Skandal Kapal Selam: Perancis Siasat Kenalan Rapat Najib
2017.08.02
Kuala Lumpur

Kenalan rapat Perdana Menteri Malaysia Najib Razak sedang disiasat secara rasmi di Perancis sebagai sebahagian daripada penyiasatan terhadap dakwaan rasuah berhubung penjualan kapal selam penuh kontroversi pada 2002, demikian menurut satu laporan pada Rabu.
Abdul Razak Baginda, yang merupakan penasihat Najib semasa beliau berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan antara 2000 dan 2008, sedang disiasat berhubung penjualan dua kapal selam kelas Scorpene yang bernilai hampir 1 bilion Euro (AS$1.18 bilion) oleh syarikat pengeluar kapal perang yang dikawal selia Perancis, DCN International, kepada kerajaan Malaysia, lapor agensi berita Reuters.
Laporan itu tidak menyatakan bila Abdul Razak disiasat tetapi Agence France-Presse (AFP), yang memetik sumber kehakiman, melaporkan sehari sebelum itu bahawa Abdul Razak didakwa pada 18 Julai dengan "penglibatan aktif dan pasif dalam rasuah" serta "penyelewengan asset-aset korporat."
Pada Rabu, pejabat Abdul Razak di Kuala Lumpur mengeluarkan satu kenyataan bagi menyurakan rasa kesalnya terhadap apa yang disifatkan sebagai laporan berita “mengelirukan" mengenai isu itu, sambil mengeaskan bahawa "fakta yang betul mengenai perkara berkenaan tidak dilaporkan."
Abdul Razak "tidak dituduh di mana-mana mahkamah undang-undang di Perancis," kata kenyataan itu.
Reuters melaporkan bahawa dua eksekutif industri pertahanan Perancis juga disiasat bulan lepas sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung pemberian wang sogokan dalam perjanjian penbelian kapal selam itu.
Di Perancis, seseorang disiasat secara rasmi apabila terdapatnya bukti yang serius atau konsisten yang menunjukkan kemungkinan adanya penglibatan suspek dalam perbuatan jenayah. Ia tidak semestinya membawa kepada perbicaraan di mahkamah.
Pejabat Abdul Razak berkata, siasatan pihak berkuasa Perancis itu "dialu-alukan" kerana beliau "tidak melakukan apa-apa jenayah rasuah atau melanggar mana-mana undang-undang dalam perkara itu."
Siasatan Perancis terhadap penjualan kapal selam itu bermula pada 2010 selepas kumpulan hak asasi manusia Malaysia, Suaram, mendakwa bahawa perjanjian itu telah membawa kepada pemberian komisyen berjumlah AS$130 juta yang dibayar kepada syarikat yang dikaitkan dengan Najib.
Kerajaan Malaysia telah menafikan kesemua tuduhan rasuah mengenai penjualan kapal selam tersebut.
Penjualan kapal selam itu menjadi tumpuan di Malaysia susulan kes pembunuhan teman wanita Abdul Razak pada 2006 iaitu Altantuya Shaariibuu, seorang wanita Mongolia yang didakwa mahu menuntut sejumlah wang hasil tugasnya sebagai penterjemah bahasa dalam perjanjian berkenaan. Dia ditembak mati dan tubuhnya diletupkan mengguna bahan letupan berhampiran ibu negara Kuala Lumpur.
Abdul Razak dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan itu, di mana dua daripada pengawal peribadi Najib telah didapati bersalah.