Perdana Menteri Bentang Pelan Induk Ekonomi Lima Tahun RMKe12
2021.09.27
Kuala Lumpur

Perdana Menteri Malaysia pada Isnin membentangkan pelan induk ekonomi lima tahun, yang menyaksikan perbelanjaan besar pembangunan infrastruktur sebanyak 54 peratus bagi merangsang semula ekonomi yang terjejas dengan teruk akibat pandemik koronavirus.
Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) yang bermula dari 2021 hingga 2025 dengan pembentangannya tertangguh lebih setahun akibat penularan pandemik, berlangsung dalam keadaan yang mencabar dengan defisit fiskal negara melebar kepada 6.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala hutang statutori kerajaan Persekutuan berada pada tahap 57.9 peratus kepada KDNK.
Sehubungan itu menurut Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia ke-9 Malaysia, fokus pertama kerajaan adalah untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu, dengan melonjakkan pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi.
"RMKe12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.
"Pengunjuran ekonomi akan kembali pulih menjelang 2023, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun lalu, dan RMKe12 akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah mewujudkan peluang pekerjaan serta polisi-polisi yang mesra pelabur," katanya ketika membentangkan pelan induk itu yang bertemakan “Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif dan Mampan” di Dewan Rakyat.
Mempunyai 14 pemacu perubahan, Perdana Menteri itu berkata RMKe12 juga mengandungi pelan-pelan yang tidak tertumpu kepada penambahan pendapatan negara sahaja tetapi turut memberi keutamaan kepada kemaslahatan rakyat.
“Pembaharuan ini adalah untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, dalam memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” jelasnya.
Dengan jangkaan kedudukan kewangan kerajaan akan bertambah baik pada 2023, iaitu apabila ekonomi semakin kukuh, Ismail Sabri berkata,"Kerajaan akan memperuntukkan 400 bilion ringgit (AS$95.5 bilion) untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMKe12.”
“Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional akan dijadikan kerangka utama bagi menarik pelaburan berkualiti… insentif sedia ada akan disemak semula untuk memberi fokus kepada pelaburan yang berasaskan teknologi termaju dan memenuhi aspek kelestarian alam sekitar.
“…saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengurangkan karenah birokrasi, menyediakan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya harap, memperkukuh ekosistem bagi menyokong pelaburan swasta dan membangunkan tenaga kerja mahir," tambah Perdana Menteri itu lagi.
RMKe12 yang dijangka akan diundi di Parlimen pada awal Oktober juga merupakan ujian pertama bagi perjanjian kerjasama dwipartisan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri itu dan gabungan parti pembangkang utama baru-baru ini.
Ismail Sabri turut mengulangi komitmen untuk memastikan pindaan perlembagaan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan remaja berumur 18 tahun (Undi18) dapat mengundi dalam proses pilihan raya.
Rapatkan jurang
Perdana Menteri itu turut menyatakan komitmen untuk mendokong pelaksanaan Pelan Anti-rasuah Nasional dan Pelan Anti-rasuah Organisasi untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas rasuah, selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Dengan ini, saya memberi jaminan bahawa semua strategi dan inisiatif di bawah RMKe12 ini akan dilaksanakan secara tersusun dengan penuh integriti dan bertanggungjawab. Indeks Tadbir urus Malaysia akan diperkenalkan bagi mengukur prestasi tadbir urus jentera kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya lagi.
Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penubuhan unit khusus di peringkat persekutuan dan pejabat daerah bagi membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2025, selain pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik untuk golongan miskin dan pertengahan, dengan tumpuan akan diberikan kepada agenda pemerkasaan kaum Bumiputera, masyarakat Orang Asli dan golongan sasar di kalangan kaum Cina dan India.
Bagi mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, katanya, beliau telah mengusulkan 50 peratus peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan diagihkan kepada enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.
“Pembangunan Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam RMKe12. Penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.
“Peruntukan ini ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi. Saya sendiri akan memantau pelaksanaannya secara dekat,” tambahnya lagi.
Semasa pembentangan tersebut, Ismail Sabri turut mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkaitan pertahanan dan keselamatan
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion di bawah RMKe12 adalah jumlah terbesar pernah diusulkan oleh kerajaan, berbanding peruntukan RM260 bilion (US$62 bilion) di bawah RMKe11.
“Justeru, dari segi peruntukan (yang diusulkan, jumlahnya) memang besar. Kebanyakkan daripada jumlah itu akan digunakan untuk (perbelanjaan) projek-projek sambungan,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Kestabilan politik
Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi memberitahu BenarNews RMKe12 bermatlamat untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang negara selain cuba melakukan reformasi sistem bagi tadbir urus yang lebih baik, integriti dan ketirisan dapat dikurangkan.
“Dari segi politik RMKe12 dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan orang Melayu terhadap kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang mampu mempertahankan hak kepentingan bumiputera sejajar dengan perlembagaan negara.
“Selain itu RMKe12 ini juga dilihat dapat memastikan undi Melayu/bumiputera berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional terutamanya pada Pilihan Raya Umum akan datang, ” kata Awang Azman.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpandangan Ismail Sabri tidak akan berdepan masalah besar untuk mendapat sokongan bagi meluluskan usul RMKe12 di Dewan Rakyat.
“Komitmen beliau untuk melaksanakan Undi18 dan agenda transformasi kerajaan seperti yang dipersetujui dengan pihak Pakatan Harapan adalah kunci kepada usaha mewujudkan kestabilan politik.
“Saya tidak nampak setakat ini PM akan berdepan masalah untuk usul RMKe12 diluluskan di Parlimen dan sekiranya beliau melaksanakan semua agenda transformasi yang diperjuangkan oleh Pakatan sebelum ini, ia akan memberi kelebihan kepada beliau,” katanya kepada BenarNews.