Menteri: Malaysia Akan Kekalkan Undang-Undang Anti-keganasan Kontroversi
2018.12.31
Kuala Lumpur, Malaysia

Kerajaan baharu Malaysia kelihatan seolah mengabaikan janji semasa kempen pilihan rayanya untuk memansuhkan peruntukan undang-undang keselamatan negara yang kontroversi yang sebelum ini Perdana Menteri Mahathir Mohamad sifatkan sebagai “kejam.”
Semasa kempen pilihan raya umum pada Mei, pakatan pembangkang ketika itu Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir telah berjanji akan “memansuhkan peruntukan drakonian” Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA, satu undang-undang yang diperkenal enam tahun lepas bagi memerangi ancaman keganasan, dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA).
Pakatan turut berjanji untuk memansuhkan Akta Pencegahan Jenayah, atau POCA, yang digubal pada 1959.
Bagaimanapun, pada Ahad, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan Mahathir untuk mengkaji peruntukan perundangan kesemua akta telah memutuskan bahawa undang-undang sedemikian adalah perlu untuk melindungi negara daripada jenayah terancang dan ancaman keganasan.
“Terdapat pihak yang mengancam keselamatan negara dengan menyertai kumpulan pengganas atau menjadi sebahagian daripada kongsi gelap,” kata Muhyiddin, menggunakan terma biasa bagi sindiket jenayah.
“Jika tiada undang-undang seperti SOSMA, mereka boleh berbuat appa sahaja yang mereka suka dan ini akan mendatangkan kesan buruk terhadap rakyat dan negara.”
Beliau berkata SOSMA, POTA dan POCA perlu dipertahan, meskipun beberapa pindaan mungkin diperlukan kemudian.
Muhyiddin membuat kenyataan itu semasa perhimpunan agung Parti Bersatu di bandar pentadbiran Putrajaya.
Di bawah SOSMA, seorang suspek boleh ditahan sehingga 28 hari untuk siasatan dan individu itu boleh dinafikan akses kepada seorang peguam dalam tempoh sehingga 48 jam.
“Sesetengah daripada undang-undang ini adalah diwarisi dari era kolonial British tanpa pindaan bagi memperbaiki kelemahan. Terdapat juga undang-undang kejam yang digubal oleh UMNO dan Barisan Nasional,” kata PH semasa kempen pilihan rayanya.
UMNO, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, telah menjadi kuasa dominan politik Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Barisan Nasional pula adalah gabungan parti pemerintah yang disingkirkan daripada kuasa apabila ia tewas dalam pilihan raya umum pada 9 Mei kepada Pakatan Harapan.
Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, membuat kenyataan itu sebagai respons kepada cadangan oleh perwakilan parti agar kerajaan mengembalikan undang-undang drakonian iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang telah dimansuhkan pada 2012 oleh Perdana Menteri ketika itu Najib Razak.
“Jika undang-undang sedia ada tidak dipertahan, akan wujud pihak berfikir mereka bebas untuk buat apa sahaja yang boleh mengancam negara dengan menjadi gangster atau pengganas,” katanya kepada agensi berita rasmi Bernama yang turut memetik Muhyiddin sebagai berkata, "Kerana itu kita pakai undang-undang yang ada dan kuatkuasakan sepenuhnya oleh polis dan pihak berkuasa yang lain.”
ISA tidak akan dihidupkan semula di bawah kepimpinan Mahathir, kata Muhyiddin.
Menteri Dalam Negeri Malaysia Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan beliau sebagai presiden Bersatu pada perhimpunan agung parti itu di bandar pentadbiran Putrajaya, 30 Dis 2018. [S.Mahfuz/BeritaBenar]
Bekas tahanan tolak keputusan kerajaan
Maria Chin Abdullah, seorang bekas tahanan SOSMA, telah mengkritik keputusan kerajaan untuk mengekalkan undang-undang keselamatan khas itu.
“Pemansuhan sepenuhnya perlu dilakukan. Bukan pindaan. Anda tidak boleh memiliki satu sistem yang menahan seseorang tanpa perbicaraan,” katanya kepada BeritaBenar pada Isnin. “Itu tidak adil.”
Maria telah ditahan pada 18 Nov 2016 atas pertuduhan “melibatkan diri dalam aktiviti yang menjejaskan demokrasi parlimen” selepas polis menyerbu pejabat badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0.
Pihak berkuasa mendakwa bahawa mereka menjumpai dokumen yang boleh dianggap sebagai satu kesalahan di bawah undang-undang keselamatan negara.
Beliau dibebaskan 10 hari selepas satu tunjuk perasaan umum secara besar-besaran.
Maria juga berkata polis perlu menggunakan tempoh maksimum reman selama 14 hari secara efektif yang dibenarkan oleh undang-undang sedia ada, daripada bertindak menahan suspek sehingga 28 hari tanpa perbicaraan, seperti yang dibenarkan di bawah SOSMA.
“Untuk menahan seseorang sehingga 28 hari (tanpa perbicaraan) tanpa mengetahui sama ada dia bersalah atau sebaliknya adalah tidak adil. Selain itu, individu tersebut telah dinafikan akses kepada peguam dan bertemu keluarganya,” kata beliu.
“Terdapat banyak cara untuk mencegah keganasan dan jenayah. Menggunakan undang-undang yang menyalah guna hak seseorang tidak membantu keadilan sebaliknya adalah satu tindakan yang tidak adil,” katanya.
NGO turut menyelar pengumuman Menteri Dalam Negeri itu.
“Dalam manifesto Pakatan Harapan … mereka secara spesifik berkata bahawa mereka sebagai kerajaan akan memansuhkan akta SOSMA dan POTA,” kata Mahathir Abdul Rahman, jurucakap Desak Sampai Bubar, atau Pressure Until Repeal, kumpulan bagi keluarga mereka yang ditahan di bawah SOSMA, kepada BeritaBenar.
Beliau berkata kumpulan itu, yang akan menerima kesan langsung daripada keputusan kerajaan, tidak pernah dirujuk.
“Kami mahukan keadilan sebenar, kami mahu sebuah kerajaan yang mendengar keluhan rakyat,” katanya.
Dr M: ‘Rakyat akan dilindungi oleh undang-undang yang adil’
Pada 27 Julai, lebih dua bulan selepas beliau kembali ke tampuk kekuasaan dalam satu kemenangan yang menakjubkan, Mahathir berjanji bahawa orang ramai akan dilindungi daripada undang-undang kejam dan drakonian, semasa beliau mengkritik pendahulunya, Najib, kerana memperkenal SOSMA pada 2012.
“Undang-undang Najib membenarkan seseorang itu ditahan dan tidak dibawa ke mahkamah, dan jika orang itu mati, tidak akan ada inkuiri atau tindakan yang diambil terhadap mereka yang membunuhnya,” kata Mahathir, 93.
“Rakyat akan dilindungi oleh undang-undang yang adil, jadi jika mereka melakukan sebarang kesalahan, mereka akan dihakimi oleh mahkamah dan mahkamah akan menentukan sama adda seseorang itu bersalah atau sebaliknya,” kata beliau.
Bagaimanapun dalam respons kepada insiden keganasan dan vandalism yang berlaku di sebuah kuil Hindu di Subang Jaya bulan lepas, kerajaan Mahathir turut menarik balik satu moratorium terhadap undang-undang yang digunakan bagi mengekang perbezaan pendapat, termasuk Akta Hasutan 1948, yang turut menjadi keutamaan dalam senarai janji Pakatan Harapan untuk dimansuhkan.
Human Rights Watch menyifatkan langkah itu sebagai “satu langkah besar ke belakang dalam laluan ke arah pembaharuan.”
“Kerajaan yang baru-baru ini mengambil alih pentadbiran dengan menjanjikan satu komitmen kepada hak asasi manusia tidak seharusnya kembali kepada undang-undang drakonian yang telah digunakan oleh pentadbiran Malaysia sebelum ini untuk mengekang perbezaan pendapat,” kata Phil Robertson, seorang timbalan pengarah Asia bagi HRW, dalam satu kenyataan.