AS Kerah Kapal Berhampiran Kawasan Tinjauan Laut China Selatan
2020.05.08
Washington

Komander Armada Pasifik Amerika Syarikat (AS) meminta China untuk menghentikan perilaku "membuli" di Laut China Selatan ketika AS mengerahkan sebuah kapal perangnya berhampiran kawasan operasi kapal eksplorasi minyak yang dikontrak Malaysia dan berdekatan dengan sebuah kapal peninjau China yang baru dikerahkan ke situ.
Armada Ke-7 Tentera Laut AS dalam satu kenyataan media pada Khamis menyatakan ia mengerah kapal USS Montgomery dan kapal USNS Cesar Chavez ke kawasan berhampiran West Capella iaitu kapal eksplorasi minyak yang beroperasi dalam perairan Malaysia.
Kapal peninjau China, Hai Yang Di Zhi 8, yang diiringi kapal Pengawal Pantai China (CCG) dan kapal militia maritim, telah melakukan peninjauan berhampiran kawasan itu sejak 15 April. Ia dilihat sebagai cubaan untuk menakutkan Malaysia supaya tidak mengeksploitasi sumber-sumber yang terdapat di perairan yang turut dituntut oleh China.
USS Montgomery adalah sebuah kapal tempur pesisir Amerika Syarikat kedua yang berlayar di kawasan Laut China Selatan dalam masa dua minggu ini selepas kapal USS Gabrielle Giffords yang melakukan rondaan di sana pada 26 April.
“Parti Komunis China mesti menghentikan perbuatan membuli negara-negara Asia Tenggara supaya tidak menghampiri kawasan minyak, gas, dan perikanan luar pesisir. Berjuta-juta orang di rantau itu bergantung kepada sumber-sumber berkenaan sebagai punca pendapatan,” kata Laksamana John Aquilino, komander Armada Pasifik AS dalam kenyataan media.
Ketegangan
Ketegangan semakin meningkat di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber di mana sebahagian besar kawasan itu dituntut oleh China walaupun terdapat tuntutan bertindih terhadap wilayah itu oleh lima negara lain. Tingkah laku tegas di laut dan pengisytiharan pihak berkuasa pentadbiran China baru-baru ini di kawasan yang menjadi pertikaian itu telah mengundang bantahan daripada negara-negara jiran dan kerajaan AS.
China sering menghantar kapal peninjau, kapal pengawal pantai dan pasukan separa tentera untuk menonjolkan ketegasannya dalam tuntutan itu. Kapal CCG adalah jauh lebih besar dan dilengkapi persenjataan berbanding kebanyakan kapal tentera laut di rantau itu termasuk Malaysia. Tetapi, pakar menyatakan bahawa dengan mengerah kapal-kapal penguatkuasaan undang-undang sivil itu, China dilihat mahu meningkatkan tekanan terhadap negara pesaingnya tanpa membiarkan pertikaian wilayah itu berlanjutan menjadi perang.
James R. Holmes yang merupakan profesor strategi maritim di Kolej Perang Laut AS berkata penempatan kapal tempur pesisir AS itu baru-baru ini menampilkan isyarat berhubung peranan baru bagi kapal-kapal canggih namun bersaiz lebih kecil itu, yang mungkin lebih sesuai untuk menangani taktik zon kelabu yang digunakan oleh China.
Tentera Laut AS menggilirkan empat kapal tempur pesisirnya yang keluar dan masuk di Pangkalan Tentera Laut Changi di Singapura.
Foto yang dirakam dari kapal tempur pesisir USS Montgomery menunjukkan kapal USNS Cesar Chavez (kiri) dan kapal perang Tentera Laut China, 7 Mei 2020. [Ihsan Tentera Laut AS]
"Kapal tempur pesisir terutamanya yang dilengkapi dengan peluru berpandu tentera laut dapat menjadi jentera yang bagus untuk misi ini kerana ia boleh mengatasi apa sahaja yang dibawa kapal Pengawal Pantai China atau militia maritim, malah ia dapat menandingi kapal-kapal berat Tentera Laut PLA. Ia berada di peringkat pertengahan dari aspek keupayaan,” kata Holmes.
Sekiranya Tentera Laut AS mahu mengerah lebih banyak kapal perang besar, ia berisiko dilihat lebih provokatif berbanding China dan berpotensi memburukkan keadaan, katanya.
Malaysia memberi isyarat tentang rasa tidak selesanya semasa AS mengerah dua kapal perangnya yang lebih besar, USS America dan USS Bunker Hill, untuk melakukan eksesais di kawasan yang sama pada 18 April. Kapal tempur pesisir adalah lebih kecil dan kurang persenjataannya.
"Dari aspek manfaat, ini adalah bentuk jujitsu diplomatik yang harus kita uji di Laut China Selatan," kata Holmes.
Kapal tempur pesisir mengalami banyak kesulitan semasa ia dibangunkan dan dikerahkan ke dalam Tentera Laut AS. Pada mulanya, sebanyak 55 kapal yang sepatutnya dibina tetapi Tentera Laut memutuskan untuk tidak memperolehnya lagi selepas menerima empat kapal yang pertama. Pada Februari, pengarah belanjawan Tentera Laut mengesyorkan supaya menghentikan pembeliannya.
Amerika Syarikat telah menuduh China mengeksploitasi pandemik COVID-19 untuk memperluaskan tuntutannya yang tidak sah di Laut China Selatan.
China telah menegaskan bahawa kapal peninjau Hai Yang Di Zhi 8 sedang melakukan aktiviti biasa dan negara itu menuduh para pegawai AS telah memburuk-burukkan Beijing.
Bagi menambah lagi ketegangan semasa, minggu lalu China mengumumkan larangan perikanan satu pihak di kawasan besar Laut China Selatan sehingga 16 Ogos, yang mendorong tunjuk perasaan oleh persatuan perikanan di Vietnam dan Filipina.
Pada Jumaat, Kementerian Luar Negeri Vietnam secara rasmi mengkritik China kerana mengeluarkan larangan tersebut.
"Vietnam menuntut China agar tidak lagi menyukarkan keadaan di Laut China Selatan," kata jurucakap Kementerian Luar Negeri Le Thi Thu Hang dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas satu perbincangan diadakan pada Rabu di antara Setiausaha Negara AS Michael Pompeo dan Timbalan Perdana Menteri Vietnam Pham Binh Minh. Mereka sepakat mengenai "pentingnya memastikan kebebasan di laut, dan mengejar peluang ekonomi tanpa henti di seluruh wilayah Indo-Pasifik," kata Jabatan Luar Negeri dalam satu kenyataan.