SPR Tolak Permintaan Suhakam Pantau PRU 14
2018.04.27
Kuala Lumpur, Malaysia

Badan yang bertindak menguruskan pilihan raya di Malaysia pada Jumaat berkata ia tidak memerlukan khidmat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk memantau perjalanan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) kerana pemantau sedia ada sudah mencukupi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia [SPR] Mohd Hashim Abdullah dalam kenyataan media dua muka surat berkata selain pemerhati bebas dan antarabangsa yang dijemput badan itu, calon serta parti yang bertanding turut mempunyai hak melantik ejen-ejen mereka untuk pemantauan ketika proses pilihan raya berlangsung.
“Peruntukan undang-undang telah menetapkan hak kepada semua calon dan parti yang bertanding untuk melantik ejen mereka sebagai pemantau dalam setiap proses Pilihan Raya Umum. Pada PRU 14 ini, dianggarkan lebih 200,000 ejen calon bertanding dan parti yang akan terlibat,” katanya.
Beliau berkata SPR sebagai badan yang dipertanggungjawab menguruskan pilihan raya di negara ini, yang diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, akan memastikan setiap proses PRU 14, yang dikendali oleh lebih 250,000 orang awam, berjalan dengan telus dan adil tanpa tekanan serta campur tangan mana-mana pihak.
Mohd Hashim turut meminta Suhakam, yang anggotanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, memberikan pengiktirafan yang sama kepada SPR, yang anggotanya juga dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, seperti mana ia memberikan pengiktirafan kepada suruhanjaya itu yang mempunyai bidang kuasa berkaitan hak asasi.
“Pada masa yang sama, adalah tidak wajar pihak yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang mempunyai bidang kuasa khusus yang telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta, turut memantau pihak lain yang juga dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai bidang kuasa khusus di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta,” katanya.
Pengerusi SPR itu juga memberi jaminan bahawa suruhanjaya berkenaan sentiasa berpegang kepada kepentingan hak asasi semua warganegara selaras dengan peruntukan undang-undang, dan tidak pernah menyekat mana-mana warganegara untuk menggunakan hak mereka mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Akta berkaitan pilihan raya bagi menyertai proses demokrasi negara.
“Bagaimanapun, SPR berpandangan penglibatan Suhakam yang akan berperanan sebagai pemantau pilihan raya adalah tidak perlu kerana SPR telah menjemput pemerhati luar negara selain melantik beberapa pihak bebas yang berkecuali dan tidak berkepentingan untuk memerhati serta memantau proses PRU 14,” kata Mohd Hashim.
Bidas tindakan SPR
SPR dalam sidang akhbar di ibu pejabatnya semasa mengumumkan tarikh pilihan raya umum baru-baru ini berkata beberapa badan pemantau luar negara dan bebas telah dijemput untuk memantau pilihan raya kali ini.
Antaranya pemerhati dari Indonesia, Thailand, Maldives, Timor Leste, Azerbaijan, Kemboja dan Kyrgyzstan, yang menurut Mohd Hashim, telahpun menerima jemputan SPR.
Turut menerima jemputan itu ialah pemerhati dari Bosnia Herzegovina, Uzbekistan, India, Pakistan, New Zealand, Myanmar, Australia dan Kazakhstan.
Bagaimanapun, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0 mendakwa badan bebas pilihan raya Timor Leste iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya Nasional Timor Leste dan Sekretariat bagi Pentadbiran Teknikal Pilihan Raya (STAE) telah memaklumkan yang mereka tidak menerima sebarang jemputan daripada SPR.
“Adakah SPR telah membuat satu pembohongan terhadap rakyat Malaysia untuk menjustifikasi ketelusan PRU 14? Jikalau bukan kedua-dua badan pilihan raya Timor Leste ini, siapakah yang mereka undang dari Timor Leste?” soal Bersih 2.0
Bersih 2.0 juga mendakwa keputusan SPR menolak permohonan Suhakam dan misteri jemputan terhadap badan pilihan raya Timor Leste hanya memperkukuh kepercayaan orang ramai bahawa terdapat banyak penipuan serta penyelewenggan dalam PRU 14, sehinggakan SPR tidak mempunyai keyakinan untuk membenarkan Suhakam dan Bersih 2.0 memantau PRU 14.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata apa yang dilakukan oleh SPR adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal.
“Apa yang dilakukan SPR pada saat-saat akhir ini memberikan satu persepsi kepada orang ramai bahawa SPR menyembunyikan sesuatu. Kami mendesak SPR untuk menjadi adil dan terbuka dalam menjalankan tanggungjawab mereka supaya orang ramai akan lebih yakin terhadap proses pilihan raya. Tambahan pula kali ini merupakan waktu yang kritikal,” katanya.
Beliau berkata meminta badan bebas dan luar negara hadir memantau pilihan raya adalah satu amalan demokrasi yang biasa diamalkan oleh negara demokratik, oleh itu Suhakam perlu turut diberikan peluang.
“Suhakam perlu diberikan hak untuk memantau proses pilihan raya, dan ini termasuk membenarkan ia memasuki tempat mengundi,” kata Gabriel lagi.
Kecaman demi kecaman diterima SPR atas tindakannya pada saat-saat akhir yang menurut pengkritik merupakan percubaan untuk membantu blok pemerintah Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kali ini.
PRU 14 yang berlangsung pada 9 Mei depan bakal menyaksikan lebih 15 juta pengundi berdaftar membuat pilihan siapa yang mereka mahukan sebagai pemimpin Malaysia. BN diketuai Najib Razak akan ditentang oleh blok pembangkang yang diketuai bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad.
Mahkamah tolak semakan
Dalam perkembangan lain, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan 16 anggota Umno untuk kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan parti itu yang gagal mengadakan pemilihan dalam tempoh lima tahun.
Peguam Haniff Khatri, yang mewakili 16 anggota Umno bagi mencabar kesahihan parti itu selepas menangguhkan proses pemilihan parti, berkata kes tersebut boleh membawa kepada krisis perlembagaan.
Haniff berkata demikian kepada BeritaBenar selepas memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada Jumaat.
Pada 20 April, Ketua Cawangan Umno Seri Merpati Pandan Indah, Salihudin Ahmad Khalid, dan 15 lagi anggota Umno memfailkan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap parti itu atas alasan berlaku pelanggaran perlembagaan parti apabila menangguhkan pemilihan parti.
Kesemua 16 anggota Umno itu bagaimanapun dipecat dari parti sehari selepas mereka berbuat demikian.
Hakim Kamaludin Md Said, semasa prosiding pada Jumaat berkata, berdasarkan Seksyen 18C Akta Persatuan 1966, mahkamah terkecuali daripada mendengar kes berkaitan masalah dalaman parti politik.
"Selepas meneliti kesemua hujahan yang dikemukakan kedua-dua pihak, mahkamah bersetuju dengan Jabatan Peguam Negara bahawa peruntukan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menyatakan sebarang keputusan atau perkara berkaitan perjalanan parti, termasuk menangguhkan pemilihan parti, tidak boleh dibawa ke mahkamah. Jadi mahkamah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dipohon oleh pemohon," katanya.