Malaysia Mahu ASEAN Bersatu Tangani Isu Spratly

Staf BeritaBenar
2015.10.28
151028-MY-SPRATLY620 Foto udara yang diambil dari pesawat tentera menunjukkan dakwaan penambakkan laut oleh China sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai kerosakan di kawasan terumbu karang di sekitar Kepulauan Spratly di Laut China Selatan. 11 Mei 2015
AFP

Malaysia mahu negara-negara anggota Asia Tenggara (ASEAN) bersatu dan mengelak daripada mencetuskan sebarang provokasi di perairan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang boleh menyebabkan berlakunya 'situasi tidak terkawal' di zon konflik itu, kata Menteri Pertahanannya Hishammuddin Hussein pada Rabu.

"Isu Spratly membabitkan ASEAN perlu diselesaikan di peringkat ASEAN sendiri kerana kita (ASEAN) tidak mampu mempengaruhi tindak-tanduk kuasa besar dan berharap situasi tidak menjadi lebih kompleks," katanya

Kenyataan Menteri Pertahanan itu menyusul berikutan ketegangan terbaru yang berlaku di zon konflik berkenaan, apabila Amerika Syarikat pada Selasa menghantar kapal perangnya menghampiri had zon wilayah 12 batu nautika dari pulau buatan China di kawasan Laut China Selatan.

Ketengangan terbaru antara dua kuasa besar itu, tercetus seminggu sebelum berlangsungnya mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang membabitkan 10 negara ASEAN di Kuala Lumpur pada 2 November depan.

Kawasan kepulauan Spratly menjadi tuntutan bertindih yang melibatkan empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam selain dari China serta Taiwan.

Menurut Hishammuddin, penglibatan kuasa besar seperti AS dan China menjadikan isu itu lebih sensitif dan sebarang insiden boleh menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.

"Sebarang kejadian kecil jika tidak dibendung boleh menular kepada satu situasi yang tidak boleh di kawal lebih-lebih lagi melibatkan kuasa-kuasa besar. Saya berharap negara terbabit dapat mengawal aktiviti mereka dari melakukan perkara yang boleh menyebabkan ketegangan di Spratly," katanya pada sidang media di Sungai Petani, Kedah pada Rabu.

Agence France-Presse (AFP) melaporkan pegawai pertahanan AS mengesahkan pada Selasa kapal perang USS Lassen belayar menghampiri had zon wilayah 12 batu nautika dari pulau buatan China di Laut China Selatan, yang sekaligus mencetuskan bantahan keras dari kerajaan China.

Laporan itu memetik, di bawah undang-undang antarabangsa, wilayah sesebuah negara merangkumi kawasan 12 batu nautika dari kawasan pantainya. Bagaimanapun, AS dan negara lain mempertikaikan peraturan itu kerana ia tidak termasuk pulau buatan.

China, bagaimanapun, mempertikaikan interpretasi undang-undang antarabangsa, dengan berkata kapal tentera laut tidak dibenarkan belayar ke dalam kawasan perairannya tanpa mendapat kebenaran segera dari Beijing.

AFP melaporkan kejadian itu telah meningkatkan lagi perbalahan ke atas perairan strategik Laut China Selatan yang dituntut oleh Beijing, termasuk kawasan perairan yang berdekatan dengan negara lain.

Beberapa negara jiran, termasuk Filipina, sekutu AS, bersaing menuntut kedaulatan ke atas zon tersebut dan perbalahan itu menimbulkan kebimbangan tentang pertembungan di kawasan yang turut merangkumi laluan perkapalan yang penting kepada perdagangan dunia.

Ketegangan semakin memuncak sejak China membangunkan kawasan terumbu karang di perairan itu sebagai pulau kecil yang mampu menampung kemudahan ketenteraaan, langkah yang didakwa AS sebagai ancaman kepada kebebasan pelayaran.

Beijing telah berkali-kali mendakwa kerja pembinaan di Laut China Selatan adalah bagi kegunaan orang awam, manakala Presiden China, XI Jinping, semasa lawatannya ke Washington bulan lalu memberi jaminan bahawa negara itu tidak menjadikan kawasan tersebut kawasan ketenteraan.

Laut China Selatan terus menjadi titik pertikaian di antara kedua-dua kuasa besar itu, malahan Presiden Barack Obama dan Presiden China Xi Jinping telah bersetuju untuk menguatkan lagi kerjasama kedua-dua buah negara.

“Selaku pengerusi ADMM, saya berharap mesyuarat minggu depan dapat merumuskan satu keputusan positif sebelum mesyuarat ASEAN+8 membabitkan menteri-menteri pertahanan antaranya China, Amerika Syarikat, Rusia dan Jepun bermula," tambah Hishammuddin.

ADMM adalah perundingan dan kerjasama pertahanan tertinggi antara negara anggota Asean berkaitan dengan pertahanan, yang bertujuan menjalin kesefahaman dan keyakinan melalui persefahaman pertahanan dan keselamatan selain meluaskan ketelusan dan keterbukaan.

Malaysia adalah Pengerusi ASEAN pada masa ini dan negara anggotanya merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, sementara lapan negara rakan dialog ialah Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan AS.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.