Pilihan Raya Negeri Sarawak 7 Mei Depan

Dennis Wong
2016.04.14
Kuching, Sarawak
160414-my-sarawak-620 Bekas Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud (kanan) menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada bekas Gabenor Negeri, Abang Muhammad Salahuddin di Kuching, Sarawak, 12 Februari 2014.
AFP

Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bakal diadakan akan menjadi satu ujian kepada kerajaan campuran Barisan Nasional yang telah menguasai politik tempatan selama 53 tahun, kata penganalisa.

Walaupun skandal kewangan membelenggui kerajaan Perdana Menteri Najib Razak sehingga membawa kepada gesaan secara meluas supaya beliau meletakan jawatannya di Semenanjung Malaysia, beberapa penganalisa politik menimbulkan keraguan bahawa urusan 1MDB boleh menyengetkan imbangan kuasa di negeri Malaysia Timur ini ke arah pembangkang pada hari mengundi pada 7 Mei ini.

"Isu utama bagi mereka di kawasan pendalaman ialah berkaitan pemerintahan tertinggi. Semua isu mengenai 1MDB, skandal Najib dan tadbir urus yang bersih masih terlalu jauh bagi mereka untuk mencerna, melainkan jika pembangkang telah memainkan peranan mereka untuk mempengaruhi pengundi luar bandar," Jeniri Amir, seorang profesor di Universiti Malaysia Sarawak, memberitahu BeritaBenar.

Beliau merujuk kepada dakwaan rasuah dan salah urus berbilion-bilion dolar yang dikaitkan dengan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada hari Khamis Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang bakal diadakan dengan 1.3 juta pengundi berdaftar akan mengundi di Sarawak.

Suruhanjaya itu juga menetapkan 25 April sebagai tarikh penamaan calon bagi 82 kerusi Dewan Undangan Negeri,  yang telah dibubarkan pada 11 April.

Menurut Mohd Faisal Syam Abdol Hazis, seorang profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia, pembangkang di Sarawak akan cuba untuk mengeksploitasi 1MDB dan beberapa "isu bandar," yang lain, tetapi mungkin tidak dapat pergi jauh untuk mempengaruhi pengundi di negeri itu, yang sebahagian besarnya bertaburan di kawasan luar bandar benua Borneo.

"Kemarahan yang wujud tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk undi pada akhir hari," Mohd Faisal Syam memberitahu BeritaBenar.

Pilihan Raya negeri Sarawak juga dilihat sebagai ujian politik parti pemerintah Malaysia dan pembangkang kerana ia merupakan antara dua negeri, selain Sabah yang mengadakan pilihan raya dewan undangan secara berasingan.

Pengundian itu, dalam erti kata lain, boleh memberi tanda tentang apa yang mungkin berlaku pada Pilihan Raya Umum akan datang, yang dijangka diadakan pada pertengahan 2018, beberapa pemerhati berkata.

‘ahli politik popular’

Salah satu daripada nama yang akan muncul dalam skala yang besar pada Pilihan Raya di Bumi Kenyalang bulan depan, ialah Ketua Menteri Adenan Satem, Presiden Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB) - parti politik terbesar di Sarawak dan juga rakan gabungan dalam kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negara. Di peringkat tempatan, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) adalah sekutu PBB dalam ketetapan gabungan Barisan Nasional negeri.

BN telah memerintah Sarawak sejak ianya mula menyertai Malaysia pada tahun 1963.

Adenan adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat. Sejak mengambil alih jawatan pada tahun 2014, beliau telah menjadi tajuk utama dalam memerangi isu pembalakan haram dan rasuah di negeri yang kaya dengan balak.

Beliau menggantikan Abdul Taib Mahmud, yang berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama 23 tahun, yang kini memegang jawatan Gabenor negeri itu.

Menurut peraturan Pilihan Raya, Gabenor melantik ketua menteri, pemimpin parti yang memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan.

"Adenan sangat disayangi oleh ramai. Keupayaannya untuk mendekati orang ramai dan dasar mesra rakyat beliau menjadikan beliau begitu disenangi. Dia juga telah memisahkan negeri itu daripada isu-isu sensitif dan dasar seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan mengatakan ia tiada kaitan dengan Sarawak, " kata Jeniri.

Beliau merujuk kepada kadar cukai GST sebanyak 6 peratus, yang telah diperkenalkan oleh kerajaan persekutuan tahun lalu yang kekal tidak popular kerana kesan inflasi yang dilihat pada harga barang.

Pemerhati lain, bagaimanapun, meramalkan bahawa Adenan mungkin akan kehilangan beberapa undi kerana hal berkaitan 1MDB.

"Kajian menunjukkan dasar GST itu telah menyakitkan masyarakat bandar dan luar bandar. Semua orang merasakan keperitan ekonomi. Walaupun dengan populariti Adenan, semua orang tahu dia tidak boleh bertanding di semua 82 kerusi, melainkan sebaliknya jika calon dapat meyakinkan pengundi," kata Mohd Faisal Syam.

‘Lawatan pembangkang ditegah’

Adenan, yang juga bekas menteri kabinet kerajaan persekutuan, juga telah memainkan peranan penting dalam membantu Barisan Nasional mengekalkan cengkaman ke atas Sarawak dengan mengharamkan pemimpin pembangkang dan aktivis dari negeri lain di Malaysia daripada memasuki negeri itu menjelang Pilihan Raya.

Pada hari Selasa, Adenan memberitahu media tempatan bahawa sekatan itu diperlukan "untuk melindungi kepentingan Sarawak dari unsur tidak baik."

"Politik atau tidak, ia adalah tugas saya sebagai ketua menteri. Tetapi mereka mempunyai kebebasan untuk datang ke Sarawak bila-bila masa - selepas pilihan raya, "katanya.

Sarawak mempunyai autonomi tertentu di dalam hal ehwal pentadbiran, imigresen dan badan kehakiman dari Malaysia Barat termasuk mengawal kemasukan dan kediaman kepada mereka yang bukan rakyat Sarawak.

Tiga puluh orang, kebanyakannya pemimpin pembangkang, telah disekat daripada menjejakkan kaki di negeri itu manakala menteri persekutuan dari BN bebas bergerak di negeri berkenaan.

Seorang pegawai daripada parti pembangkang yang mewakili pelbagai kaum, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Abdul Aziz Isa, mengkritik larangan perjalanan negeri yang dikenakan oleh Adenan dengan menggelarkannya sebagai "Pharaonic” (seperti Firaun.)

"Adenan memainkan isu perkauman melalui kedaerahan. Jika dia percaya 84 peratus sokongan dari Sarawak, maka mengapa dia perlu takut kepada pemimpin pembangkang Malaysia Barat yang datang ke negeri ini?" menurut Abdul Aziz yang menyuarakan pendapatnya kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.