Thailand Umumkan Perjanjian 'Zon Keselamatan' Dengan Pemberontak di Selatan Thailand
2018.02.15
Pattani & Narathiwat, Thailand

Thailand pada Khamis mengumumkan bahawa perunding kerajaan dan kumpulan pemberontak telah memilih sebuah daerah untuk melancarkan gencatan senjata di selatan Thailand, pada hari kejadian pengeboman terbaharu berlaku di wilayah yang bergolak dengan keganasan itu hingga menyebabkan 10 orang termasuk tiga pelajar sekolah cedera.
Aksara Kerdpol, jeneral tentera yang mengetuai delegasi Thailand dalam perbincangan damai dengan panel MARA Patani yang mewakili pelbagai pertubuhan pemisah, tidak menyatakan nama daerah yang dipilih bagi kawasan yang dianggap sebagai zon keselamatan - atau gencatan senjata terhad - tetapi memberitahu bahawa ia akan dilaksanakan dalam masa enam bulan lagi.
Aksara berkata, beliau telah membentangkan tentang rancangan itu kepada Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha bagi mendapatkan kelulusannya.
"Dalam mesyuarat kami di Malaysia baru-baru ini, [kami] telah bersetuju untuk menamakan sebuah daerah bagi melaksanakan zon keselamatan perintis, yang saya telah maklumkan mengenainya kepada perdana menteri. Langkah seterusnya ialah menubuhkan sebuah pusat penyelarasan untuk semua pihak terlibat bagi membincangkan tentang langkah-langkah keselamatan, membangunkan punca pendapatan dan menghapuskan dadah di zon keselamatan," kata Aksara dalam satu kenyataan.
"Ia akan mengambil masa enam bulan untuk menjadikan zon keselamatan suatu kenyataan, dan untuk menilai kejayaan pendekatan aman sedemikian seperti yang diharapkan oleh semua pihak," katanya. "Mungkin adanya perluasan zon keselamatan ke kawasan-kawasan lain tetapi ia bergantung kepada perbincangan yang diadakan pada masa depan."
Pada lewat Khamis, BeritaBenar tidak dapat menghubungi Aksara atau kakitangannya bagi mendapatkan penjelasan mengenai daerah yang dipilih dan butiran lain.
Sementara itu, dalam artikel yang diterbitkan pada Khamis di laman web Deep South Watch, sebuah badan pemikir yang menggalakkan keamanan di wilayah sempadan selatan Thailand dan memantau usaha untuk menyelesaikan pemberontakan yang sekian lama berlanjutan, jurucakap MARA Patani Abu Hafiz Al-Hakim membayangkan mengenai perkembangan terbaru dalam perbincangan yang diusahakan oleh Malaysia, yang telah berlangsung sejak tiga tahun lalu.
"Dalam pertemuan di luar meja perbincangan di Kuala Lumpur pada Januari lalu, kedua-dua pihak telah membuat satu keputusan, mencapai ‘kejayaan’ yang penting dan bersetuju untuk menyambung semula mesyuarat perbincangan damai. Ini dicapai dalam [satu] mesyuarat pada 7 Feb 2018, di mana kumpulan berkenaan merumuskan tentang isu-isu SZ (zon keselamatan) yang tertangguh," kata Abu Hafiz. "Ia hanya memerlukan dua atau tiga lagi mesyuarat dan kedua-dua pihak bersedia untuk melancarkan pelaksanaan SZ di daerah perintis yang telah dipersetujui bersama."
Semasa BeritaBenar menghubungi beliau pada Khamis malam (waktu tempatan) untuk mendapatkan penjelasan sama ada beliau merujuk kepada perjanjian dua hala mengenai daerah pilihan bagi melaksanakan gencatan senjata itu, Abu Hafiz, yang berpangkalan di Malaysia, menolak untuk memberi komen segera. Pada masa itu, senarai tersebut mengandungi dua daerah di wilayah Yala, dua di wilayah Narathiwat dan satu di wilayah Pattani.
Perjanjian itu, seperti yang diumumkan oleh Thailand, dilaksanakan hampir setahun selepas kedua-dua pihak menyatakan bahawa mereka bersetuju dengan rangka kerja bagi zon keselamatan, dan mereka akan bekerjasama untuk memilih satu daerah daripada senarai lima daerah untuk melaksanakan gencatan senjata yang terhad dari segi geografi.
Sekiranya ia dilaksanakan kelak, gencatan senjata itu bakal menjadi satu langkah penting dalam usaha untuk merundingkan pengakhiran bagi konflik yang berlanjutan di selatan Thailand, yang mempunyai majoriti penduduk Islam dan bertutur bahasa Melayu, dengan hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam pergolakan yang berlaku sejak 2004.
Sesetengah pemerhati, bagaimanapun, menyuarakan keraguan terhadap kerajaan tentera Thailand sama ada ia serius untuk menjalinkan perjanjian damai dengan para pemberontak, dan membangkitkan keraguan tentang sama ada MARA Patani benar-benar mewakili pemberontak tegar yang berterusan melakukan serangan di wilayah itu, seperti yang berlaku pada Khamis di Yala.
Serangan keempat di sekolah tahun ini
Para pegawai di selatan Thailand berkata, tiga pelajar perempuan, tiga sukarelawan pertahanan dan empat orang awam cedera apabila bom tepi jalan meletup pada awal pagi berhampiran jalan kecil menuju ke sekolah Pracha-utit di daerah Muang.
Serangan oleh kumpulan yang disyaki pemberontak adalah yang keempat berlaku dengan menyasarkan sekolah di selatan Thailand sejak awal tahun 2018.
"Ketika sukarelawan pertahanan menunggang motosikal di lokasi tersebut, pelakunya telah meletupkan peranti letupan yang diubah suai itu. Pada peringkat awal ini, para pegawai menyalahkan pihak pemberontak," kata Kapten Pongsak Nuan-iedrong, timbalan penyiasat di balai polis di Muang.
Para pelajar itu mengadu merasa pening selepas letupan itu dan dua sukarelawan pertahanan pula mengalami kecederaan dan dihantar untuk rawatan di hospital pusat Yala.
"Terdapat dua sukarelawan yang cedera: Muhammad Roni Lahama yang kini berada di ICU dan Wanchuruwan Jehmig yang sedang menjalani pembedahan," kata Lt. Gen Piyawat Makwanich, komander wilayah Tentera, kepada BeritaBenar.
Serangan di sekolah baru-baru ini termasuklah pengeboman yang mencederakan dua kanak-kanak dan dua orang awam pada 6 Feb di Yala, dan satu lagi bom yang meletus berhampiran sebuah sekolah di wilayah itu pada 11 Feb.
Penganalisis selatan Thailand berkata, serangan di sekolah seolah-olah bertujuan untuk merosakkan perbincangan damai yang diadakan.
"Serangan itu menentang prinsip umum bagi mewujudkan zon keselamatan. Ia seolah-olah bertujuan untuk merosakkan suasana yang diperlukan bagi mewujudkan keamanan, dengan memilih sasaran lembut. Para pelaku tidak menghormati keamanan dan ini boleh menimbulkan masalah pada masa depan, "kata penolong profesor Srisompob Jitpiromsri, pengarah Deep South Watch, yang berpejabat di kampus Pattani Prince of Songkla University, kepada BeritaBenar.
Boonsom Thongsriplai, presiden persatuan guru di selatan Thailand, pula menyuarakan kebimbangannya berhubung sekolah dan tempat awam lain.
"Beberapa tempat seperti masjid, kuil, sekolah dan pasar perlu diberi tumpuan khusus dari aspek keselamatan," katanya kepada BeritaBenar. "Tempat-tempat ini adalah 'zon keselamatan' dan sementara kerajaan mengadakan perbincangan damai dan situasinya adalah lebih baik daripada tahun 2004, ‘zon keselamatan’ ini mestilah 100 peratus selamat."
Sekurang-kurangnya 184 guru telah terbunuh dan seramai 161 orang lagi cedera sejak 2004, kata Boonsom.
Jurucakap tentera di wilayah itu pula berkata, seramai 951 kanak-kanak sama ada telah terbunuh atau cedera di selatan Thailand sejak 14 tahun yang lalu.
Razlan Rashid di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.