Malaysia Lancar Serbuan Keselamatan Kedua Menjelang Sukan SEA

Hata Wahari
2017.08.10
Kuala Lumpur
170810-my-raid620.jpg Sebahagian warga asing yang ditahan di Neo Cyber, Cyberjaya ketika operasi malam Rabu oleh pihak berkuasa Malaysia, 9 Ogos, 2017.
[N. Nantha/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia meneruskan langkah keselamatan menjelang temasya Sukan SEA, dengan mengadakan operasi bersepadu siri kedua di sekitar kawasan Cyberjaya dalam usaha mengesan warga asing terutamanya dari negara Asia Barat dan Nigeria yang disyaki mempunyai elemen pengganas.

“Tindakan gempur oleh pihak polis pada lewat malam Rabu sehingga Khamis pagi itu dijalankan bagi mengesan warga asing terutamanya dari negara Asia Barat dan Nigeria yang disyaki mempunyai elemen pengganas.

"Polis telah menahan 57 warga asing termasuk tiga wanita, atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan di Malaysia," kata Ketua Anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay kepada BeritaBenar pada Khamis.

Beliau berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada warga asing yang datang dari negara-negara berisiko tinggi iaitu Syria, Iraq, Libya, Pakistan, Afghanistan dan Yemen, dengan seramai 290 orang yang terdiri daripada 281 lelaki dan 9 wanita telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk proses tapisan.

“Kesemua 290 yang ditahan itu telah menjalani proses 'tapisan' berdasarkan pangkalan data Interpol Foreign Terrorist Fighters (FTF), senarai anti-keganasan cawangan khas, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan Education Malaysia Global Services.

“Daripada jumlah keseluruhan yang ditahan itu, seramai 98 orang merupakan penuntut dari beberapa buat universiti di sekitar Cyberjaya seperti Lim Kok Wing University, Multimedia University (MMU), UCSI University, FTMS Global College, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP),” tegas Ayob.

Kawasan Cyberjaya merupakan tumpuan warga asing dari negara Asia Barat dan Nigeria dengan beberapa universiti dengan jumlah majoriti pelajar antarabangsa menyambung pengajian di institusi tersebut.

“Operasi itu dilaksanakan bagi mengesan warga asing yang disyaki memiliki dokumen palsu, dokumen yang dilaporkan hilang dan mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas yang bergerak di Syria dan Iraq,” ujar beliau.

Seramai 200 pegawai dan anggota unit anti-keganasan serta pihak berkuasa lain terlibat dalam operasi itu yang turut dilengkapi dengan alat pengesan radio aktif untuk mengesan bahan letupan yang menggunakan sinar gama dan neutron.

Langkah keselamatan sempena Sukan SEA

Pihak berkuasa Malaysia kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan pelbagai usaha dijalankan dalam meningkatkan keselamatan bagi menyambut temasya Sukan SEA ke-29, di mana Malaysia adalah tuan rumah kepada acara sukan terbesar di Asia Tenggara itu.

Pelbagai acara sukan melibatkan 11 buah negara dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos ini.

Jumaat lepas, polis berkuasa Malaysia telah melancarkan latihan serangan komando di Kuala Lumpur sebagai persediaan untuk sukan berkenaan dengan Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi turut menyaksikan latihan tersebut.

"Kami bukan hanya bercakap tentang ancaman dari Daesh, tetapi juga sebarang bentuk ancaman dari mana-mana entiti lain yang boleh menjejaskan negara kita dan Sukan SEA," kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada pemberita pada Jun lalu, menggunakan nama lain untuk kumpulan pengganas Negara Islam.

Sejak 1 Julai lepas, lebih daripada 7,000  warga asing - kebanyakannya warga Indonesia dan Bangladesh - telah ditahan dalam tindakan gempur besar-besaran pendatang haram di Malaysia, yang menjadi tarikan pekerja asing dari negara-negara jiran yang lebih miskin untuk mencari pekerjaan di negara itu.

Pada Isnin, penggubal undang-undang Asia Tenggara mendesak Malaysia menghentikan tindakan gempur terhadap pekerja asing di negara itu.

"Tindakan tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan," kata Emmi De Jesus, seorang anggota parlimen Filipina, kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas mangadakan lawatan untuk mendapatkan fakta selama empat hari ke negara itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia memetik De Jesus sebagai berkata, tindakan keras yang berterusan di Malaysia telah menyebabkan ramai pendatang hidup dalam ketakutan.

"Layanan buruk oleh pihak berkuasa, termasuk penahanan tanpa syarat dalam keadaan yang buruk, merupakan kebimbangan utama kami," katanya.


N. Nantha turut membantu dalam laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.