Polis Malaysia Soal Wartawan Berkaitan Laporan, Selasa Ini

Dennis Wong
2016.04.25
Kuching, Sarawak
160425-my-sarawak620 Suku kaum Penan, Ara Potong melihat keluar tingkap dari rumahnya di kampung Data Bila, terletak di pedalaman Miri di Ulu Baram, timur negeri Sarawak, 12 Disember 2007.
AFP

Polis Malaysia akan menyoal seorang wartawan sebuah portal berita berhubung satu laporan yang didakwa boleh mengganggu ketenteraman awam di Sarawak, yang bakal mengadakan pilihan raya negeri pada 7 Mei.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Dev Kumar, memberitahu BeritaBenar bahawa polis akan menyoal wartawan Malaysiakini, Kow Gah Chie, di Kuala Lumpur pada Selasa berhubung artikelnya “Vote BN to keep Muslim CM, S’wak Muslims Told” (Undi BN untuk kekalkan KM Muslim, Penduduk Islam S'wak Diberitahu) yang disiarkan portal berkenaan pada 21 April.

Laporan berita itu memetik calon Barisan Nasional bagi kawasan Nangka, Dr Annuar Rapaee, sebagai berkata demikian, yang memberikan gambaran negatif terhadap calon itu dengan rakyat Sarawak dan Malaysia melabelkan beliau sebagai rasis.

Polis menerima enam laporan berhubung perkara itu dan telah memulakan siasatan, kata Dev.

"Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai - kenyataan yang mendatangkan khianat awam, dengan niat untuk menghasut atau mungkin untuk menghasut mana-mana golongan masyarakat melakukan sebarang kesalahan terhadap orang lain di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan," kata Dev kepada BeritaBenar pada Isnin.

Dilaporkan bahawa portal berita itu telah memanggil pulang Kow ke Kuala Lumpur atas sebab-sebab keselamatan.

Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan memberitahu media tempatan bahawa keputusan itu dibuat berikutan pengedaran gambar Kow di media sosial.

Berikutan laporan itu, Annuar berpegang teguh kepada kenyataannya berhubung perkara itu sambil mendakwa bahawa kata-kata beliau telah diputarbelitkan dan disalah anggap oleh wartawan itu.

Dalam satu kenyataan, Annuar berkata beliau memberitahu umat Islam pada satu seminar Islam di Sibu, Sarawak supaya bersyukur kerana orang lain sanggup menyokong dan percayakan umat Islam untuk menjadi pemimpin, walaupun menjadi kaum minoriti
di Malaysia.

Beliau juga menjelaskan bahawa umat Islam di negeri itu berlaku adil kepada orang lain dan meminta peserta seminar itu supaya terus menyokong Ketua Menteri Adenan Satem dalam kepimpinannya.

"Sebagai umat Islam, kita harus bersyukur bahawa kita dapat hidup dalam harmoni dengan kaum-kaum lain dan toleransi mesti dikekalkan," kata Annuar dalam satu kenyataan.

Walaupun membuat penjelasan tentang perkara itu dalam kenyataannya, Annuar mengkritik  Kow sebagai seorang yang ‘pekak’ dan berkata ‘hanya (orang) rasis yang melihat orang lain sebagai rasis.’

Tinajuan BeritaBenar mendapati Malaysiakini telah mengemas kini tajuk berita itu - “Don't squander opportunity to lead S'wak, minority Muslims told” (Jangan mensia-siakan peluang untuk memimpin S'wak, minoriti Islam diberitahu".

Dalam artikel itu, portal itu turut memuatkan salinan ucapan Annuar pada majlis itu.

Institut Wartawan Malaysia (IOJ) dalam satu kenyataan berkata, ia amat bimbang mengenai perkara itu dan mengutuk gangguan yang dilakukan terhadap Kow dalam media sosial.

"Wartawan tidak boleh tertakluk kepada ancaman bahaya untuk menjalankan tugas mereka. Jika pengamal media merasakan bahawa laporan mereka telah keluar daripada konteks, mereka boleh menghubungi organisasi media berkenaan dan meminta supaya dibuat pembetulan. Mereka juga boleh mengeluarkan kenyataan dan membuat penjelasan itu," kata kenyataan itu.

Penamaan calon

Dalam pada itu, Sarawak yang kini berada dalam suasana pilihan raya telah memenangi dua kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada hari ini [Isnin].

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kedua-dua kerusi yang ditandingi calon Barisan Nasional [BN] iaitu penyandang, Amar Awang Tengah Ali Hassan bagi kawasan Bukit Sari dan Dr Abdul Rahman Ismail untuk Bukit Kota, dimenangi tanpa bertanding.

Proses penamaan calon bagi kesemua 82 kerusi yang dipertandingkan itu bermula sejak 9 pagi di mana BN Sarawak menempatkan calonnya di kesemua kawasan yang dipertandingkan, yang  sekali gus menandakan bermulanya kempen 12 hari bagi parti-parti yang bertanding.

Pengundian ditetapkan pada 7 Mei depan dan Pilihan raya itu diadakan susulan pembubaran DUN Sarawak pada 11 April lalu.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan menyaksikan gabungan parti BN dan blok pembangkang Pakatan Harapan bertanding satu lawan satu di 36 kerusi dengan pertembungan banyak penjuru menanti di 44 kerusi.

Lima kerusi iaitu Batu Kitang, Bukit Semuja, Dudong, Bawang Assan dan Jepak akan menyaksikan pertandingan lima penjuru pada hari mengundi nanti. Sementara itu, pertandingan empat kerusi berlaku di 12 kerusi diikuti tiga penjuru akan berlaku di 27 kerusi.

Dua ahli DAP dan Parti Keadilan Rakyat dari Pakatan Harapan akan bertanding menentang  satu sama lain di enam kerusi - Mambong, Ngemah, Siamanggang, Murum, Mulu dan Bukit Kitang, berikutan perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak. Parti Amanah Negara membentuk pihak ketiga blok pembangkang itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberitahu media tempatan bahawa pakatan Pembangkang menyasarkan untuk menggagalkan kemenangan dua per tiga BN daripada mengubah kepimpinan kerajaan negeri itu, yang membuka laluan kepada Adenan Satem dari BN untuk menerajui Sarawak bagi sepenggal lagi.

"Beliau akan tetap menjadi KM. Tiada siapa yang ragu-ragu tentang itu. Beliau mahu menjadi KM untuk lima tahun lagi? Impian itu ditunaikan pada hari penamaan calon," kata Kit Siang kepada media tempatan.

Adenan akan mempertahankan kerusi Tanjong Datu dalam pertembungan satu lawan satu dengan calon PKR Jazolkipli Numan.

Dalam sidang berita selepas memfailkan kertas pencalonannya, Adenan memberitahu media tempatan bahawa beliau yakin BN akan membentuk kerajaan berikutnya dan menarik perhatian tentang "adanya sedikit kucar-kacir di kalangan parti-parti pembangkang."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.