Empat Lelaki Islam Telah Jalani Hukuman Sebatan, kata Amnesty International Malaysia

Staf BeritaBenar
2019.11.19
Kuala Lumpur, Malaysia
191118-MY-LGBT-Caned620.jpg Lima lelaki yang didapati bersalah atas cubaan melakukan perbuatan homoseksual semasa berada di Mahkamah Syariah Shah Alam, di Selangor, 7 November, 2019.
[BeritaBenar]

Empat lelaki Islam Malaysia telah menerima hukuman sebatan kerana melanggar undang-undang Islam atas kesalahan ‘cubaan melakukan perbuatan homoseksual’, demikian kata Amnesty International Malaysia yang turut menyifatkan tindakan itu sebagai penindasan terhadap golongan LGBT di negara itu.

Amnesty International Malaysia, badan pengerak hak asasi global bagi Malaysia dalam kenyataan medianya telah mengesahkan keempat lelaki yang didapati bersalah itu telahpun menjalani hukuman sebatan pada Isnin.

“Empat lelaki telah menerima hukuman sebatan hari ini [Isnin] kemudiannya dibebaskan, sementara menunggu rayuan hukuman penjara mereka, selepas disabitkan dengan ‘cubaan melakukan hubungan seks luar tabii’,” kata Amnesty International Malaysia.

Minggu lepas, Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Mohd Asri Mohd Tahir telah  memerintahkan lima lelaki supaya menjalani hukuman penjara antara enam dan tujuh bulan, enam sebatan dan denda RM4,900 (AS$1,185) selepas didapati bersalah atas kesalahan tersebut.

"Hukum kejam seperti ini, terhadap golongan LGBTI adalah jenayah sebenar yang telah dilakukan di sini. Pihak berkuasa Malaysia telah mengecewakan golongan LGBT dengan membuat hukuman kejam ini sebagai satu tuntutan yang berat," kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Shamini Darshini Kaliemuthu dalam kenyataan itu yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Beliau bagaimanapun tidak mengatakan berapa sebatan telah dikenakan dan di mana ianya dibuat.

Kenyataan Amnesty itu juga memaklumkan bahawa lelaki kelima yang telah dijatuhi hukuman oleh Hakim Mohd Asri minggu lalu tidak dikenakan sebatan pada Isnin, kerana menunggu keputusan rayuan atas kesemua hukuman yang dikenakan terhadapnya minggu lalu, manakala enam lagi lelaki yang mengaku tidak bersalah atas kesalahan yang sama menunggu untuk dibicarakan.

Sehubungan itu, Shamimi meminta pihak berkuasa untuk menggugurkan pertuduhan terhadap keenam lelaki berkenaan kerana tiada sebarang keadilan.

Sementara itu, agensi berita antarabangsa Agence France-Presse [AFP] melaporkan aktivis pro-LBGT Numan Afifi yang mengikuti perkembangan kes berkenaan mengesahkan yang keempat-empat lelaki berkenaan telah menerima hukuman sebatan dan pihak berkuasa mahkamah serta peguam lelaki-lelaki berkenaan tidak dapat dihubungi.

Menurut kertas pendakwaan, kesemua lima lelaki Islam itu dituduh cuba melakukan perhubungan seks di dalam sebuah pangsapuri di luar Kuala Lumpur pada 9 Nov 2018.

Hakim Syarie Mahkamah Syariah Selangor itu seterusnya telah memutuskan bahawa kesalahan yang dilakukan mereka adalah perbuatan serius yang melanggar Kanun Syariah.

“Fakta menunjukkan adanya persiapan untuk melakukan seks di luar tabii dan ia bukanlah percubaan,” kata hakim itu dalam penghakimannya seperti dilaporkan media tempatan.

Pada 11 November lepas, satu kenyataan bersama telah dikeluarkan oleh gabungan 28 organisasi di Malaysia yang mengkritik keputusan Hakim Syarie itu dengan berkata hukuman sebat terhadap kesemua lelaki berkenaan dianggap tidak adil, kejam serta melanggar hak-hak tertuduh seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Undang-undang yang mensabitkan dan menghukum kesemua lelaki itu adalah bersifat diskriminasi dan melanggar hak asasi manusia, terutamanya hak untuk hidup dengan bermaruah, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh organisasi itu, yang kebanyakannya badan bukan kerajaan minggu lalu.

Gabungan kumpulan itu juga berkata terdapat kekurangan pemahaman tentang golongan LGBTQ dan pandangan sempit berhubung orientasi seksual yang menjurus kepada ketidakadilan dan pemangsaan.

“Keputusan mahkamah itu telah memperluaskan lagi persepsi terhadap golongan LGBT sebagai penjenayah yang kemudiannya menyebabkan mereka terus ditindas dan dipinggirkan masyarakat serta terdedah kepada bahaya - bukan sahaja oleh negara tetapi di tempat kerja, oleh masyarakat sekeliling serta ahli keluarga,” kata kumpulan berkenaan.

Undang-undang sivil dan syariah

Sebanyak 60 peratus penduduk di Malaysia adalah beragama Islam. Melibatkan diri atau cuba melakukan hubungan seks sejenis di Malaysia dianggap sebagai jenayah berdasarkan sistem mahkamah Persekutuan dan sistem mahkamah Islam yang berfungsi secara berasingan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganggarkan terdapat kira-kira 310,000 orang dalam golongan LGBT di negara itu, walaupun ia kemudian mengakui bahawa angka berkenaan tidak disahkan oleh Kementerian Kesihatan, menurut akhbar Straits Times Singapura.

Perkara berkaitan agama di negeri-negeri di Malaysia dikawal oleh badan agama yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang-undang yang mereka anggap wajar melalui sistem mahkamah syariah.

Pada Ogos 2018, Mahkamah Syariah di negeri Terengganu menjatuhkan hukuman sebat ke atas dua wanita selepas ditangkap ketika cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di dataran awam di negeri itu.

Pada masa itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad menolak hukuman tersebut dengan menyatakan ia tidak mencerminkan keadilan atau belas kasihan Islam.

Anwar Ibrahim, pemimpin Parti Keadilan Rakyat yang dijangka menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri, turut mengkritik hukuman itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.