah ketua polis daerah Melaka Tengah.

Tambah Khalid, tindakan penukaran itu adalah langkah untuk mencegah rasuah dan salah guna kuasa di kalangan pegawai dan anggota PDRM.

“Polis menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang giat mengambil langkah bagi mengesan dan mengenakan tindakan terhadap pegawai serta anggota PDRM yang melakukan perbuatan sama.

"Kita mohon agar warga PDRM dan orang ramai tampil melaporkan sekiranya berlaku rasuah dan salahguna kuasa kerana JIPS sentiasa membuka ruang menerusi pelbagai cara termasuk menyembunyikan maklumat peribadi pengadu.

“Anda boleh lakukannya tanpa beri nama. Anda boleh buat panggilan telefon, hantar emel,  malah boleh datang jumpa kami sendiri,” tambah Ketua Polis Negara itu.

Kutip duit untuk pegawai atasan

Sementara itu. Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri pada Ahad lalu memberitahu amalan mengutip “duit pau” atau habuan untuk pelindungan di kalangan agensi penguatkuasaan telah lama berlaku termasuk mencari pendapatan sampingan untuk pihak polis atasan.

"Ini alasan tidak cerdik kerana bercanggah dengan pendirian anggota penguat kuasa yang diberi amanah untuk memikul tanggungjawab melindungi negara dan masyarakat.

"Tindakan pegawai atasan membuli anggota bawahan juga perlu dihentikan kerana amalan ini menjurus kepada pelakuan menghalalkan rasuah di  kalangan unit beruniform.

"Zaman untuk dapat rezeki tidak halal dan tanpa modal sudah lama berlalu, justeru tinggalkan amalan ini,” katanya dalam laporan Berita Harian pada Ahad sambil mengarahkan polis menyiasat dakwaan tersebut.

Namun, Khalid dalam sidang media yang sama berkata perkara itu sepatutnya perkaran ini tidak berlaku kerana hanya untuk melayan kehendak pegawai atasan.

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Ini bukan budaya kita. Tetapi jika orang negeri lain datang melawat, biasalah kalau kita melayan dan menjamu mereka tetapi ini bukan jamuan mewah,” kata Khalid sambil menasihati anggota polis yang mempunyai maklumat tersebut membuat laporan kepada JIPS.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.