Ketua Skuad Badar Cegah Khalwat Tanpa Tauliah Ditahan Polis
2019.01.16
Kuala Lumpur, Malaysia

Ketua Skuad Badar, kumpulan anti-maksiat di Sungai Petani, Kedah, yang cenderong mencegah khalwat dengan menahan pasangan Melayu Islam di rumah tumpangan di daerah itu telah ditahan pihak berkuasa Malaysia selepas satu laporan polis telah dibuat ke atasnya, demikian kata Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah kepada BeritaBenar.
Adzli mengesahkan penahanan Azhar Mohamad, ketua Skuad Badar oleh pihak polis pada Ahad dan kini berada dalam tahan reman selama empat hari bermula Isnin, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai penahanan berkenaan.
“Sah Azhar telah ditahan dan direman,” katanya menjawab pesanan ringkas oleh BeritaBenar bila ditanya tentang kes ketua Skuad Badar itu pada Rabu.
Penangkapan Azhar itu turut disahkan oleh seorang pegawai kanan polis di IbuPejabat Polis Kontinjen Negeri Kedah yang berkata laporan itu difailkan oleh seorang pegawai kanan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah [JHEAIK].
Pegawai itu turut mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa intipati laporan polis yang dimuatnaik dalam laman media sosial Facebook milik Azhar juga asli.
"Laporan (polis) itu kami terima. Kami sedang menyiasat perkara tersebut. Azhar disiasat di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi) kerana menyiarkan kandungan laporan polis di laman media sosialnya, dan juga disiasat di bawah Akta Pertubuhan kerana mengetuai satu kumpulan yang tidak berdaftar,” kata sumber yang boleh dipercayai.
Jika disabit kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi, seseorang boleh dijatuhkan hukuman penjara antara setahun dan 14 tahun, denda atau penjara seumur hidup bergantung kepada subseksyen kesalahan yang diadili. Di bawah Akta Pertubuhan, denda yang dikenakan bergantung kepada hukuman yang dijatuhkan ke atas individu yang menjalankan aktiviti melalui pertubuhan haram.
Pada hujung minggu lepas, Azhar telah memuatnaik di laman media sosial Facebooknya satu laporan polis yang dibuat oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) Syeikh Marwazi Dziyauddin pada Khamis lepas.
Menurut salinan laporan polis yang dimuatnaik itu, Skuad Badar telah melakukan kerja-kerja penahanan dan penguatkuasaan tanpa tauliah dan merupakan satu pertubuhan yang tidak berdaftar.
Kumpulan itu didakwa memasuki premis tanpa kebenaran serta waran geledah selain tidak diiringi oleh mana-mana pegawai penguatkuasa agama JHEAIK dengan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Tindakan kumpulan itu juga dikatakan telah menimbulkan ketakutan di kalangan mangsa dan masyarakat setempat dengan mereka juga cuba mempengaruhi individu tertentu untuk turut serta dalam aktiviti yang dijalankan sehingga mencetuskan kebimbangan yang kumpulan berkenaan boleh menjadi sebuah kumpulan ekstrim yang bertindak di luar undang-undang.
Sementara itu, Sheikh Marwazi semasa dihubungi BeritaBenar mengesahkan bahawa beliau sendiri membuat laporan polis itu.
“Ya, saya yang membuat laporan polis itu, tetapi saya tidak boleh memberi sebarang komen lanjut kerana hal ini masih dalam siasatan polis, dan telah dinasihati pegawai atasan untuk tidak membuat sebarang kenyataan, “ kata beliau.
Henti aktiviti
Mohamed Farid Nazmi, anggota Skuad Badar yang dihubungi BeritaBenar berkata, buat masa ini, skuad itu akan menghentikan pemeriksaan hotel murah di daerah Sungai Petani.
"Ketua kami, Azhar telah ditahan pada Ahad jam 9 malam dibawah Akta Rahsia Rasmi dan Akta Pertubuhan. Oleh itu kami terpaksa menghentikan operasi kami buat sementara waktu sehingga beliau dibebaskan," kata Mohamed Farid pada Rabu.
Skuad Badar dikenali di daerah Sungai Petani dengan aktiviti memeriksa hotel murah dan menahan pasangan Melayu Islam yang berkhalwat. Mereka kemudian itu dibawa ke tanah perkuburan terdekat bagi sesi tarbyiah sebelum diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing.
"Mereka yang enggan mengikut ke tanah kubur akan diserahkan kepada pihak polis. Ramai memilih untuk ke kubur kerana tidak mahu ke balai polis," kata Mohamad Farid sambil memberitahu bahawa kumpulan itu mempunyai seramai 30 anggota yang aktif.
Azhar, di laman Facebooknya pada Ahad, turut menempelak JHAEIK kerana tidak bersyukur dengan hasil usaha yang dibuat oleh skuad berkenaan.
"Kami telah berusaha keras dan berkorban, inikah balasan dari JHEAIK. Satu laporan polis ke atas kami setelah apa yang kami lakukan untuk menyelamatkan anak-anak muda dari lembah neraka," kata Azhar.
Selain daripada memeriksa hotel, Azhar turut memuat naik video skuad Badar memeriksa restoran yang mengambil pekerja bukan Islam serta turut membantah konsert sempena tahun baru.
Pada November 14 lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata bahawa aktiviti Skuad Badar telah menyalahi undang-undang kerana mengambil tindakan sendiri tanpa izin daripada pihak berkuasa.
"Penguatkuasaan mesti dilakukan berasaskan undang-undang. Mereka yang mengambil tindakan sendiri di atas nama Islam telah memburukkan nama Islam walaupun niat mereka baik," kata Mujahid.
Kenyataan Mujahid dibuat selepas Anggota Parlimen Sungai Petani Johari Abdul berkata tindakan Skuad Badar adalah keterlaluan dengan membawa pasangan yang belum berkahwin ke kubur untuk diberi tarbiyah.
"Niat mereka baik cuma kita ada undang-undang yang boleh digunapakai. (Mereka) tidak boleh ke kubur, itu satu tindakan melampau." kata anggota parlimen itu.
Walaupun Azhar telah ditahan, laman Facebooknya dibanjiri dengan pujian dan semangat daripada orang ramai.
"JAHAEIK dan kerajaan negeri sepatutnya bersama-sama NGO untuk membanteras kegiatan tidak bermoral. Teruskan ustaz, kita terus berjuang," kata pengguna Facebook dengan nama Shahrudin Saad.