Malaysia Hos Latihan Tentera Laut Libatkan China dan Thailand

Staf BeritaBenar
2018.10.18
Kuala Lumpur, Malaysia
181018-MY-training-620.jpg Seorang pegawai tentera laut berkawal pada majlis sempena ketibaan dan penamaan rasmi kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Pelabuhan Klang, di pinggir Kuala Lumpur, 27 Feb 2015.
(AP)

Tentera Thailand akan menyertai rakan sejawatan dari Malaysia dan China pada hujung minggu ini bagi menjalani latihan selama 10 hari di Selat Melaka di luar pesisir Malaysia, yang merupakan latihan pertama melibatkan ketiga-tiga negara itu dalam menerokai laluan masuk ke Lautan Hindi.

China dan Malaysia memulakan latihan ‘Keamanan dan Persahabatan’ sebagai latihan utama pada 2014 dan diperluaskan kepada latihan perairan yang melibatkan tentera dari kedua-dua negara pada tahun berikutnya.

Pegawai Tentera Thailand berkata, mereka dijemput untuk menyertai latihan itu hasil daripada perbincangan ketenteraan dengan Malaysia pada September lalu. Bangkok akan menghantar 53 anggota dan tiga pegawai kanan Tentera Laut Diraja Thailand untuk menyertai latihan itu, yang akan bermula pada Sabtu ini.

"Latihan ketenteraan tiga pihak ini adalah yang pertama diadakan oleh China dengan negara-negara ASEAN," kata penganalisis Laut China Selatan di Universiti Malaysia Sabah, Lai Yew Ming, kepada BeritaBenar. "Kita tidak harus melihat latihan ketenteraan tiga pihak dengan China dari perspektif baru, namun, ia sepatutnya sudah dijangkakan."

China mengumumkan bahawa ia akan menghantar 692 anggota bersama-sama tiga kapal, dua helikopter, tiga pesawat dan empat kenderaan.

"Latihan ini bertujuan menunjukkan semangat bersama angkatan tentera dari ketiga-tiga negara dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau Laut China Selatan, memperkuatkan pertukaran dan kerjasama amali, serta meningkatkan keupayaan mereka untuk bersama-sama menangani pelbagai ancaman keselamatan," kata Kementerian Pertahanan Nasional China dalam satu kenyataan awal minggu ini.

"Ia tidak menyasarkan mana-mana negara."

Selat Melaka bukannya terletak di Laut China Selatan. Ia adalah laluan di antara Lautan Pasifik selatan dan Lautan Hindi.

Sementara itu, negara tuan rumah, Malaysia, tidak mengumumkan jumlah anggota atau kapal yang akan terlibat dalam latihan itu, yang dirancang diadakan di Port Dickson dan Pelabuhan Klang, berhampiran Kuala Lumpur.

Hanya China yang akan mengeluarkan kenyataan mengenai latihan itu, kata seorang pegawai media tentera Malaysia kepada BeritaBenar.

Latihan tiga pihak itu akan membantu China dalam membina hubungan di rantau ini, kata Prashanth Parameswaran, felo di Woodrow Wilson International Centre for Scholars di Washington.

"China sedang berusaha untuk memperluaskan hubungan keselamatannya dengan negara-negara Asia Tenggara bagi menunjukkan komitmennya terhadap kestabilan serantau, termasuk di Laut China Selatan, walaupun ketika ia sedang meneruskan kegiatan yang dianggap boleh menjejaskan kestabilan itu," katanya kepada BeritaBenar.

"Penyertaan Thailand bukanlah mengejutkan - China telah memperkukuhkan hubungan keselamatan dengan Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk dengan mengadakan latihan-latihan baru, dan itu dilihat sebagai satu kemenangan yang lebih besar memandangkan Thailand adalah sekutu perjanjian Amerika Syarikat," katanya.



Reaksi  Indonesia

Negara jiran, Indonesia, yang pulau Sumatera miliknya terletak bersempadan dengan Selat Melaka, menyedari tentang latihan tiga pihak itu.

"Ini adalah sesuatu yang negara-negara kerap lakukan di perairan mereka," kata jurucakap Kementerian Luar Arrmanatha Nasir kepada BeritaBenar. "Kami akan terus memantau."

Pada Mei lalu, Indonesia dan India - saingan terbesar China di Asia - mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah pelabuhan laut strategik di muncung Selat Melaka. Arrmanatha berkata, beliau tidak mempunyai maklumat terkini mengenai pelabuhan itu.

Anil Wadhwa, seorang diplomat India yang pernah berkhidmat sebagai duta di Thailand, memberitahu bahawa latihan itu bukanlah ancaman bagi negaranya, tetapi beliau memberi isyarat bahawa Malaysia dan Thailand sanggup bekerjasama dengan China bagi menggalakkan keselamatan serantau.

"Ia juga penting kerana latihan itu diadakan di Selat Melaka, yang merupakan laluan sempit utama bagi perairan dari Lautan Hindi menuju ke Lautan Pasifik," katanya kepada BeritaBenar.

China akan raikan Tentera Laut ASEAN

Latihan itu akan bermula dua hari sebelum China meraikan negara-negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sempena latihan tentera laut pertama mereka di tengah-tengah pertikaian wilayah yang berlaku di Laut China Selatan.

Latihan itu, yang bermula dari dari 22 hingga 29 Okt ini, melibatkan  simulasi komputer yang diadakan di Singapura pada Ogos lalu.

China dan blok serantau itu telah bersetuju bahawa latihan berikutnya akan diadakan di Zhanjiang, yang terletak di Laut China Selatan.

Rantau perairan itu menjadi tumpuan ketegangan antara kuasa yang saling bersaing, Amerika Syarikat dan China, selain ia turut menjadi  pertikaian wilayah antara empat negara anggota ASEAN dan Beijing sejak bertahun-tahun lamanya. China telah mengubah tujuh terumbu yang dipertikaikan di laut yang kaya mineral itu menjadi pulau buatan manusia yang menempatkan peluru berpandu  permukaan ke udara serta beberapa landasan.


Zam Yusa di Kuala Lumpur, Ahmad Syamsudin di Jakarta, Pimuk Rakkanam di Bangkok dan Jaishree Balasubramanian di New Delhi turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.