Sultan Selangor Tarik Balik Pentauliahan Mengajar Zamihan
2017.10.16
Kuala Lumpur

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin menitahkan supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik pentauliahan mengajar yang diberikan kepada Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin, dan ini berkuatkuasa serta-merta.
Penceramah agama yang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia ditahan pihak polis pada Rabu lalu atas siasatan hasutan dimana beliau membuat kenyataan keras mengenai titah Sultan Johor mengenai isu kedai dobi untuk Muslim serta mengungkapkan ayat berbaur perkauman dalam ceramahnya.
Zamihan yang telah ditahan di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.
Siasatan terhadap beliau dibuat mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Setiausaha Dewan di-Raja Selangor dalam satu kenyataan memberitahu, titah Sultan Selangor itu dibuat selepas berbincang dengan Dewan di-Raja Selangor pada Isnin dan berkenan untuk menarik balik pentauliahan Zamihan serta sebagai ahli jawatankuasa tauliah negeri itu di bawah Peraturan 17 di bawah Majlis itu..
“(Tindakan) Menarik balik tauliah mengajar Dr. Zamihan Mat Zain serta membatalkan keahlian beliau sebagai ahli Jawatankuasa Tauliah negeri Selangor adalah di bawah peruntukan Peraturan 4 di dalam peraturan yang sama,” menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Hanafisah Jais, Setiausaha Dewan di-Raja Selangor.
Ceramah Zamihan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam itu yang dimuatnaik ke laman YouTube memaparkan beliau mengkritik titah Sultan Johor terhadap pengusaha dobi bagi menghentikan polisi yang mendiskriminasi golongan bukan Islam.
Zamihan, seorang penceramah terkenal kini bertugas di Jabatan Penjara Malaysia sebagai guru agama. Beliau sebelum ini bertugas sebagai pegawai di Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan bahagian buku agama di Kementerian Dalam Negeri dan juga merupakan Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja).
Kata kenyataan itu, tindakan tersebut diambil ekoran ceramah agama yang disampaikan Zamihan di masjid itu yang mengandungi perkataan bersifat rasis, kurang beradab dan kritikan melampau ke atas Institusi Diraja.
“Tambahan pula, ceramah agama yang disampaikan oleh beliau diadakan di Masjid Diraja yang mana ceramah agama seperti ini tidak sepatutnya berlaku," kata kenyataan itu.
Rakaman video terhadap ceramah
Sultan Selangor juga menitahkan dua arahan iaitu pengurusan masjid dan surau di Selangor perlu membuat rakaman video bagi setiap ceramah dan kuliah bagi merekod serta memantau setiap isi kandungan ceramah yang berlangsung.
Baginda juga mengarahkan penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah di semua masjid dan surau di negeri itu dihadkan di dalam bangunan masjid dan surau sahaja.
“Penggunaan pembesar suara untuk berceramah dan kuliah di seluruh Negeri Selangor hendaklah dihadkan di dalam bangunan masjid dan surau sahaja dan tidak di luar kawasan masjid dan surau kecuali untuk laungan azan serta bacaan ayat-ayat suci al-Quran,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, ia dapat memelihara imej agama Islam yang memetingkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Baginda dalam kenyataan itu menegaskan, Raja-Raja Melayu berpendirian bahawa imej Islam sebagai agama persekutuan adalah agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleransi, sederhana dan inklusif.
Sultan Sharafuddin menegaskan, perkara itu wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan yang bersifat keterlalun dan memisahkan rakyat.
Menteri Besar, Azmin Ali dalam reaksi segera kepada BeritaBenar memberitahu tindakan yang dibuat oleh Sultan Selangor itu merupakan peringatan untuk semua supaya tidak bersikap melampau dalam berdakwah.
“Kita hidup bermasyarakat dan Islam pentingkan kesejahteraan masyarakat. Itulah dasar Kerajaan Negeri. Melayu, Cina, India dan kaum lain hidup harmoni di Selangor oleh itu jangan rosakkannya,`` katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.
Pada Sabtu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengarahkan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) tidak berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di mana Zamihan berkhidmat.
Arahan baginda itu dibuat selepas Sultan Ibrahim telah dikritik oleh Zamihan berkaitan dengan arahan baginda mengenai isu dobi mesra muslim di Muar, Johor.
Dalam rakaman video itu Zamihan mempersoalkan titah Sultan Johor, dan menyatakan bahawa orang bukan Islam, khasnya dari bangsa Cina adalah kotor kerana mereka bersuci menggunakan kertas tisu selepas membuang air.
“Bagaimana pula dengan darah haid di pakaian dalam? Mereka peluk anjing, minum arak, dan arak tumpah ke pakaian. Mereka juga makan babi. Semua aktiviti ini sinonim dengan mereka.”
“Kita negara Islam, pemimpin Islam, raja Islam, sultan Islam. Semua angkat sumpah, wabillahi, watallahi, tapi nak buka dobi khas orang Islam tak boleh, dipanggil jumud, Taliban,” katanya lagi dalam rakaman tersebut.