Malaysia gandakan eksport minyak sawit ke China di tengah-tengah sekatan import Kesatuan Eropah
2023.09.18
Kuala Lumpur

Perjanjian Malaysia untuk menggandakan eksport minyak sawit ke China setiap tahun merupakan langkah untuk mengimbangi potensi kerugian hasil disebabkan sekatan yang dilaksanakan Kesatuan Eropah (EU) terhadap produk yang mempunyai kaitan dengan penebangan hutan, menurut penganalisis pada Isnin.
Perjanjian bernilai RM2.5 bilion (AS$533 juta) antara syarikat gergasi minyak sawit Malaysia, Sime Darby Oils International Ltd dengan syarikat GuangXi Beibu Gulf International Port Group dari China yang diumumkan pada Ahad merupakan sebahagian daripada pelaburan hampir RM20 bilion yang ditandatangani kedua-dua negara ketika lawatan sehari oleh Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim ke Nanning, China.
"Apa yang menarik ialah eksport 500,000 tan minyak sawit ini, yang sudah tentunya akan menjaga kepentingan pekebun kecil dan pengeluar minyak sawit berskala kecil," kata Anwar dalam satu sidang media di Hotel Marriott Nanning pada Ahad selepas beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri China, Li Qiang.
"Ini adalah kali pertama China meminta peningkatan sebesar ini. Selalunya ia bergantung kepada kadar harga dan pertimbangan-pertimbangan lain, namun kali ini ia merupakan satu perjanjian tetap mengenai import oleh China."
Di bawah MoU itu, sebuah hab perdagangan dan pengedaran untuk minyak sawit yang diproses akan dibuka di Qinzhou, China, menurut laporan agensi berita kerajaan Bernama.
Pada tahun lepas, eksport minyak sawit Malaysia ke pelbagai negara telah mencecah 24.72 juta tan, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), walaupun ketika itu ia berdepan dengan cabaran-cabaran yang disebabkan langkah EU mengetatkan peraturan importnya.
Bagi menangani perubahan iklim, peraturan EU melarang penjualan atau eksport beberapa jenis komoditi secara spesifik, seperti minyak sawit, soya, kopi, koko, dan getah di negara-negara dalam Kesatuan itu, sekiranya produk tersebut diusahakan di kawasan yang hutannya ditebang selepas 2020.
Minyak sawit yang selalunya digunakan dalam sabun, produk penjagaan kulit, biofuel, cokelat, dan mentega kacang, merupakan antara produk yang menjadi sasaran penelitian oleh EU disebabkan kaitannya dengan penebangan hutan.
Sebagai tindakbalas terhadap perundangan baru tersebut, Malaysia dan Indonesia telah secara bersama-sama menyampaikan bantahan mereka kepada EU ketika satu lawatan mereka ke Brussels pada bulan Mei lalu, menurut laporan media tempatan.
Para penganalisis berpandangan bahawa langkah tersebut akan dapat membantu keperluan ekonomi negara Asia Tenggara berkenaan.
"Bagi Malaysia, ia merupakan satu cara untuk menyelesaikan keperluan ekonomi oleh industri minyak sawit dan pekebun kecilnya ketika permintaan daripada Eropah dan tempat lain di negara-negara maju dijangkakan akan menurun," kata penganalisis Chong Ja Ian daripada Universiti Kebangsaan Singapura kepada BenarNews.
"China kebiasaannya mendapatkan jaminan bekalan komoditi bagi memenuhi permintaan pasaran di negaranya," kata beliau.
Seorang pekebun sedang mengutip buah kelapa sawit dari sebuah lading di Kuala Langat, Selangor, Malaysia, 12 Nov. 2021. [S. Mahfuz/BenarNews]
Peningkatan dalam eksport minyak sawit Malaysia ke China akan menjadi keuntungan bagi kedua-dua negara, penganalisis Collins Chong Yew Keat, dari Universiti Malaya, memberitahu BenarNews.
“China kekal pragmatik dalam menjamin keperluan serta kepentingan tenaga negara berkenaan,” kata beliau.
"Masa perjanjian ini dibuat juga adalah kritikal bukan sahaja untuk agenda Beijing dalam menjamin bekalan makanan ketika ekonominya mula menurun, malah ia juga sesuai untuk memastikan Malaysia dan rantau itu kekal bergantung kepada ekonomi dan kuasa beli China.”
China membuat "langkah bijak" untuk mempelbagaikan sumber bekalan dan importnya dari Malaysia bagi memenuhi permintaan domestik, kata Lee Pei May dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Minyak sawit kebanyakkannya digunakan sebagai makanan oleh China, dan ketika aktiviti ekonomi mula menjadi rancak, terutama sekali dalam sektor pelancongan, ia akan membawa kepada penggunaan lebih banyak minyak sawit," kata Lee Pei kepada BenarNews.
Kerajaan pusat China tidak mengulas secara khusus mengenai perjanjian minyak sawit itu dalam catatan di laman webnya mengenai Li mengundang Anwar.
Pada Jun lepas, Kesatuan Eropah, Malaysia dan Indonesia bersetuju membentuk pasukan petugas untuk melaksanakan peraturan Eropah yang mengharamkan komoditi yang dikaitkan dengan penebangan hutan.
Pengumuman itu dibuat selepas ketua alam sekitar EU Florika Fink-Hooijer melawat dua negara Asia Tenggara itu untuk membincangkan isu berkenaan. Indonesia adalah pengeksport minyak sawit terbesar dunia.
Pasukan petugas itu dijangka memberi tumpuan kepada komoditi seperti minyak sawit, kayu, getah, kopi dan koko, yang penting untuk ekonomi kedua-dua negara, kata kenyataan bersama EU, Kementerian Ekonomi Indonesia, Kementerian Perdagangan Malaysia dan Majlis Sawit Serantau.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.